Sunday, February 10, 2013

Jagalah Aurat Mu Wahai Bidadari


" Dunia itu adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah" - Hadis Riwayat Muslim.
Syariat Islam itu syumul dan adil untuk semua. Saya sering kali menggunakan ungkapan yang paling 'simple' kepada mereka: "Jagalah Aurat, Allah akan sayang kita kalau kita jaga Aurat", "Bidadari yang paling tinggi darjat di sisi Allah di dunia ini adalah mereka yang menutup aurat".
 

          Kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa apa yang pakaikan itu boleh membawa fitnah dosa ataupun tidak. Islam itu adil untuk semua. Aurat bukan sahaja ditujukan kepada kaum wanita sahaja tetapi lelaki juga tidak terkecuali. Kita boleh mengenakan pakaian mengikut 'trend' atau kesesuaian mengikut masa asalkan tidak lari daripada garis panduan agama yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. 



Allah menyuruh manusia, khususnya umat Islam supaya memakai pakaian, seperti firman-Nya bermaksud:

 "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian yang indah apabila pergi ke tempat ibadah, seperti mengerjakan sembahyang atau pun memasuki masjid, makan dan minumlah, jangan melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas." (Surah al-A'raaf, ayat 31).
      Sekarang ramai berpakaian bagi melambangkan personaliti dan melindungi tubuh daripada cuaca sejuk atau panas. Apakah itu AURAT? Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

   Di dalam islam terdapat beberapa keadaan di mana masyarakat islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang yang tertentu. Di dalam artikel ini akan diterangkan beberapa perkara yang bersangkutan dengan aurat untuk dijadikan renungan dan tatapan bersama.






PERINTAH MENUTUP AURAT
Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh Allah S.W.T dalam Surah Al-Ahzab ayat 33;


“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembayang serta berikanlah zakat; dan taatilah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu-wahai “ahlul bait”, dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”

Dari penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum menutup aurat adalah wajib sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan sembahyang, berzakat dan perintah-perintah yang lainnya.

Dengan menutup aurat, wanita Islam mudah dikenal dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan.

Wanita yang menutup aurat akan mudah dikenali. Jika sekiranya mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk mengganggunya. Maka berlakulah perkara-perkara sumbang, dengan itu juga akan timbulah berbagai-bagai fitnah dari masyarakat tentang diri mereka.

Dalam hal ini Allah S.W.T. telah berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 59:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. ”

Islam telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan wanita. Aurat asas pada lelaki adalah menutup antara pusat dan lutut. Manakala aurat wanita pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.




PAKAIAN DALAM ISLAM

Dalam membicarakan soal pakaian wanita, islam tidak menetapkan pakaian tertentu tetapi wanita islam perlu mengikuti garis panduan syarak seperti berikut:

i. Pakaian itu hendaklah menutup aurat

ii. Pakaian itu hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan.

Usamah bin Zaid pernah menceritakan bahawa rasulullah s.a.w telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang kurang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Albi dan rasulullah s.a.w pula menghadiahkan kain tersebut kepada beliau (Usamah bin Zaid) , untuk dibuat pakaian tetapi Usamah memberikan kepada isterinya.

Suatu hari rasulullah s.a.w bertanyakan Usamah : "Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?" Usamah menjawab :" Saya telah berikan kepada isteri saya". Lalu rasulullah s.a.w bersabda kepada Usamah :" Suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak digalas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)".

iii. Pakaian itu diperbuat daripada kain yang agak tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan.

Selain daripada itu, pakaian wanita hendaklah dibuat dari kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh dan membayangkan kulit pemakainya. Pakaian yang dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mempamerkan rupa bentuk anggota badan wanita yang boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya.

iv. Pakaian itu tidak berbentuk hiasan yang boleh menarik perhatian orang melihatnya.

v. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki.

Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina".

vii. Pakaian itu tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik.

Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita.

