Friday, May 29, 2015

Tokoh Mufti Kelantan Pertama - Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman (1893M-1907M)

Latar Belakang Diri dan Pendidikan


Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1854M bersamaan 1271H dan beliau bersaudara dengan Tok Khatib Haji Wan Omar atau Nik Mar. Datuk sebelah bapanya iaitu Haji Wan Othman adalah orang Fakeh Ali yang terkenal dalam sejarah nusantara dan datuk sebelah ibunya pula adalah Pak Wan Mahmud Menteri merupakan seorang pembesar negeri pada zaman Sultan Mahmud I. Beliau sezaman dengan Tok Imam Haji Cik Samad Kampung Laut, Tok Khatib Haji Muhammad Said (Dato' Seri Di Raja), Tok Kemuning Tua (Haji Senik), Haji Senik Seligi dan Haji Daud Kampung Menuang. Beliau juga rapat dengan Syeikh Salleh Amin dari Bahrin yang menetap di Pasir Mukarramah dan beliau seangkatan dengan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani.

          Beliau seorang yang pakar dan alim dalam bidang ilmu fekah dan hadis di mana kuliah mingguannya pada setiap hari Selasa telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat. Beliau juga dikatakan suka menyembelih dan makan daging kuda serta suka melakukan aktiviti berkelah bersama-sama isteri dan anak-anak sehingga seminggu lamanya. Tempat yang selalu dikunjungi oleh beliau dan keluarga adalah di teratak peranginan di Kampung Tok Lukok berhampiran Pantai Sabak, Kota Bharu, Kelantan.

Sumbangan dan Khidmat Masyarakat

Beliau telah mewakili Sultan Mansur untuk membeli rumah putih milik Syeikh Muhammad Salleh al-Kurdi di Mekah pada 12 Safar 1312H (14 Ogos 1894) untuk dijadikan sebagai rumah wakaf kepada anak-anak Kelantan yang belajar di sana dan juga yang mengunjunginya. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan pemerintah ketika itu, sebagai contoh beliau menjemput Sultan Mansur, Tengku Seri Indera, kerabat dan anak-anak raja bersantap pada 1 November 1897 ke Kampung Atas Banggul, Kota Bharu sempena majlis berkhatan anaknya (pada masa tersebut dipanggil jawi). Khidmat yang seterusnya dicurahkan oleh beliau adalah pada 9 Jun 1900 apabila beliau turut mengiringi Raja Kelantan yang kemudian bergelar Sultan Muhammad ke-IV pergi ke Bangkok, Thailand dan kemudian kembali semula pada 10 Ogos 1900. Semasa zaman pemerintahan tersebut iaitu semasa beliau memegang jawatan mufti, terdapat jawatan nazir yang dilantik untuk membuang panji-panji yang dipacak di tempat-tempat keramat pemujaan.

          Kesihatan beliau agak terganggu kerana mengalami sakit sengal sendi (gout) daripada kaki ke bahagian anggota atas serta mengalami masalah demam pada pertengahan tahun 1906. Masalah kesihatan beliau berlarutan dan mengalami sakit tenat bermula 12 Ramadhan 1325 (20 Oktober 1907) dan beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 29 Ramadhan 1325H (4 November 1907) ketika berusia 54 tahun. Beliau masih memegang jawatan sebagai mufti dan juga Imam Tua Masjid Besar Kota Bharu semasa meninggal dunia. Beliau kemudian telah dikebumikan pada hari berikutnya di Kubur Banggul, Kota Bharu dan jenazahnya telah diziarahi oleh Sultan Muhammad IV dan Raja Muda Tengku Zainal Abidin bin Tengku Kundor.

Saturday, September 13, 2014

Kebangkitan Jihad Ulama ke Atas British di Kelantan


Peranan ulama dalam membangkitkan perang jihad dan melancarkan perang sabil ke atas penjajah kuffar di Tanah Melayu yang terhenti selepas kekalahan Pattani pada 1876 kembali memuncak pada awal 1900. Tiga pemberontakan yang dipimpin oleh ulama di Pahang, Singapura, Kelantan dan Terengganu mempunyai hubungan yang rapat dengan pengaruh Othmaniyah. Sama ada kerana semangat jihad yang dibangkitkan oleh Sheikhul Islam Othmaniyah atau kerana Pan-Islamisme, yang penting ke semua kebangkitan ini berlaku atas nama jihad, dipimpin oleh ulama dan bertujuan mempertahankan Islam Othmaniyah.

            Beberapa ketika selepas tercetusnya pemberontakan Dahagi di Singapura, telah tersebar berita bahawa British akan kalah dalam peperangan menentang kerajaan Othmaniyah di wilayah-wilayah umat Islam di seluruh dunia. Agen perisikan Jerman memainkan peranan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat Kelantan. Dalam masa yang sama, kepulangan seorang ulama-hulubalang dari Mekah setelah hamper sepuluh tahun belajar di Mekah telah mengubah kesedaran tersebut kepada tindakan yang lebih agresif untuk mengalahkan British. British menguasai Kelantan melalui Penasihatnya semenjak 1903, dan diserahkan oleh Siam sepenuhnya pada 1909 melalui Perjanjian Bangkok.

