1.0 Pendahululan
Kepada Perkembangan Sejarah dan Ketamadunan Islam
Perkembangan Islam bermula dari
pensyariatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sejak turunnya wahyu oleh
Allah S.W.T kepada Rasulullah di Gua Hira’ pada awal 600 Masihi melalui surah Al-’Alaq
iaitu,
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama
Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) (1). Ia menciptakan manusia
dari sebuku darah beku (2). Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah
(3).”
(al
- ‘Alaq ayat 1 hingga 3)
Surah ini memberikan gambaran bahawa agama
Islam mula berkembang melalui penyebaran ilmu sebagaimana perkataan “Bacalah”
yang menekan betapa peri pentingnya penyebaran ilmu dalam usaha mendekatkan
diri kepada Pencipta mereka. Ini berkait rapat dengan kemajuan sesebuah tamadun
sebagaimana kemajuan Tamadun Renaissance yang dikatakan zaman kelahiran
semula kerana masyarakat zaman ini didakwa menjadi pemangkin kemajuan dalam
bidang sains dan teknologi, seni bina, agama dan kesusasteraan.
Kemajuan
dalam penyebaran ilmu pengetahuan ini secara tidak langsung berkait rapat dengan
ketamadunan sesebuah kerajaan. Oleh itu, peristilahan maksud tamadun ini
kebiasaanya akan memberi gambaran mengenai tahap kegemilangan peradaban dan
kemajuan hidup yang dicapai oleh setiap bangsa di dunia ini. Dari segi istilah Bahasa
Melayu, tamadun merupakan istilah yang paling popular digunakan dalam
masyarakat Melayu untuk menceritakan tentang kebudayaan, kemajuan, pembangunan,
peradaban dan kemajuan yang dicapai oleh sesuatu bangsa. (Amdun Husain, 1986).
Justeru, tamadun adalah sebuah masyarakat yang membangun melalui proses urbanisasi
dengan nilai-nilai, adab-adab dan tatasusila hidup serta berbudi luhur.
Dari
segi istilah Bahasa Inggeris pula, Civilization menurut
Colingwood : “Suatu proses bagi mencapai tahap kehidupan civil (sopan), membawa
lahirnya ciri-ciri masyarakat bandar yang mempunyai kehalusan budi”. E.B.
Taylor (ahli antropologi) pula menyamakan istilah tamadun dengan budaya sebagai
suatu yang merangkumi makna keseluruhan pencapaian manusia termasuk
pengetahuan, kepercayaan, seni moral, undang-undang, adat dan keupayaan-keupayaan
serta tabiat-tabiat lain yang didapati oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Pengistilahan
Bahasa Arab memberikan definisi tamadun sebagai al-hadarah. Istilah
ini dipopularkan oleh Malik bin Nabi, berasal daripada perkataan hadar yang
membawa maksud kehidupan secara menetap, tempat lahirnya perkembangan ilmu,
kesenian, kesusasteraan undang – undang dan kemasyarakatan. Selain itu, Mohamad
‘Abduh dan Muhammad Farid Wajdi memperkenalkan istilah al-madaniyyah berasal
daripada perkataan madana, madani, Madinah yang membawa pengertian pembinaan
kota dan tempat tinggal menetap. (Farid Wajdi, 1967). Ia berupa metodologi
kehidupan dan cara mengambil manfaat daripada segala sumber tenaga semulajadi
dan tenaga manusia. Usaha kearah itu memerlukan keilmuan yang tinggi dan
pengalaman yang cukup melalui proses penyelidikan dan rekaan terhadap sesuatu
yang dikira boleh mendatangkan faedah kepada manusia.
Hadharah
pula menjurus pembinaan insaniah manusia (kerohanian) sementara madaniyyah
menjurus pembinaan material. Bagaimanapun kedua-duanya adalah sama dari segi
penggunaan Bahasa iaitu membangun, membina, memaju, menguat dan memperbaiki
kehidupan masyarakat. Gabungan kedua-dua maksud di atas memperlengkapkan maksud
sebenar tamadun menurut perspektif Islam. Elemen penting yang ditekankan oleh
Ibn Khaldun ialah segala ciri-ciri tamadun haruslah terbina atas asas spiritual
(hidayah) Allah bukan jibayah yang hanya mementingkan material
semata-mata.