Wanita yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajaran islam akan mendapat keredhaan allah s.w.t dan lelaki akan memandang mereka dengan pebuh rasa hormat dan memberi penghormatan yang tinggi bersesuaian dengan sifat mereka yang pemalu dan bersopan santun...



Pakaian TERBAIK seorang WANITA ialah pakain yang boleh digunakan terus UNTUK SOLAT...♥

Periksa dulu sebelum keluar..

tutup AURAT..

Tudung labuh + baju labuh + baju longgar + pakai stokin + armsock + baju tak jarang + tahap malu lebih tinggi + jaga pergaulan..

Manis sungguh awak yg menutup aurat..

Moga Allah redha...:)


Wallahu'alam..

Wednesday, January 2, 2013

Welcome 2013 - Syukur Atas Nikmat Allah


       Alhamdulillahirabil alamin.... Syukur dengan segala puji-pujian kepada Allah s.w.t yang mentadbir alam ini dengan penuh limpah rahmat dan kasih sayangnya kepada makhluk yang sentiasa mengabdikan diri kepada-Nya. Tanggal 1 hari bulan Januari 2013 semua insan menyedari kehadirannya. Ada yang meraikannya dengan hiburan yang melalaikan dan sebaliknya ada insan juga yang menadah tangan ke langit tanda mahabbah kepada pencipta yang Esa.

    Apabila kita menyebut tentang tahun baru dalam kalendar Georgean, secara tidak langsung kaitan dengan kalendar Hijrah yang sudah lama memasuki Tahun 1434 Hijrah. Secara tidak langsung kita tidak sedar bahawa semakin hari semakin rapat jurang antara kita dengan Allah. Allah telah memerintahkan menusia berbuat kebaikan semasa usia muda kerana waktu inilah merupakan tarbiah yang paling berkesan untuk membentuk diri kita supaya menyayangi Allah.


     Saya masih ingat lagi dulu, selepas SPM saya bercita-cita untuk jadi doktor pakar bedah mata. Tetapi takdir Allah menentukan segala-galanya. Tatkala penuh dengan halangan dan rintangan ketika berada di Asasi  UPM, akhirnya Allah telah meletakkan saya menjadi seorang pendidik di sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Sejarah Pendidikan Rendah) Tchg. Hons. Itulah hikmahnya....

    Sudah tercatat segala Qada' dan Qadar Allah sebelum penciptaan langit dan bumi. Semasa dalam kandungan Ibu lagi, Allah telah menetapkan segala amalan kita, jodoh pertemuan, hidup dan mati kita dalam perancangannya. Oleh itu, kita seharusnya tidak boleh menyalahkan diri sendiri apatah lagi kecewa dengan takdir Tuhan apabila kecewa terhadap ujian yang diterima. Sebenarnya 'ujian' itu tanda Allah 'sayang' kita. Tanda Allah 'ingat' kepada kita. Tanda Allah mahu me'matang'kan kita.

    Atas segala nikmat, ucapkanlah Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) supaya kita tidak lari daripada kalimah 'Iyyakana' buduwa'iya kanasta'in' iaitu petunjuk di jalan yang lurus. Demikian sudah termaktub dalam surah Ibrahim ayat ke 7 yang bermaksud:

" Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan : Sesunggunya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah nikmat kepadamu. Dan jika kamu mengingkari (nikmat-ku), sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."
     Di sini kita harus muhasabah diri kita. Seharusnya kita selalu memikirkan bagaimana kita menggunakan semua nikmat yang Allah kurniakan itu semata-mata untuk mendekati diri kepada Allah. 

    Dalam konteks mensyukuri nikmat Allah, saya telah merujuk daripada beberapa kisah  tiga orang daripada Bani Israil yang telah diuji oleh Allah SWT. Ketiga orang tersebut masing - masing menderita penyakit, ada yang menderita penyakit kusta, ada yang menderita penyakit gundul (tidak berambut), dan yang terakhir menderita penyakit buta.Ketika itu Allah mengutus malaikat untuk menemui mereka.