            Tok Janggut atau Haji Mat Hassan Munas sebelum ke Mekah adalah hulubalang dalam Istana Jeram. Beliau adalah sepupu kepada Tuan Guru Haji Ismail yang bertanggungjawab membawanya ke Mekah dan dikatakan berguru dengan Sheikh Ahmad al-Fathani. Melalui gurunya, beliau didedahkan tentang Khilafah Othmaniyah dan diarahkan berjihad untuk memerdekakan Kelantan daripada penjajah kuffar. Kepulangan beliau ke Kelantan pada 1909, iaitu hamper serentak dengan kepulangan Tok Kenali selepas kematian Sheikh Ahmad. Seperti mana Tok Kenali juga yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan bersama Datuk Nik Mahmud dan Dato’ Laksamana, Tok Janggut terlibat dalam pentadbiran kerajaan Jeram.

            Perubahan sistem pentadbiran jajahan pada 1904 dan kehaidran wakil British, En. Latiff dari Singapura sebagai Ketua Jajahan menjejaskan kedudukan Engku Besar Jeram sebagai pembesar tradisional. Sebelum ke Mekah, Tok Janggut dikatakan mempunyai hubungan dengan pejuang Pahang yang berlindung di Kelantan seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman. Ini memberikan inspirasi kepada Tok Janggut tentang kesan campur tangan kuasa asing di Kelantan, seperti mana jatuhnya Pattani di Siam pada 1786. Berkebetulan pada Ogos 1914 telah berlaku ketegangan  memuncak antara Britain, Perancis dan Russia di satu pihak dengan Jerman, Austria dan kerajaan Othmaniyah di satu pihak yang membawa kepada Perang Dunia Pertama.

            Britain telah memaksa Sultan Kelantan supaya menyokong mereka dan mendoakan supaya mereka beroleh kemenangan. “Haji dan lebai” juga mesti berdoa supaya mereka untuk Britain dan tindakan akan diambil jika arahan tidak dipatuhi. Arahan aneh ini dilihat oleh Tok Janggut sebagai satu penghinaan kepada ulama dan umat Islam. Dalam masa yang sama Sultan Kelantan dipaksa untuk melarang rakyat Kelantan menyebelahi, menyokong atau simpati kepada kerajaan Othmaniyah. Mereka mengeluarkan propaganda bahawa jika kerajaan Othmaniyah mengalahkan British, seluruh bumi Islam termasuk Mekah akan dikuasai Jerman. Ini bertentangan dengan gagasan khilafah yang pernah dibuat oleh Sheikh Ahmad supaya semua kerajaan Melayu Islam bernaung di bawah kerajaan Othmaniyah.

            Fatwa Jihadi Ekbar Fardi Ayn ke atas British oleh Sheikhul Islam Othmaniyah atas alasan kerajaan Othmaniyah berkewajipan mempertahankan setiap inci bumi orang islam telah mempengaruhi penduduk Kelantan dengan cepat. British bertindak balas melarang akhbar-akhbar menyiarkan berita peperangan British dengan kerajaan Othmaniyah. Pemberontakan Dahagi di Singapura turut mempercepatkan kebangkitan rakyat Kelantan, dan faktor-faktor seperti masalah cukai, kehadiran En. Latiff dan pembunuhan Sarjan Che Wan hanya menyegerakan penentangan sahaja.

            Bagi menyahut seruan jihad Othmaniyah itu, pada 23 April 1915, Tok Janggut bersama pengikutnya telah berpakat dan menyusun strategi untuk menyerang British di Pasir Puteh. Serentak dengan itu, En. Latiff bagi pihak British telah menghantar Sarjan Che Wan Sulaiman bersama dua mata-mat untuk menangkap Tok Janggut, tetatpi gagal. Sebaliknya Sarjan Che Wan terbunuh. En. Latiff gagal mendapat bantuan daripada Kweng (Penghulu) Gaal dan Kok Berangan untuk menyekat kemaraan Tok Janggut sehingga memaksa En. Latiff berundur ke Kota Bharu. Ini membolehkan Tok Janggut menguasai Pasir Puteh dengan mudah. Engku Jeram Besar diangkat sebagai Raja, manakala Tok Janggut menjadi Perdana Menteri.

            Esoknya, British menerima laporan kejatuhan Pasir Puteh ke tangan Tok Janggut dan mendapatkan bantuan tentera dari Singapura. Beberapa pengikut Tok Janggut seperti Mat Pak Ya dan Mat Saman bersiap untuk menyerang Kuala Krai. Sebagai langkah berjaga-jaga, Sultan Mohammed Ke-IV telah menghantar Dato’ Menteri Mohd Hassan Salleh dan Dato’ Nik Mahmud ke Pasir Puteh untuk berunding. Tok Janggut telah memberi tahu bahawa mereka bukan menentang Sultan Kelantan, tetapi menolak penjajahan British. Walau bagaimanapun, atas paksaan British, Sultan Kelantan mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka dan memerintah supaya Tok Janggut di tangkap.