2.0 Perkembangan
Sejarah dan Ketamadunan Islam di Timur Tengah
2.1 Perkembangan Ketamadunan
Islam di Zaman Rasulullah S.A.W
Perkembangan Islam bermula di Mekah dan
Madinah sebaik sahaja Nabi Muhammad S.A.W dilantik menjadi Rasul atau Pesuruh
yang kemudian dikenal dengan nama Rasulullah atau Pesuruh Allah, maka
baginda terus menjalankan seruan Islam dengan memperkenalkan ajarannya kepada
masyarakat Arab melalui wahyu yang disampaikan oleh Allah S.W.T. Langkah yang
pertama yang mendapat tumpuan Nabi Muhammad S.A.W ialah membaiki akidah mereka
yang menjadi asas kepada perkara-perkara yang lain. Perkara ini perlu
diutamakan sebelum pembentukan masyarakat Islam yang sempurna secara
kesuluruhannya. Menurut Haji Dusuki Haji Ahmad melalui bukunya, Ikhtisar
Perkembangan Islam menyatakan al-Quran diturunkan di Mekah dengan tujuan
utama ke arah pembentukan akidah dan seterusnya diturunkan di Madinah yang
menekankan aspek personal dan masyarakat dari semua aspek seperti soal-soal
ibadah, ekonomi, politik, sosial, jihad, kekeluargaan dan sebagainya. Tamadun
Islam yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W lebih terserlah berlakunya selepas
baginda S.A.W berhijrah ke Madinah dan membina negara di sana. Pembinaan
Tamadun Islam pada zaman baginda S.A.W bermula sejak 13 tahun sebelumnya di
Mekah dan 10 tahun di Madinah. Dilihat dalam susur galur sejarah islam, selepas
berlakunya sepuluh tahun baginda memerintah negara Islam Madinah, Tamadun Islam
sudah dapat ditegakkan di dua buah kota besar Semenanjung Tanah Arab iaitu
melalui pembinaan kota Madinah
al-Munawwarah dan kota Mekah al-Mukarramah.
Peringkat permulaan ajaran islam melalui 3
tahap iaitu melalui secara sulit, peringkat secara terus terang kepada kaum keluarga dan
peringkat secara berterus terang kepada orang ramai. Melalui 13 tahun melalui
proses tarbiah di Mekah, penumpuan yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W
pada peringkat ini bersifat penyediaan untuk menghadapi golongan jahiliah. Kejayaan
baginda dan para sahabat dalam menempuh pelbagai ujian di samping penyediaan
batu asas yang kukuh di Madinah sebelum hijrah, merupakan strategi yang paling
menarik dalam agenda pembinaan tamadun. Antara persediaan yang dilakukan oleh
baginda ialah:
i.
Pembinaan
ketahanan spiritual melalui penekanan akidah atau kepercayaan yang teguh kepada
Allah S.W.T dan kerasulan Muhammad S.A.W serta keyakinan kepada alam ghaib,
syurga dan neraka melalui penerapan Rukun Iman dan Rukun Islam.
ii.
Pembinaan
Ketahanan Mental dengan cara memaksa umat Islam sentiasa berfikir dan
berikhtiar mencari jalan melepasi segala rintangan dan dugaan yang diterima
serta memilih strategi dakwah terbaik di tengah-tengah gelombang masyarakat
jahiliyyah menentang Islam.
iii.
Pembinaan
ketahanan emosi melalui latihan agar sentiasa tabah dan sabar dalam mengharungi
ujian Allah.
iv.
Pembinaan latihan
fizikal menerusi latihan secara praktikal melalui penganiyaan musyrikin Mekah.
Mereka terpaksa menahan lapar akibat pemulauan, terpaksa menahan sakit pedih
kerana disebat, dilecur dengan api dan pelbagai penyeksaan lagi.