Pertama, malaikat bertanya kepada orang yang sakit kusta, "Apa yang engkau inginkan?"
"Aku ingin rupa yang bagus dan kulit yang halus, sehingga orang tidak jijik kepadaku", jawab orang yang berpenyakit kusta.
Malaikat mengusap tubuh orang itu. seketika lenyaplah penyakit yang menjijikkan dari tubuh orang itu. Malaikat bertanya lagi, "harta apa yang engkau inginkan?"
"unta", jawab orang itu. Lalu diberi unta yang sedang mengandung kepada orang itu.

Selanjutnya malaikat bertanya kepada orang yang berpenyakit gundul, "Apa yang engkau inginkan?"
"Rambut", jawab orang gundul itu. Malaikat menyapu kepala orang itu. seketika tumbuhlah rambut di kepala orang yang gundul itu. Malaikat bertanya pula, "harta apa yang engkau inginkan?" "Aku menginginkan lembu", jawab orang itu. Maka diberikan kepada orang itu seekor lembu yang sedang mengandung.

Setelah itu malaikat datang kepada orang yang buta dan bertanya, "Apa yang engkau inginkan?"
Orang buta itu menjawab, "Saya ingin melihat kembali."
Malaikat pun mengusap muka orang buta itu. seketika itu pula orang buta itu dapat melihat kembali. Kemudian malaikat bertanya lagi, "Harta apa yang engkau inginkan?" "Kambing", jawab orang itu, Maka diberi kepada orang itu seekor kambing yang sedang mengandung.

    Beberapa tahun kemudian unta, lembu, dan kambing yang telah diberikan kepada orang miskin yang sakit kusta, gundul, dan buta telah berkembang biak. Dari hari ke hari binatang ternak itu selalu bertambah. Orang yang semula berpenyakit kusta, sekarang telah menjadi orang kaya yang memiliki peternakan unta. Orang yang semula berpenyakit gundul, telah menjadi seorang peternak sapi yang kaya raya. Sedangkan orang yang semula buta telah menjadi peternak kambing yang berjaya.

       Pada suatu hari datanglah seorang malaikat yang menjelma menjadi orang yang berpenyakit kusta. Malaikat itu berkata, "Tuan saya ini orang miskin yang kehabisan bekal di jalan. Tolonglah saya, tuan...!! Berikanlah saya bekal untuk melanjutkan perjalanan!" Orang kaya yang dulunya berpenyakit kusta itu menjawab, "Maaf saya sedang tidak boleh membantu, saya sedang banyak utang." Malaikat itu berkata pula, "Rasa-rasanya saya pernah kenal tuan. Bukankah dulu tuan orang miskin yang berpenyakit kusta menjijikkan?" Orang itu menyangkal, "Tidak! itu tidak benar! Harta ini semata-mata dari ayah dan abangku." Malaikat pun berkata, "Apabila tuan berdusta, semoga Allah menjadikan tuan seperti dulu."

     Setelah itu malaikat mendatangi orang kaya yang dulunya orang miskin yang berpenyakit gundul. Kepadanya malaikat berpura - pura memohon bantuan sebagaimana dikatakan kepada orang kaya yang pertama tadi. Jawapan yang diterima malaikat, sama dengan orang yang pertama, yaitu penolakan dan ingkar. Malaikat pun berkata, "Apabila tuan berdusta dan ingkar, semoga Allah menjadikan tuan seperti dulu."

    Terakhir, malaikat datang kepada orang kaya yang dulunya ia miskin dan menderita penyakit buta. malaikat pun mengutarakan maksudnya sebagaimana diutarakan kepada orang kaya yang pertama dan kedua. Orang yang dulunya buta menjawab, "Betul, dulunya saya ini buta, kemudian Allah mengembalikan penglihatan saya. Untuk itu saya bersyukur kepada Allah. Ambillah harta saya ini sekehendakmu. Saya ikhlas memberikannya." Malaikat berkata, "Peliharalah hartamu, saya tidak akan mengambilnya. Saya hanya menguji. Ternyata kamu lulus ujian ini. dengan demikian kamu diridhai Allah dan kedua temanmu dibenci-Nya."