            Pada 3 Mei 1915, 239 tentera British dari Singapura bertolak ke Kelantan dan tiba pada 5 Mei dan mengarahkan kapal HMS Calmus berkawal di Kuala Semerak kerana dibimbangi Tok Janggut mendapat bantuan kerajaan Othmaniyah atau Jerman. 50 askar berkawal  di Tanah Merah dan Gunong, dan pada 8 Mei 1915 askar British mula bergerak ke Pasir Puteh. Sultan Kelantan pula dipaksa mengeluarkan arahan menyerah diri kepada Sultan atau British. Sebaliknya, di Pasir Puteh, Tok Janggut dan Engku Besar Jeram bersama pengikutnya menolak penyerahan dan mengisytiharkan jihad dan perang sabil ke atas British.

            Pada 24 Mei 1915, British telah menggeledah rumah Khatib Abu Bakar kerana dipercayai menjadi tempat perlindungan Tok Janggut. Khatib Abu Bakar menjadi syahid pertama dalam gerakan jihad ini. Kemudian askar British dan penyokong Tok Janggut bertempur di Kampung Dalam Pupoh, dekat Jeram. Dalam pertempuran ini, Tok Janggut bersama Tok Abbas dan Tok Hussein telah syahid. Engku Besar Jeram berjaya melarikan diri ke Reman, manakala 14 lagi pengikut Tok Janggut telah diburu oleh polis.


            Pemberontakan Tok Janggut kerana sentiment jihad ini seolah-olah tidak mendapat dukungan daripada murid-murid Sheikh Ahmad yang berpengaruh di Kelantan seperti Tok Kenali, Dato’ Nik Mahmud dan Dato’ Laksamana. Sebenarnya, tekanan British ke atas Sultan Kelantan telah menghilangkan peranan mereka. Lebih-lebih lagi Sultan Kelantan terpaksa bertindak ke atas Engku Besar Jeram ekoran pergolakan dalam istana apabila Tengku Bendahara dan Tengku Chik Penambang yang sedang menuntut takhta menyokong Engku Besar Jeram. Keadaan ini memaksa Sultan Mohammed Ke-IV untuk bertindak ke atas Tok Janggut, sekaligus menutup ruang untuk ulama menyokong gerakan jihad ini.

Thursday, June 5, 2014

Hari Ini Dalam Sejarah | 24 Mei 1915 | Ulama’ Tanah Melayu Bukan Pahlawan Kampungan.


Pada 24 Mei 1915, Hj. Mohd Hassan bin Munas atau lebih dikenali sebagai TOK JANGGUT bersama hampir 1000 pengikutnya telah menyerang British di Pasir Puteh, Kelantan. Dalam serangan tersebut, Tok Janggut sendiri telah terkorban syahid bersama beberapa pengikutnya. Begitulah cerita ringkasnya.

   Sepertimana kebanyakkan sejarah Melayu yang lain, kekurangan catatan yang jelas menyebabkan timbulnya berbagai versi penceritaan. Daripada yang berbentuk fakta sehinggalah kepada mitos dan lagenda. Daripada Tok Janggut sebagai ulama’ kepada pahlawan yang kebal ataupun ketua penjahat (Ring leader). Ada juga yang mempertikaikan samada Tok Janggut benar-benar terkorban dalam serangan tersebut atau apakah beberapa gambar yang dikatakan Tok Janggut itu benar-benar gambar beliau. Dalam episod Tok Janggut sumber rujukan yang biasa diambil adalah cerita rakyat, catatan istana serta sumber beberapa pegawai British yang terlibat dalam kejadian. Tetapi perkara utama yang menjadi perbezaan pendapat dikalangan pengkaji sejarah Tok Janggut ialah apakah sebab yang membawa kepada kebangkitan beliau dan pengikutnya menentang British.

    2 penyebab yang selalu dinyatakan sebagai faktor utama penentangan Tok Janggut adalah berkaitan cukai tanah dan tanaman serta sentimen anti-British. Terdapat juga pengkaji yang memasukkan unsur penentangan kepada Sultan kerana sikap Sultan dan kerabatnya yang menindas rakyat dan terlalu menurut penasihat British. Namun pendangan ini tidak mendapat tempat dalam versi rasmi sejarah Tok Janggut.

  Sejarah Tok Janggut juga biasanya hanya dilihat sebagai isu setempat. Kerana penyebabnya juga adalah isu setempat. Tidak keluar dari linkungan Pasir Putih atau Kelantan, apalagi nak dikaitkan dengan sebarang isu dunia . Namun satu faktor yang jarang disebut dan tidak diterima sebagai sejarah rasmi Tok Janggut ialah melihatnya sebagai satu rentetan dari cetusan kebangkitan Islam sedunia terhadap golongan penjajah yang mulai menakluki negara umat Islam sejak tercetusnya Perang Dunia Pertama pada 1914. Faktor ini walaupun disebut dalam beberapa kajian tetapi akhirnya dinafikan sebagai tiada kena mengena.