Seterusnya
menerusi hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah merupakan langkah drastik ke
arah era pelaksanaan syariat secara menyeluruh apabila semua masyarakat Madinah
bersedia menyerahkan kota tersebut di bawah pentadbiran baginda S.A.W. Antara
strategi yang telah ditekankan oleh Rasulullah S.A.W dari aspek politik, ekonomi dan sosial.
Aspek-aspek tersebut seperti:
i.
Aspek politik. Nabi Muhammad S.A.W telah menubuhkan
negara Islam melalui penyatuan golongan Aus, Khazraj dan Yahudi yang telah
berperang beratus tahun merebut kekuasaan. Baginda diterima sebagai pemimpin
masyarakat Madinah dan seterusnya melancarkan Piagam Madinah (Constitution
of Madinah) yang terdiri daripada 47 fasal. Seterusnya baginda telah
mewujudkan sistem kehakiman dan menyusun sistem pentadbiran berpusat di
Madinah. Kerajaan Islam ini dibahagikan kepada enam wilayah dan setiap wilayah
terdiri dari seorang gabenor yang bertanggungjawab kepada pentadbiran pusat.
ii.
Aspek Ekonomi. Baginda telah melaksanakan sistem zakat,
ghanimah, kharaj, fai’ dan mendirikan pasar di Madinah. Perniagaan, pertanian,
penternakan dan perdagangan antarabangsa juga turut berlangsung pada zaman
baginda. (Nik Kamaliah Nik Abdullah, 1994).
iii.
Aspek Sosial. Rasulullah S.A.W membina masjid sebagai
tempat solat sekaligus berfungsi sebagai markaz, madrasah dan parlimen. Ia juga
berperanan sebagai pusat penyebaran dakwah sama ada dalam bentuk wahyu dan juga
tempat menerima tetamu daripada dalam dan luar negeri. Rasulullah S.A.W juga
berjaya mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar sehingga mereka sanggup
berkorban demi kepentingan saudara mereka. (Nik Kamaliah Nik Abdullah, 1994).
2.2 Zaman Khulafa’ al-Rasyidin
Setelah
wafatnya baginda S.A.W, empat orang sahabat iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar ibn
al-Khattab, Uthman ibn ‘Affan dan Ali bin Abi Talib R.A telah diamanahkan untuk
meneruskan sistem pemerintahan Daulah Islamiah yang berpusat di Mekah
dan Madinah yang dikenali sebagai Khulafa’ al-Rasyidin. Perkataan Khulafa’
atau Khalifah pada asalnya bererti pengganti kemudian ia digunakan kepada
jawtan ketua umum dalam pentadbiran urusan dunia dan hal ehwal agama selepas
Rasulullah. Kedudukan dan taraf seorang khalifah dari segi kuasanya adalah sama
seperti Rasulullah.
Zaman
pemerintahan Khalifah Abu Bakar telah membawa banyak pembaharuan dalam
ketamadunan islam selepas zaman Rasulullah S.A.W. Sumbangan yang paling dominan
ialah pengukuhan akidah dalam memerangi golongan yang murtad dan membentuk
pasukan tentera yang khusus untuk menjaga keamanan dan kemakmuran di kedua-dua
negara Islam di Mekah dan Madinah. Usaha pembentukan tentera yang dikenali
sebagai Usamah ini bermatlamatkan untuk menghancurkan gerakan orang murtad
selepas kewafatan Rasulullah. Selain itu, Abu Bakar juga mengumpulkan
al-Quran sebagai langkah untuk
memelihara mushaf al-Quran daripada hilang atau dimusnah serta banyak hafiz
yang meninggal dunia.
Pada
zaman Khalifah Umar al-Khattab pula telah menjadikan sistem politik negara
islam tersebut lebih tersusun dan sistematik. Malah, penyebaran Islam telah
berkembang dan meluas ke negeri-negeri Syam, Mesir dan Parsi. Beliau
membahagikan kawasan pentadbirannya kepada lapan daerah iaitu Mekah, Madinah,
Syria, al-Jazirah (Mesopotamia), Basrah, Kufah, Mesir dan Palestin. Tiap-tiap
kawasan ditadbir oleh seorang pesuruhjaya yang dikenali dengan nama wali dengan
dibantu oleh beberapa orang pegawai seperti Setiausaha Ketua Tentera, Pemungut
Cukai, Pegawai Polis, Pegawai Perbendaharaan dan Hakim (kadi).