     Demikianlah kisah tiga orang yang sama - sama menderita, sama-sama berjanji akan berbuat baik manakala penderitaannya sudah berganti dengan kesenangan. Akan tetapi, ternyata yang dua orang tidak bersyukur terhadap nikmat yang diberikan Allah. Allah membenci kedua orang yang ingkar atau kufur nikmat itu dan mengembalikannya seperti keadaan semula. Sebaliknya, orang yang mensyukuri nikmat Allah akan mendapat Ridha-Nya dan ditambahkan rezekinya.

Monday, December 31, 2012

Hadis Arbain - Niat Adalah Kunci Amal


Assalamualaikum.. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang... Secara mukadimahnya saya ingin menyentuh secara ringkas dalam Hadis 40 susunan Imam Nawawi mengenai NIAT.


Maksud Hadith 

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu. 
               
(HR Bukhari dan Muslim)


Huraian Hadis 

Hadis ini muncul kerana satu sebab. Pada masa itu, para sahabat melaporkan ada orang yang berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk berkahwin dengan wanita bernama Ummu Qais. Secara zahirnya, dia pergi berhijrah sama seperti yang dilakukan oleh para sahabat, tetapi niat dan tujuannya berbeza iaitu untuk mengahwini Ummu Qais. Oleh sebab itu, dia digelar 'Muhajir Ummu Qais' iaitu orang yang berhijrah demi Ummu Qais.

Firman Allah,
" Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia, kecuali agar mereka  beribadah kepada-Ku." 
(Surah az-Zariyat ayat 56 )

      Allah menegaskan bahawa tujuan hidup kita di dunia adalah untuk beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah. Tahukah anda, apakah separuh daripada ibadah itu ? Separuh daripada ibadah itu adalah hadis di atas kerana ia menjadi timbangan amalan batin. Sementara separuhnya lagi yang menjadi timbangan amalan lahir adalah hadis yang bermaksud, 
"Siapa yang mengada-adakan perkara yang bukan sebahagian daripada urusan agama kami, maka amalannya tertolak. " 
(HR Bukhari dan Muslim) 

     Apakah yang dimaksudkan dengan niat di sini? Menurut Syeikh as-Sa'di, niat adalah melakukan amalan dengan sengaja dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah serta mencari redha dan pahala daripada-Nya. Rasulullah bersabda, " Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya..." bermaksud amalan-amalan yang berkenaan dengan ketaatan, bukannya amalan-amalan yang bersifat mubah (harus), apatah lagi makruh dan haram.

     Fungsi niat adalah bagi membezakan antara kebiasaan dan ibadah. Contohnya, apabila kita duduk di dalam masjid, boleh diniatkan untuk sekadar beristirahat. Walaupun ia satu kebiasaan, namun ia boleh menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat beriktikaf. Jadi, pokok yang membezakan antara ibadah dan kebiasaan serta mendapat pahala atau tidak adalah niat. 

      Kata-kata Rasulullah yang berbunyi, ''...dan setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan..." bermaksud, setiap perbuatan disesuaikan dengan niat pelakunya sama ada mengenai sah atau rosaknya mahupun kesempurnaan atau kekurangannya. Orang yang melakukan ketaatan dengan separuh hati, pahala yang akan diperolehinya pun akan berkurang. Sebaiknya, orang yang beribadah dengan sepenuh hati, dia pun akan memperolehi pahala yang sempurna.

    Kesimpulannya, kita hendaklah selalu menghadirkan niat yang ikhlas dalam setiap aktiviti kita serta menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan keikhlasan kita. Contohnya perbuatan yang menunjuk-nunjuk, menginginkan pujian dan mengharapkan sanjungan daripada orang lain.