   Namun fakta bahawa ia disebut cukup untuk membuktikan faktor ini wujud walau dinafikan. Cheah Boon Kheng, professor sejarah di USM dalam bukunya “To’ Janggut/Old Long Beard” banyak memperbandingkan perbagai sumber penceritaan Tok Janggut. Namun bagi beliau faktor kebangkitan Tok Janggut sebagai satu `jihad’ yang ada kaitan dengan penglibatan Turki dalam Perang Dunia Pertama hanyalah bersifat `circumstantial evidence’ (kesimpulan berdasarkan keadaan semasa) tanpa bukti yang lebih dari itu (1). Walaupun tidak membuat kesimpulan yang jelas, beliau lebih banyak memetik faktor kebangkitan Tok Janggut samada kerana isu cukai yang dikenakan ataupun sikap membenci British. Beliau gagal memahami bahawa kebangkitan menentang kezaliman samada dalam bentuk cukai atau apa saja serta penentangan terhadap penjajahan keatas negara umat Islam juga adalah satu bentu jihad didalam Islam.

   `Circumstantial evidence’ boleh juga diguna sebagai hujah di mahkamah dan tidak boleh ditolak begitu sahaja. Tentu sekali kita tidak akan menjumpai satu deklarasi bertulis yang ditandatangani oleh Tok Janggut mengatakan kebangkitan beliau adalah menyahut fatwa jihad yang dikeluarkan oleh kerajaan Uthmaniah.

   Kita juga memahami bahawa secara kebiasaannya sesuatu peristiwa besar tidak terjadi kerana satu sebab sahaja namun mempunyai banyak faktor dan rentetan peristiwa yang membawa kepadanya. Bermulanya Perang Dunia Pertama bukanlah semata-mata disebabkan oleh pembunuhan Archduke Austria di Sarajevo walaupun peristiwa itu membawa kepada deklarasi perang oleh Austria-Hungary terhadap Serbia pada 28 Julai 1914. Negara-negara yang menyertai perang selepas itu mempunyai pelbagai sebab mereka yang tersendiri dan dendam kesumat yang telah disimpan sekian lama.

   Oleh itu tidak hairanlah isu cukai tanah hanyalah sebab terakhir (the last straw) yang mencetuskan penentangan bersenjata oleh Tok Janggut dan penduduk Pasir Putih terhadap penjajah British. British sememangnya telah sekian lama dibenci kerana sikapnya yang angkuh, merampas tanah, membonekakan Sultan, mengambil-alih pemerintahan negeri dan ditambah pula dengan sampainya berita penjajahan British dan Eropah keatas negara Islam yang lain, perang mereka terhadap satu-satu khilafah Islam Uthmaniah di Turki serta peranan British memberikan Palestin kepada Zionis Yahudi.

   Untuk memahami senario semasa yang boleh membawa kepada kebangkitan Tok Janggut kita boleh melihat sejauh penglibatan Kerajaan Utmaniayah dalam Perang Dunia Pertama. Penglibatan Turki adalah antaranya kejayaan muslihat Jerman memujuk golongan Turki Muda (Young Turks) untuk menandatangani perjanjian rahsia menyokong Jerman pada 2 Ogos 1914. Golongan Turki Muda telah mula merampas kuasa pentadbiran dari Sultan Abdul Hameed seawal tahun 1909. Penglibatan aktif Turki yang pertama adalah serangan laut keatas pelabuhan Rusia di Laut Hitam pada 28 Oktober 1914. Ini diikuti oleh pengisytiharan perang keatas Turki oleh Rusia pada 2 November dan oleh British dan Perancis pada 5 November 1914. Walaupun Khilafah Utmaniayah berada dalam keadaan yang lemah dan pentadbiran telah banyak dikuasai oleh golongan Turki Muda yang sekular, perang keatas Turki dilihat oleh umat Islam sebagai perang keatas satu-satunya khilafah Islam yang tinggal.

   Pada 11 November 1914, Kerajaan Uthmaniyah mengeluarkan fatwa yang ditandatangani oleh Syeikhul Islam Khaiyri Effendi yang menyeru semua umat Islam yang ditindas oleh penjajah barat bangkit bersama Kerajaan Turki. Fatwa ini lebih dikenali sebagai fatwa `Jihadul Akbar Farhu Ain’. Perkembangan ini mendapat perhatian umat Islam di Tanah Melayu terutama terutama dari kalangan Kaum Muda. Orang Melayu melihatnya sebagai Perang Salib Baru yang dilancarkan keatas Islam. Beberapa akhbar semasa terutama akhbar Neracha bukan sahaja memberi liputan perkembangan perang bahkan melancarkan tabung untuk membeli senjata kepada Turki (2).

   Faktor sokongan orang Melayu kepada kerajaan Turki juga jelas membimbangkan British. Kalu tidak masakan tidak sampai seminggu dari fatwa jihad dikeluarkan di Turki, akhbar New York Times pada 15 November 1914 melaporkan Sultan Kelantan terpaksa memberi jaminan kepada British bahawa rakyat Kelantan akan tetap taat kepada British dan tidak akan menimbulkan kekacauan walaupun British berperang dengan Turki (3).