Manakala
di Zaman Khalifah Osman bin Affan menunjukkan senario politik Islam tidak
menentu. Beliau juga yang merupakan penulis wahyu Rasulullah S.A.W dan dikenali
gelaran Zu-nurain ini dilantik oleh Abdul Rahman bin Auf bagi
menggantikan Saidina Abu Bakar. Beberapa perubahan dalam sistem politik Islam
dibawah pemerintahan 12 tahun Saidina Osman. Antaranya ialah Marwan bin
al-Hakam yang merupakan setiusaha Osman bin Affan melakukan perubahan perlantikan gabenor yang
dilantik oleh Khalifah Umar telah dipecat dan diganti daripada keturunan Bani
Umayyah iaitu kaum keluarganya sendiri. Tindakan Marwan ini menyebabkan
berlakunya kekacauan dalam sistem politik yang diterajui oleh Osman yang
dikatakan lemah dalam pentadbirannya kerana sudah mencapai usia 80 tahun. Osman
bin Affan dibunuh kerana fitnah yang dikatakan beliau telah menulis surat untuk
mengarahkan Abdullah bin Saad, Gabenor Mesir untuk membunuh Muhammad bin Abu
Bakar dan rombongannya apabila mereka sampai di Mesir.
Dibawah
pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib juga bertindak memberhentikan semua
gabenor yang dilantik oleh Saidina Osman. Tindakannya menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam
kalangan rakyat yang bersimpati atas kematian Saidina Osman. Ramai ahli sejarah
berpendapat bahawa tindakan Khalifah Ali ini dan kelemahan-kelemahannya dalam
pentadbiran merupakan faktor secara langsung kejatuhan kerajaan Khulafa
ar-Rasyidin. Walau bagaimanapun, kelahiran parti dalam sistem politik islam ini
merupakan perintis kepada pembaharuan politik islam moden. Antara parti politik
yang dilahirkan diasaskan ialah Parti Syiah yang pro Khalifah Ali, parti Ahli
Sunnah yang pro Muawiyah dan parti Khawarij yang anti kepada kedua-dua parti tersebut.
Di
zaman pemerintahan empat orang khalifah ini, Tamadun Islam dikatakan dapat
dikembangkan ke seluruh Semenanjung Tanah Arab dan melampaui Empayar Rom dan
Parsi. Kota-kota Islam telah dapat diwujudkan antaranya ialah Damascus di
Syria, Basrah, Kufah dan Fustat di Mesir dan Jerusalem di Palestin.
2.3
Zaman Daulah Bani Umaiyah
Pada
zaman Daulah Bani Umaiyah, Tamadun Islam telah sampai ke Asia, Afrika dan
Eropah. Kota Byzantine yang terletak di sempadan Damsyik menjadi tumpuan.
Selanjutnya Islam berkembang di bumi India melalui pimpinan Muhammad al-Qasim
yang berjaya menawan Sind pada abad ke – 8 Masihi. Di sekitar abad ke 13 Masihi
pula, Islam telah sampai ke Asia Tengah apabila tentera Islam dapat membuka
Bukhara, Samarqand, Khawarizmi, dan Farghanah. Seterusnya membuka jalan ke
China melalui Qutaybah bin Muslim yang berjaya menguasai Singkiang dan
kemudiannay mara ke Kansu. Daulah Bani
Umaiyah dikatakan dapat menjalankan hubungan Maharaja Hsuan pada tahun 713
Masihi.
Manakala
di sebelah Afrika Utara dan Maghribi pula, Tamadun Islam telah berjaya
ditegakkan di sana melalui Hassan bin Nu’man al-Ghassani yang kemudiannya
dilantik sebagai gabenor di situ. Tempat beliau kemudiannya diganti oleh Musa
bin Nusayr yang menjadi Amir Qayrawan. Sementara itu, di Andalusia, Sepanyol
telah berjaya dibuka oleh panglima perang Tariq bin Ziyad. Beliau telah berjaya
membuka beberapa buah kota besar seperti Carmona, Seville dan Toledo. Maka,
beberapa buah masjid, institusi-institusi pendidikan dan juga istana turut
dibina.