   Niat yang baik akan membuahkan hasil yang baik. Dalam kitab sahih Bukhari disebutkan,


" Siapa meminjam harta orang lain dengan niat akan membayarnya semula, maka Allah akan membantu menyelesaikannya. Sebaliknya, sesiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin menghanguskannya, Allah akan mengazabnya di akhirat kelak."

     Perhatikanlah keajaiban niat dalam hadis di atas. Niat yang baik menjadi penyebab seseorang itu memperoleh rezeki untuk membayar hutangnya. Sebaliknya, niat yang tidak elok menjadi penyebab kehancuran dan kebinasaan. Ia seperti Law of Attraction iaitu 'hukum tarik-menarik.' Niat yang baik dibalas dengan kebaikan dan niat yang buruk akan mendapat balasan keburukan.
Wallahu'alam...


Sumber foto: Peter Sanders
Sumber artikel: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi oleh Fahrur Muis
 

Thursday, December 27, 2012

Wanita dari tulang rusuk?



Dalam sebuah hadis yang sahih yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi berkata,

“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).”

Adakah ayat ini bermaksud bahawa wanita secara umumnya dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk lelaki? Sebenarnya,di dalam A-Quran Allah menyatakan dengan jelas manusia sebenarnya berasal dari nutfah (iaitu air mani yang sedikit) yang bercampur dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang berasal daripada tanah. Berhubung dengan ini dalam surah Al-Haj ayat 5 Allah menjelaskan

“Wahai manusia apabila kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) kami menciptamu dari tanah , dan kemudian daripada nutfah.”

Oleh kerana kenyataan Al-Quran berhubung dengan kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak dapat mencanggahinya. Jesteru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal dari tulang rusuk lelaki, tidak dapat ditafsirkan dari bentuk yang mencanggahi Al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya berkenaan asal-usul kejadian wanita sebaliknya berkenaan kepentingan menghormati dan menjaga wanita dengan baik. Jesteru, di dalam kitab Riadus Solihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini di dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum Wanita Dengan Baik’.

Di dalam kitab Dalilul Falihin, diriwayatkan bahawa Imam Qurtubi berkata,
“Wanita dicipta dalam batas dan keadaan seperti tulang rusuk,”

dan bukan dicipta dari tulang rusuk. Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam bengkok adalah berbeza daripada tulang yang lain sebagaimana wanita berbeza dari kaum lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya jesteru tulang rusuk tidak boleh dicaci kerana berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia menghadapi masalah. Begitu juga dengan wanita, tanpanya kehidupan tidak sempurna. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semulajadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza dari kaum lelaki. Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semulajadinya dan tidak boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama bagi mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada peranannya dan kadang kala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan peranan tidak melambangkan kehinaan.


Berbalik kepad isu berkaitan kejadian kaum hawa daripada tulang rusuk kaum lelaki, sebahagian ulama berpendapat hadis ini membicarakan berkenaan hawa secara khusus. Mengikut pandangan mereka, hawa berasal daripada tulang rusuk Adam. Antara ulama yang berpegang dengan pandangan ini ialah sahabat Abdullah Bin Abbas, Abdullah Bin Mas’ud, Imam Mujahid, Ibnu Al-Munzir, Ibnu Humaid dan ramai lagi. Namun, apabila Al-Quran dirujuk mengenai perkara ini, kita tidak menemui sebarang dalil yang menyokong pandangan ini. Sebagai contoh, berhubung dengan kejadian Hawa, dalam surah An-Nisa’ ayat 1 Allah menjelaskan dengan bermaksud,

“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari diri yang satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”

Dalam ayat ini dan yang seumpamanya kejadian hawa tidak langsung dikaitkan dengan tulang rusuk Nabi Adam.
Sebenarnya, Al-Quran lebih mementingkan supaya kualiti dan maruah wanita dipelihara dan tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Dalam islam wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba-hamba Allah. Sekiranya seorang wanita beriman dan beramal soleh dia diberi ganjaran yang tinggi dan diletakkan di tempat yang tinggi. Dalam surah Al-Imran ayat 195, Allah menyatakan yang bermaksud,
“Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal antara kamu baik dia lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.”