  Peristiwa Dahagi di Singapura (Singapore Mutiny) pada 15 February 1915 juga menunjukkan Tanah Melayu mengikuti perkembangan kerajaan Turki dalam Perang Dunia Pertama. Dalam peristiwa ini 100 tentera Melayu dan 850 tentera India Muslim dibawah arahan British telah memberontak apabila menerima berita bahawa mereka akan dihantar untuk berperang melawan Turki bagi pihak British. Akibatnya seramai 47 orang telah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati disaksikan lebih 15 ribu orang awam pada 25 Mac 1915. Peristiwa ini tentunya menambah kebencian orang Melayu kepada British.

  British telah mengambil-alih pemerintahan Kelantan yang sebelumnya berada dibawah naungan Kerajaan Siam sejak 1909 melalui perjanjian Anglo-Siamese. Dalam peristiwa Tok Janggut, `adegan terakhir’ (the last straw) bermula apabila British memperkenalkan cukai tanah menggantikan cukai tanaman sebelum itu. Cukai tanaman yang dikenakan telahpun membebankan rakyat dan cukai tanah yang baru menamatkan kesabaran mereka. Tok Janggut dan pengikutnya membuat keputusan untuk tidak lagi membayar cukai, membuat menentangan terbuka dan merancang untuk mengambil-alih pentadbiran jajahan Pasir Putih.

   Mengesan peranan Tok Janggut mengajak penduduk tempatan memerangi British, satu waran tangkap terhadap Tok Janggut telah dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Abdul Latif dari Singapura. Ketua Balai Polis Pasir Putih, Sarjan Che Wan Sulaiman telah diarahkan menangkap Tok Janggut. Namun percubaan untuk menangkap beliau pada 29 April 1915 berakhir dengan pertelingkahan yang menyebabkan Sarjan Che Wan ditikam mati. Bermulalah perang Tok Janggut dengan British.

   Untuk tempoh yang pendek Tok Janggut berjaya menawan Pasir Putih dan menubuhkan kerajaan sendiri. Ini juga telah menimbulkan kemarahan Sultan Kelantan yang menganggapnya sebagai penderhaka. Pegawai Daerah lantikan British Abdul Latif pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. British terpaksa menghantar bantuan tentera dari Singapura untuk menghadapi pemberontakan Tok Janggut. Pada malam 23 Mei 1915, Tok Janggut mengambil keputusan untuk menyerang British daripada menunggu untuk diserang. Tok Janggut menyerang tentera Sikh yang dibawa oleh British dari Singapura sekitar jam 3 pagi, 24 Mei 1915. Dalam pertempuran inilah Tok Janggut bersama 6 lagi pengikutnya gugur syahid. Mayat beliau kemudiannya dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kepala ke bawah di Padang Bank sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

  Sho Kuwajima, Emeritus Professor di Universiti Kajian Luar Osaka dalam kajiannya terhadap peristiwa Dahagi di Singapura menyimpulkan :
“ ….. melainkan penduduk Kelantan dan anggota Fifth Light Infantry (unit tentera India Muslim yang melancarkan pemberontakan di Singapura) mempunyai persamaan persepsi mereka terhadap perang di Eropah, pemberontakkan di Singapura tidak mungkin akan menggalakkan penduduk Kelantan bangun menentang British sebegitu rupa. Pandangan mereka yang kritikal terhadap perang di Eropah lah yang memaksa mereka (tentera India Muslim) mengorbankan nyawa tanpa kerelaan – pandangan inilah yang dikongsi bersama di Singapura dan Malaya bahkan diseluruh dunia (Islam). Dalam konteks ini kebangkitan rakyat Kelantan pada 1915 `bukan sekadar ribut di dalam cawan, bahkan di pentas dunia’ ( was not a storm in a tea cup, but in the world cup ) (4).

  Perjuangan ulama’ Melayu silam seperti Tok Janggut di Kelantan, Tok Ku Paloh dan Hj. Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau dan Dato’ Bahaman di Pahang bukanlah bersifat tempatan semata-mata. Mereka juga bukan pahlawan kampungan. Mereka sendiri telah meletakkan perjuangan mereka merentasi tempurung bangsa Melayu dan sempadan kedaerahan, bahkan meletakkan bai’ah mereka kepada khilafah dan ummah. Malang sekali kalau kita hari ini kembali kepada tempurung kebangsaan yang telah lama ditinggalkan oleh ulama’ pejuang Melayu yang silam. Wallahu’alam.

Ar. Hj. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
untuk J/Kuasa Pembelaan Ummah
Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor

Gambar Hiasan - Pengisytiharan Fatwa Jihad oleh Kerajaan Uthmaniyah Turki

(1) Cheah Boon Kheng ,“To’ Janggut/Old Long Beard” : 2006
(2) Farid Mat Zain, Daulah Uthmaniayah dan Alam Melayu : 2009
(3) http://query.nytimes.com/gst/abstract.html?res=980DE2D8153FE233A25756C1A9679D946596D6CF
(4) Sho Kiwajima, Indian Mutiny In Singapore, 1915 : People who observe the scene and people who heard the news – New Zealand Journal of Asian Studies, June 2009. [Ph]

sumber: Palestine Centre of Excellence - PACE

Saturday, February 1, 2014

Lady Evelyn Cobbold: Wanita British pertama tunai haji

Hidup sebagai kaum bangsawan dengan kegelimangan harta, kehormatan, dan kemasyhuran sering kali diimpikan ramai orang.