2.4
Zaman Kerajaan Daulah Abbasiyah
Pada zaman Daulah Abbasiyah, telah
wujud pertelingkahan dan perebutan takhta yang membawa muncul beberapa buah
kerajaan kecil di wilayah-wilayah Arab, Parsi, Turki, Kurdi dan lain-lain.
Parsi sebagai contoh, telah muncul kerajaan Tahiriyah yang berpusat di
Khurasan, Kerajaan Saffariyah di Fars, Kerajaan Samaniyah di Trensoxania,
Kerajaan Sajidiyah di Arzerbaijan, Kerajaan Ziariah di Jurjun dan Kerajaan
Buwayh di Iraq dan semua kerajaan ini dikatakan wujud sekitar abad ke 9 Masihi
hingga abad ke 12 Masihi.
3.0 Kesan
Perkembangan Sejarah dan Ketamadunan Islam di Timur Tengah Terhadap
Kepelbagaian Aspek Perkembangan Islam di Malaysia
Terdapat beberapa faktor yang boleh dilihat
sebagai penyumbang kepada kepesatan perkembangan Islam di Malaysia sejak dari
awal Kesultanan Melayu Melaka atau sebelumnya lagi. Antaranya ialah:
i.
Hubungan dagang
kerajaan Awal Melayu dengan negara Arab
ii.
Hubungan
diplomatik dengan wilayah-wilayah Islam dan pusat pemerintahannya
iii.
Hubungan ilmu
secara dua hala dengan negara arab terutamanya Mesir dan Hijaz
iv.
Perluasan wilayah
oleh Kerajaan Islam Melayu Melaka
v.
Islam itu mudah
difahami
vi.
Peranan ulama
dalam pemerintahan
3.1 Pengaruh Dalam Akidah dan Kepercayaan
Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah mempengaruhi
banyak aspek sebagaimana yang dinyatakan; bahawa ia "mencetuskan
suatu zaman baru". Pengaruh yang dibawa oleh Islam merupakan
suatu kesan menyeluruh berasaskan paradigma tauhid. Pengaruh tersebut
bukan hanya melibatkan pertukaran watak luaran tetapi terkesan daripada
falsafah dan pemikiran Islam yang tulen. Ledakan tauhid ini telah mencetuskan
zaman baru dan meninggalkan zaman kehidupan pengaruh Buddha dengan alam
khayalannya iaitu penyembahan berhalanya dan dengan kepentingan kepada
keseniannya. Tauhid itu juga membuahkan kehidupan beribadah, menghiasi akhlak
yang bernilai tasawwuf, juga mencetus perubahan-perubahan lain seperti dalam bidang
sosial, politik, perundangan, keilmuan, kesusasteraan atau persuratan dan
sebagainya.
Pandangan serta falsafah pemikiran
masyarakat Alam Melayu juga turut berubah setelah mereka menerima ajaran Islam.
Sebagai contoh, Islam menyuruh umatnya supaya berusaha bersungguh - sungguh mencari
rezeki yang halal agar disenangi dan dihormati oleh semua orang. Jika gagal
sekalipun, Islam menyuruh umatnya agar tabah dan sabar serta menghargai nyawa
yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan redha dengan ketentuanNya, bukannya
berputus asa dan membunuh diri.