Tambahan daripada itu, Allah tidak pernah menghina ataup un memuliakan makhluk-makhluknya berdasarkan jantinanya. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan ketakwaannya. Berhubung dengan ini, dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah menjelaskan,

“Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa antara kamu,

Hal ini adalah utama untuk difahami dan dihayati.

Seni Dalam Bergaul

Pergaulan yang sejati adalah pergaulan dari hati ke hati yang penuh keikhlasan, yang insyaallah akan terasa sangat indah dan menyenangkan. Pergaulan yang penuh pura – pura dan tipu daya demi kepentingan sendiri pasti tidak akan pernah sunyi dari masalah.

Kita tidak boleh menjadi seseorang yang merugikan orang lain. Rasulullah Saw. bersabda,
“Muslim yang terbaik adalah muslim yang membuatkan muslim lainnya selamat dan merasa aman dari gangguan lisan dan tangannya.” (HR. Bukhari)
Dibawah, ada beberapa perkara yang boleh kita ELAKKAN dalam pergaulan dengan orang lain:




a. Menghindari Penghinaan.


Apa – apa pun yang bersifat merendahkan, ejekan, penghinaan dalam segala bentuk terhadap seseorang, baik tentang keperibadian, bentuk tubuh, dan sebagainya, JANGAN kita lakukan. kerana tiada masalah yang selesai dengan mencela, merendahkan. Yang ada adalah perasaan sakit hati serta rasa dendam.

b. Hindari Ikut Campur Urusan Peribadi.

Hindari ikut campur urusan peribadi seseorang yang tidak ada manfaatnya jika kita terlibat. Seperti yang kita maklum, setiap orang mempunyai urusan peribadi yang sangat sensitif, yang bila terusik nescaya akan menimbulkan pertengkaran.

c. Hindari Menjampuk Percakapan

Sungguh jengkel bila kita sedang berbicara kemudian tiba-tiba dipotong dan disangkal. Ia berbeza dengan kata – kata yang dicelah dengan sopan dan dengan cara yang arif tentang perkara tersebut. Nescaya kita pun akan berkecenderungan menghargainya bahkan mungkin menerimanya. Maka latihlah diri kita untuk bersabar dalam mendengar dan memberi pendapat dengan cara yang terbaik pada waktu yang tepat.

d. Hindari Membandingkan.

Jangan pernah dengan sengaja membandingkan jasa, kebaikan, penampilan, harta, kedudukan seseorang sehingga yang mendengarnya merasa dirinya tidak berharga, rendah atau merasa terhina.

e. Jangan Membela Musuhnya, Mencaci Kawannya.

Membela musuh maka dianggap menyertai dengan musuhnya, begitu juga mencaci kawannya bererti memusuhi dirinya. Bersikaplah neutral, sepanjang diri kita menginginkan kebaikan bagi semua pihak, dan sedar bahawa untuk berubah harus bersedia menjalani proses dan tahap – tahap tertentu.

f. Hindari Merosakkan Kebahagiannya.

Bila seseorang sedang berbahagia, janganlah melakukan tindakan yang akan merosak kebahagiaanya. Contohnya, ada seseorang yang merasa beruntung mendapatkan hadiah dari luar negeri, padahal kita tahu bahawa barang tersebut buatan dalam negeri, maka kita tak perlu menyampaikannya, biarlah dia berbahagia mendapatkan ole-ole tersebut.

g. Jangan Mengungkit Masa Lalu.

Jika yang diungkit adalah kesalahan, aib atau kekurangan yang sedang berusaha untuk ditutupi. Ingatlah bahawa setiap orang memiliki kesalahan yang sangat ingin disembunyikannya, termasuk diri kita. Maka jangan pernah untuk mengungkit dan membebelkannya. Perkara ini sama dengan mengajak bermusuhan.

h. Jangan Mengambil Haknya.