   Hidup sebagai bangsawan laksana hidup di sebuah negera dongeng dengan sekali perintah segala keinginan boleh menjadi kenyataan. Begitu juga yang dialami oleh Lady Evelyn Cobbold.

   Sesuai dengan gelaran Lady yang melekat pada namanya, Evelyn Cobbold lahir sebagai seorang anak bangsawan. Lahir dengan nama Evelyn Murray di Edinburgh pada 17 Julai 1867, Evelyn merupakan anak tertua dari bangsawan Scotland, Charles Adolphus Murray, Pangeran Dunmore ke-7 dan Lady Gertrude Coke, anak perempuan dari Pangeran Leicester kedua.

   Dengan takdir hidup yang dijalaninya sebagai anak bangsawan, sejak kecil Evelyn merasa berbagai macam kenikmatan. 

   Namun, Evelyn dan keluarganya berhijrah mengikut ayahnya ke Wilyah yang lebih eksotik di Afrika Timur. Sejak itu kehidupan Evelyn banyak dikelilingi pembantu tempatan dari penduduk asli Mesir dan Algeria. Evelyn banyak menghabiskan musim sejuk bersama dengan pembantu tersebut dan kehidupannya juga banyak dipengaruhi oleh cara-cara Islam dan tradisi Arab.

   Tentang kehidupan masa kecilnya, Evelyn menulis: "Aku menghabiskan musim sejuk di Vila Moorish, di sebuah lembah di luar Algeria. Di sanalah aku belajar bahasa Arab dan yang paling aku gemari adalah saat melarikan diri dari status bangsawanku dan melawat masjid bersama teman-teman Aljazairku. Tanpa sedar, aku merasa menjadi seorang Muslim di dalam hatiku.

   "Beberapa tahun berlalu dan aku tinggal di Rom bersama beberapa rakan Itali dan tuan rumah menawarkan aku adakah aku mahu bertemu Paus. Tentu saja saya sangat mahu. Kemudian, semasa Yang Mulia Paus tiba-tiba bertanya adakah aku seorang Katolik, beberapa saat lamanya aku tidak menjawab untuk kemudian berkata bahawa aku seorang Muslim."

   Untuk seorang wanita bangsawan, umur seperti Evelyn adalah lewat dalam bab pernikahan. Dia berkahwin pada usia 24 tahun dengan John Dupuis Cobbold, seorang lelaki keturunan keluarga pembuat bir yang kaya raya di sebelah timur Inggeris.

   Mereka bertemu di Kaherah dan berkahwin di sana pada April 1891. Pasangan suami isteri ini dikurniakan tiga orang anak yang lahir antara tahun 1893 hingga 1900.

   Pada tahun 1900, Lady Evelyn melakukan perjalanan tanpa suaminya. Dia kembali ke Afrika Utara tahun 1911 pada usia 43 tahun dan melakukan perjalanan di Mesir. Pada tahun 1912, buku tentang perjalanannya tersebut diterbitkan dengan judul Wayfarers in the Libyan Desert.

   Sejak saat itulah dan seterusnya, pengakuan dirinya sebagai seorang Muslim semakin meningkat. Lady Evelyn kemudian menukar namanya menjadi Lady Zainab.

   Setiap musim sejuk Lady Zainab melawat Mesir dan sejak tahun 1915 dia menjalin persahabatan dengan Marmaduke Pickhall, dengan seorang Inggeris Muslim yang menghasilkan salah satu penterjemahan Al-Quran ke dalam bahasa Inggeris yang sangat dihargai.

   Pada tahun 1920, maklumat yang bersifat jenaka menyebarkan bahawa Lady Evelyn masuk Islam menjadi penyebab kerenggangan hubungannya dengan keluarga Cobbold. Akhirnya, pada tahun 1922 Evelyn dan suaminya rasmi bercerai.

   Evelyn memperoleh harta yang sangat banyak, termasuk hutan mengandungi rusa di Glencarron. Harta tersebut menjadikan dirinya sebagai wanita terkaya di wilayahnya. Selepas kematian suaminya pada tahun 1929, Evelyn mula serius untuk melakukan perjalanan haji ke Mekah.

   Keseriusannya pergi mengerjakan haji diwujudkan dengan mengemukakan permohonan ke Hafiz Waba, Menteri Arab Saudi di London yang kemudian menuliskan surat permohonan rasmi kepada Raja Abdul Aziz di Riyadh.

   Lama permohonan tersebut untuk dibalas. Bukan sifat Evelyn untuk menunggu, dia kemudian menghantar surat perkenalan kepada Harry St . John (Abdullah Philby) di Jeddah.

   Philby sendiri telah menjadi Muslim sejak tahun 1930. Sambil menunggu izin dari Raja, Philby lah yang menetapkan perjalanan menggunakan kereta ke Madinah.

   Akhirnya, pada tahun 1933, keinginan evelyn untuk menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan selepas Raja Abdul Aziz mengabulkan permohonannya.