3.2 Pengaruh Dalam Aspek Sosial
Berikutan dengan perkembangan Islam di awal
kerajaan Melayu, ciri - ciri sosial Islam juga telah bertapak secara
beransur-ansur yang akhirnya berjaya mengambil tempat ciri-ciri sosial Hindu
yang menguasai masyarakat ketika itu. Antara ciri-ciri sosial yang dibawa oleh
Islam ialah persamaan taraf dan persaudaraan Islam antara semua anggota
masyarakatnya, sehingga tergugat kedudukan sistem kasta dan perhambaan serta
perbezaan taraf di kalangan mereka. Dengan terhapusnya sistem kasta yang
dipengaruhi oleh budaya dan tamadun Hindu itu, Islam telah menggantikannya
dengan memperkenalkan sistem atau konsep persamaan taraf dan persaudaraan
Islam, malah berjaya mewujudkan perpaduan, kemesraan dan semangat bantu
membantu antara satu sama lain. Setelah kedatangan Islam ke rantau ini, konsep
kasta dilihat tidak lagi releven kerana Islam menegaskan bahawa manusia berasal
dari Adam dan Hawa. Kedudukan dan taraf manusia dinilai berdasarkan iman dan
taqwa, bukan pada pangkat dan darjat kebangsawanan seperti yang diamalkan oleh
tamadun Hindu melalui sistem kasta tersebut.
Bagi
mendidik masyarakat, Islam telah memperkenalkan hukum-hukum dan peraturan
berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Ajaran agama Islam telah mengatur sistem
perhubungan sosial dan kekeluargaan yang cukup menarik kepada masyarakat.
Contohnya dalam perhubungan antara anak-anak dengan ibu bapa, suami dengan isteri,
orang tua dengan orang muda, pemimpin dengan rakyat dan sebagainya. Melalui
hukum dan peraturan itu, akan terbentuklah nilai akhlak yang mulia dan harmoni
dalam perhubungan sosial antara individu dan kumpulan masyarakatnya. Komunikasi
antara kelompok manusia akan dapat berjalan dengan sempurna, terjalin menerusi sifat
hormat menghormati, bergotong-royong dan bantu-membantu antara satu sama lain.
Selain daripada itu, institusi-institusi
baru kemasyarakatan juga turut muncul seperti masjid, surau, madrasah dan
sebagainya yang memainkan peranan utama dalam hubungan sosial harian. Tempat-tempat
seperti ini bukan sahaja berguna sebagai tempat beribadat tetapi juga sebagai
tempat pertemuan sosial. Masjid umpamanya menjadi tempat menimba ilmu, dewan
tempat bermesyuarat dan kelab untuk membincangkan pelbagai masalah dan urusan,
sama ada dalam perkara agama atau bagi menyelesaikan hal-halkemasyarakatan yang
dihadapi.
3.3 Pengaruh Dalam Politik dan Perundangan
Pengaruh yang peling jelas ialah apabila
raja-raja Melayu menganut Islam dan memakai gelaran seperti Sultan, Malik, Amir
al-Mu’minin. Penggunaan undang-undang syariah dengan munculnya Hukum Kanun
Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Undang-undang Johor dan sebagainya.
Dalam susunan pentadbiran Melaka,
kerajaannya diketuai oleh sultan dan dibantu oleh Bendahara, Penghulu
Bendahari, Temenggong, Shahbandar, Perdana Menteri, Seri Bija Diraja, Laksamana
dan lain-lain. (Hashim, 1977). Temenggung bertugas membanteras kemungkaran,
mengawal keamanan dan kebajikan awam di dalam negeri. Manakala Syahbandar
bertanggungjawab terhadap kebajikan pedagang, anak yatim dan orang-orang yang
teraniaya. (Muhammad Taha, 1990).
Sistem perundangan bukan lagi terhad kepada
aspek munakahat (kekeluargaan dan perkahwinan), tetapi juga mengjangkau
persoalan jenayah dan sivil. Hukum Kanun Melaka misalnya, hudud meliputi
kesalahan melakukan zina, qazaf, mencuri, merompak, murtad dan minum arak
sepert yang terkandung dalam fasal 40(2), 43(5), 36(1), 11(1), 42 dan 43. Tidak
ketinggalan juga kesalahan melakukan hubungan jenis sesame lelaki (liwat) dan
hubungan jenis dengan binatang seperti dalam fasal 43 (5).