Jangan pernah terfikir untuk menikmati hak orang lain, setiap gangguan terhadap hak seseorang akan menimbulkan rasa tidak suka yang tentu akan merusak hubungan. Sepatutnya kita harus belajar menikmati hak kita, agar bermanfaat dan menjadi bahan untuk kebahagiaan orang lain.

i. Hati-Hati Dengan Kemarahan.

Bila terasa marah, maka waspadalah kerana kemarahan yang tak terkawal biasanya menghasilkan kata-kata dan perilaku yang keji, yang sangat melukai, dan tentu perbuatan ini akan menghancurkan hubungan baik mana – mana pun.

j. Jangan Menertawakannya.

Sebahagian besar dari sikap mentertawakan seseorang adalah kerana kekurangannnya sendiri, baik sikap, penampilan, bentuk rupa, ucapan dan lain sebagainya,dan ingatlah bahawa tertawa yang tidak pada tempatnya serta berlebihan akan mengundang rasa sakit hati.

k. Hati-hati Dengan Penampilan, Bau Badan dan Bau mulut.

Tidak ada salahnya kita selalu menjaga penampilan, bau badan atau mulut kita, kerana penampilan atau bau badan yang tidak segar akan membuat orang lain merasa terganggu, dan menghindari kita.


Proses dari teman menjadi sahabat memerlukan usaha, pemeliharaan dari kesetiaan, tetapi bukan pada saat kita memerlukan bantuan barulah kita memiliki motivasi. Dalam mencari perhatian, pertolongan dan kasih dari orang lain, kita juga perlu berinisiatif memberikan dan mewujudkan apa yang diperlukan oleh sahabat.

Bantu Aku Ya Allah


























Tarbiyahkan diri,
Dalam ujian dari-Mu tiap hari,
Dalam tangisan mengadu dalam sujud malam,
Dalam rindu bersalut dosa yang tak kunjung kelam...


Bagaimana ya Allah,
Mampuku kata,
Mampuku kira,
Jalan tajam bersalut noda,
Yang telah aku susuri,
Tapi masih belum mampu aku berhenti...


Bagaimana ya Allah,
Untuk aku tegar,
Untuk aku berdiri tanpa sekumit gusar,
Pada cabaran dunia,
Pada khayalan singgahan sementara...


Aku tak mampu lagi ya Allah,
Bantu aku,
Pimpin aku,
Kerana meskipun aku sering menangis,
Tapi belum mampu ku tangkis,
Segala nafsu yang berlegar bengis....ya Allah!!!

Ikhlaskah Aku Menjadi Guru?



Aku merenung kembali kisah silamku. Mengingati semula perjalanan hidup yang telah kulalui di muka bumi Allah yang maha luas ini. Entah mengapa Ramadhan kali ini begitu mudah membuatkan aku menitiskan air mata.

     Sering kurasakan, Ramadhan ini berkemungkinan adalah Ramadhan yang terakhir buatku, dan mengenangkan betapa cepatnya waktu berlalu, membuatkan aku merenung kembali apa yang telah ku lakukan sepanjang 11 hari Ramadhan berlalu ini. Secara tidak langsung, fikiranku turut bergerak lebih jauh dan cuba untuk mengingati setiap yang berlaku ke atas diriku sepanjang aku hidup di muka bumi.

    Terimbau kenangan dahulu semasa aku berada di tingkatan lima, guru kelasku pada waktu itu ialah Ustazah Adoni.

     Dia pernah mengucapkan kata-kata yang biasa buat kami, anak didiknya. Mungkin pada orang lain ia hanya kata-kata biasa tapi pada aku cukup terkesan di hati hingga ke saat ini. “Jadilah orang yang membawa manfaat kepada orang lain”. Itulah kata-katanya yang segar di hatiku hingga ke saat ini.     Aku mengingat kembali apakah manfaat yang telah kuberi setelah sekian lama aku bernafas di bumi Allah ini. Apabila difikirkan dengan mendalam, bagaikan tiada manfaat yang kuberi pada insan yang lain. Pada orang lain, mungkin kerjaya aku sebagai pendidik sangat mulia di pandangan mereka, namun pada aku ia hanya satu amanah yang harus kupikul lantaran aku menerima gaji setiap bulan.