   Demikianlah kisah Lady Evelyn Cobbold, seorang wanita bangsawan Inggeris pertama yang menunaikan haji ke Mekah. Bahkan, boleh dikatakan bahawa Lady Evelyn lah wanita asli kelahiran Inggeris pertama yang melakukan perjalanan haji. Kisah perjalanan haji Evelyn dituliskan dalam buku yang berjudul Pilgrimage to Mecca (Berhaji ke Mekah).

   Dalam sejarahnya, tidak banyak fakta yang didapati bahawa Evelyn secara rutin melaksanakan ibadah solat. Namun, diyakini bahawa dia telah mengisytiharkan syahadah dan mengerjakan haji menjadi puncak membuktikan dunia sebagai Muslim.

   Lady Evelyn Zainab meninggal 30 tahun selepas menunaikan haji, tepatnya pada Januari 1963, salah satu bulan yang paling sejuk dalam sejarah Inggeris. Evelyn dikebumikan mengikut syariat Islam di kawasan Glencarron.

* Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com

Thursday, January 30, 2014

Pas Tak Pernah Rugi Dalam Berkawan :)



PILIHAN raya umum 1955 diperkenalkan oleh British untuk menyediakan pemimpin-pemimpin sebelum kemerdekaan diberikan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam pilihan raya di bawah tekanan Ordinan Darurat 1948 yang menyediakan iklim intimidasi dan euforia ketakutan ini , Umno, MIC dan MCA berada dalam satu koalisi yang dikenali sebagai Perikatan yang berlambangkan kapal layar.

Impaknya seperti diduga, perikatan Umno, MCA,MIC telah berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Pas melalui calonnya Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Husain telah memenangi kerusi Krian Perak.

Selepas mencapai kemerdekaan, pihak oposisi yang mengadakan pemuafakatan politik ialah parti berhaluan sosialis iaitu Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh.

Jalur Melayu dan Cina sosialis-marhaenism ini juga menjadi kelompok yang kuat berkubu di bandar dan pinggir bandar dan menjenamakan mereka sebagai Sosialist Front (SF).

Pas yang mula dipimpin oleh Dr Burhanuddin al Helmi pada tahun 1956 mengakar kukuh di kawasan Melayu dan seterusnya memenangi negeri Kelantan dan Terengganu pada tahun 1959.

Pas pernah berpakat dengan Parti Negara yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar sehingga pengasas Umno itu memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pas, selepas tragedi 13 Mei 1969 telah jemput untuk berada dalam koalisi baru yang dinamakan Barisan Nasional, walaupun telah membayar harga yang mahal apabila segelintir pemimpin dan ahlinya tidak bersetuju dengan tindakan Pas yang dipimpin oleh Dato Asri.

Suara vokal Psd yang mula mengendur akibat berada dalam kerajaan campuran, maka anak-anak muda bernuansa Islam menuhuhkan Abim pada tahun 1971.

Pas semasa dalam kerajaan campuran telah melakukan pemberdayaan Islamisasi dalam pentadbiran, antaranya menghapuskan iklan arak di media perdana, laungan azan di media eletronik, mengadakan bulan dakwah, mengaktifkan Yadim dan pelbagai jasa yang masih dikecapi masyarakat negara ini.

Jodoh Pas tidak panjang bersama BN, Umno tidak pernah jujur bersahabat dan Pas ditendang keluar pada tahun 1977.

BN menaja serpihan yang dikenali sebagai Berjasa dalam pilihan raya umum tahun 1978 dan Pas hilang pengkalan kuasanya di Kelantan.

Awan hitam pekat mengarak di dada langit, namun tempohnya singkat apabila ulama-ulama Pas dengan pantas menggerakkan gerakan jihad ta'lim serta pentarbiahan kepada ahli yang agak merosot akibat keputusan teruk PRU 1978.

Dalam dekad 1980an, ditengah gelombang kebangkitan Islam pencapaian Pas dalam persaingan demokrasi agak suram dan dramatik.

PRU 1982, aktivis-aktivis gerakan Islam terpanar dengan kemasukan Presiden Abim ke dalam Umno, juga menyaksikan masyarakat yang teruja dengan peralihan kepimpinan negara pada tahun 1981.

Mahathir menggantikan Husein Onn dan memperkenalkan dasar Penerapan Nilai Islam ( PNI), diikuti beberapa institusi berbaur Islam sebagai tarikan pesona untuk masyarakat Muslim negara ini mengekalkan sokongan kepada kerajaan BN.

Dalam PRU 1986, Pas cuba membina hubungan dengan kaum Cina negara ini dengan penubuhan CCC ( Chinese Consultative Council), namun Pas dipukul dengan keputusan paling teruk dalam sejarah penyertaannya di medan persaingan kuasa. Pas hanya menang satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa, yang dimenangi oleh Haji Nik Abdullah Nik Arsyad.

Langit tak selalu siram, sinar mentari akhirnya memancar terik, berkat dedikasi dan keikhlasan amilin Pas, ALLAH menghadirkan kekuatan demi kekuatan apabila sistem dokongan Pas mula melebar akibat program pencerahan semakin mengisi ruang masyarakat.