    Sering juga kesabaranku hilang sewaktu menjalankan tugas sebagai seorang guru dek perangai murid-muridku yang semakin hari semakin kreatif bentuk kenakalannya. Kadang kala aku meninggikan suara kepada mereka, namun aku sering menyesali dan berfikir wajarkah aku berbuat sedemikian rupa. Aku cuba yakinkan hati bahawa apa yang ku lakukan akan mampu mengubah mereka menjadi insan yang cemerlang didunia dan diakhirat.

      Apabila pulang ke rumah, aku selalu berfikir, adakah kerjaya aku merupakan satu ibadah buat diriku? Adakah kerjaya yang dilakukanku ini aku lakukan hanya kerana khuatir gaji dianggap syubhah andai tidak dilaksanakan dengan baik dikira ibadah di sisi Allah? Berapakah ilmu yang kusampaikan tersemat di hati anak didikku? Dan yang paling utama, berapa ramaikah di antara mereka yang mengamalkan ilmu yang telah ku sampaikan selama ini?
    Apabila soalan-soalan berat sebegini menerjah fikiranku, nafasku menjadi sesak seketika. Aku menjadi sedar bahawa nyawa pinjaman Allah buatku boleh ditarik bila-bila masa sahaja tanpa kuduga. Kudrat yang ada padaku juga hanya pinjaman dari Allah. Tiada apa yang mampu menghalang, seandainya Yang Maha Esa mahu menarik kembali nikmat kesihatan dan nikmat kesempurnaan pancaindera yang diberikan untuk sementara waktu buatku.

        Seringkali aku terbayang, diriku hanya dibaluti kain kapan. Ketika itu apa yang mampu aku lakukan? Berapa banyakkah amalan soleh yang mampu kupersembahkan di hadapan Allah S.W.T nanti? Yang paling aku takuti, amalan yang selama ini kukerjakan ditolak oleh Allah! Namun, sebagai seorang hamba manakan aku mampu untuk mengetahuinya. Segalanya hanya terjawab apabila rohku sudah meninggalkan jasadku kelak. Ketika saat itu, pastinya segala-galanya telah terlambat buatku dan penyesalan sememangnya sudah tiada ertinya lagi.

       Di bulan Ramadhan kali ini, aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan aku untuk terus bernafas di dunia ini. Kerana kesempatan ini, aku mampu berpuasa dan menikmati keindahan Ramadhan. Di kesempatan ini, aku bermohon agar diampunkan segala dosa-dosaku, diterima segala amalanku dan dijadikan aku wanita solehah yang cemerlang dunia dan akhiratnya. Aku juga bermohon agar Ramadhan kali ini, bukanlah Ramadhan yang terakhir buatku walaupun ku kerap merasakan seperti itu kerana masih banyak bonus yang perlu kuhimpun lantaran terlalu sedikit pelaburan yang ku ada.

        Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dosa ibubapaku, kaum keluargaku, guru-guruku, teman-temanku, anak-anak muridku serta umat Islam seluruh dunia sama ada yang masih hidup mahu pun yang sudah meninggal dunia. Kau jadikanlah Ya Allah, Ramadhan kali ini Ramadhan penuh keampunan buat kami semua. Amin!

     Kepada rakan-rakan diluar sana, marilah kita sama-sama ikhlaskan hati kita ketika menjalankan tugas dan amanah kerana Allah kasihkan hamba-hamba-Nya yang ikhlas. Usahlah kita merungut sepanjang masa mengenai ketidakselesaan kita didunia ini, sedangkan keselesaan di Akhirat kelak kita lupakan. Marilah kita mengumpul amal kebaikan dan mengurangkan dosa selagi nyawa dikandung badan.