Kelompok kelas menengah Melayu semakin bertambah manakala kebejatan pemerintahan regim BN makin dihidu rakyat. Umno berpecah pada tahun 1987, antara kem Mahathir dan kem Ku Li, menatijahkan lahirnya parti Semangat 46.

Pilihan raya kecil Teluk Pasu Terengganu pada tahun 1989, menyaksikan calon Pas, Ustaz Harun Taib memenangi kerusi panas tersebut.

PRK itu menjadi asas permulaan untuk pemuafakatan politik yang lebih menyakinkan kepada front Melayu Islam negara ini.

Angkatan Perpaduan Ummah yang digagaskan untuk PRU 1990 menyaksikan Pas, Semangat 46, Berjasa, Hamim berjaya menyapu bersih semua kerusi di Kelantan. Pas memperolehi manfaat paling besar dengan kembalinya negeri jantung Melayu itu kepada parti Islam tertua negara ini.

Gegaran politik paling dramatik yang berlaku akibat pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, juga menyaksikan lanskap dan demografi politik Malaysia berubah dengan pantas.

Pas yang dipimpin oleh almarhum Dato Fadhil Noor telah menguruskan kebangkitan rakyat dengan berkesan, tertubuhnya GERAK, seterusnya pakatan politik pelbagai kaum dan jaringan sivil yang menghantar kejayaan besar Pas dalam PRU 1999.

Pas memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi Dun di seluruh negara dalam PRU 1999. Barisan Alternatif yang menampilkan Pas, Parti Keadilan, DAP memberikan tentangan sengit kepada koalisi BN. Terengganu dan Kelantan diperintah oleh Pas , dua buah negeri yang didominasi oleh orang Melayu .

Episod pemuafakatan politik pelbagai kaum makin terserlah dengan berlakunya tsunami politik pada tahun 2008, lima buah negeri tumbang kepada parti oposisi yang akhirnya dijenamakan sebagai Pakatan Rakyat.

Semenjak 2008, serangan hodoh BN terhadap PR tidak pernah berhenti sehingga kini. Pelbagai drama , kejutan demi kejutan sentiasa berlaku, ramai pemain politik samada PR dan BN turun dan naik daripada panggung politik sehinggalah kini.

Pakatan Rakyat tidak pernah sunyi dilambung gelombang, diterjah krisis, disepuh masalah, apatah lagi dengan pelbagai variasi para penyokongnya.

Koalisi paling besar pengaruhnya ini dalam sejarah parti oposisi berjaya membentuk kerajaan negeri dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN dalam PRU 13. Keberadaan PR menjadi kuasa semak dan imbang yang kuat kepada regim BN dan dua blok kuasa politik ini menjadi pilihan rakyat negara ini.

Pas dalam sejarahnya melalui pelbagai tajribah politik dalam usaha memenangi rakyat serta salah satu usaha parti Islam ini melebarkan dakwah.

Kebijakan politik Pas ini akhirnya juga diadaptasi oleh gerakan Islam di dunia seperti memunculkan MMA di Pakistan, koalisi parti -parti muslim yangtelaah menyatukan Jamiatul Ulama dan Jamiat Islami.

Pas tidak pernah mengkhianati rakan pemuafakatannya dalam sejarah, pernah sepi bersendirian, disakiti teman tahalluf siyasi namun harakatul ummah ini dengan jiwa yang besar terus membadai perjuangan.

Keikhlasan berteman inilah antara sifir congak paling ampuh mengapa parti Islam ini makin melebar sokongan dan dokongan termasuk kaum bukan Islam.

Hormatilah Pas sebagai temaan pemuafakatan politik, jangan sakiti gerakan Islam ini kerana sejarah menunjukkan Pas tidak pernah rugi dalam berkawan.

Parti berbasis aqidah ini mempunyai prinsip dan didokong jutaan manusia, ia terus bergerak dan mara untuk menyampaikan dakwah dan merengkuh sokongan siasah untuk menunjang Syariah dalam tanahair tercinta ini.

Tiada madah berhelah, kerana obligasi akhirat adalah matlamat pasti harakatul ummah ini.




- Ini merupakan penulisan dan coretan Dr Riduan Mohamad Nor, Setiausaha Lujnah Dakwah     Pas Pusat

Saturday, December 28, 2013

Pengertianku Tentang Hidup Ini


Aku tahu rezekiku tak mungkin diambil oleh orang lain
Kerananya hatiku tenang.
Aku tahu amal-amalku tak mungkin dilakukan oleh orang lain
Maka aku sibukkan diriku dengan bekerja dan beramal.
Aku tahu Allah selalu melihatku
Kerananya aku malu bila Allah melihatku melakukan maksiat.
Aku tahu, kematian menantiku,
Makanya aku siapkan bekal untuk berjumpa dengan Rabb-ku.. Allah..





- Allahyarham Dato' Razali Ismail (1949-2008)

Join Me On Flickr !


Alhamdulillah... Baru je nak berjinak-jinak dengan dunia fotografi.
Join saya di flickr. Bolehlah share gambar untuk mendapat ilham 
photoshoot :)