Pada sekitar abad ke 20 hingga 21, pengaruh
islam dalam politik Malaysia menunjukkan kemajuan yang signifikan. Ini dapat
dibuktikan melalui penyertaan golongan ulama didalam kebangkitan kesedaran
bangsa dari era dahulu. Sebagai contoh, golongan ulama seperti syeikh syed al-Hadi
dan sheikh Tahir Jalaluddin adalah antara golongan intelektual pertama yang mengagaskan peranan
Islam di dalam politik (Jamaie, 2005). Penubuhan parti politik kebangsaan
seperti UMNO juga pada dasarnya mendapat sokongan para ahli agama.
Kerana ia berfungsi sebagai medium politik bagi orang melayu yang rata-ratanya
beragama Islam.
Terdapat ramai intelektual politik Malaysia
adalah berlatarbelakangkan agama, seperti Dr Burhannudin Al-Hemy dan Profsessor
Zulkifli Mohammad . Para intelektual inilah yang memainkan peranan yang besar
didalam pengisian Islam didalam politik Tanah Melayu menjelang kemerdekaan
(Jamaie, 2005). Namun, diatas sikap tidak mahu bekerjasama dengan pihak
penjajah, para ulama ini telah disenarai hitamkan berbanding para nasionalis
yang mengambil sikap bekerjasama dengan pihak penjajah. Terdapat ramai
tokoh-tokoh agama yang turut terlibat di dalam kepimpinan Tanah Melayu pasca
kemerdekaan tahun 1957 seperti Ahmad Badawi yang merupakan ulama tempatan yang
terkenal didalam politik.
Apabila berlakunya pertembungan idea
diantara golongan ulama dan para ahli politik berpendidikan barat, ramai di
kalangan ulama telah keluar dari parti pemerintah dan menubuhkan sebuah parti
Islam sebagai wadah memperjuangkan politik Islam (Kamarulnizam, 2003). Parti
yang dimaksudkan ialah Parti Islam Semalaysia (PAS). Perjuangan politik
Islam di Malaysia telah melalui pelbagai liku lantaran terpaksa bersaing dengan
pelbagai pemikiran politik barat seperti liberalisme yang didukung oleh UMNO
dan sosialisme yang didukung oleh Barisan sosialis. Namun, politik Islam
mendapat sambutan yang menggalakan di negeri-negeri yang berpenduduk majoriti
Melayu. Ini kerana terminologi Islam tidak dapat dipisahkan dari aspek budaya
Melayu. Menurut Syed Naquib (1972), Islam dan Melayu tidak dapat dipisahkan
kerana terdapat ikatan yang kuat diantara kedua-duanya dari segi budaya dan
agama.
3.4 Pengaruh Dalam Perlembagaan Malaysia
Kenyataan pengaruh Islam terhadap Malaysia
jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 1, Perkara 3 mengenai
Agama bagi Persekutuan. Contohnya Perkara 3 (1): “Agama Islam adalah
agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan
damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” Perkara tersebut bermaksud agama
Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi pada masa yang sama, sifat Islam
yang mulia membentuk perlembagaan dan Negara Malaysia supaya mengizinkan
hak-hak orang bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing. Peruntukan ini
bukan sahaja mengakui agama Islam sebagai agama yang agung, tetapi juga memberi
ruang dan kebebasan kepada rakyat berbilang kaum untuk mengamalkan agama
masing-masing di negara ini.
Selain daripada penetapan agama Islam
sebagai agama rasmi Persekutuan, terdapat juga peruntukan dalam Perlembagaan
Persekutuan yang telah menyatakan Yang di-Pertuan Agung merupakan Ketua Agama
di Malaysia dan kerajaan haruslah mengadakan peraturan mengenai hal ehwal agama
Islam dan menubuhkan sebuah Majlis untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan
Agung mengenai perkara yang berhubung kait dengan agama Islam. Perkara 3 (5),
Perlembagaan Persekutuan: “Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang
di-Pertuan Agung hendaklah menjadi Ketua Agama Islam dalam Wilayah-wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan bagi maksud ini Parlimen
boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi menubuhkan suatu
Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agung mengenai perkara-perkara
berhubung dengan agama Islam”.
Manakala pembinaan institusi agama Islam
juga termaktub dalam Perkara 12 (2), dalam Perlembagaan Persekutuan
menyatakan bahawa : “ Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak menubuh dan
menyenggara institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak dalam agama itu
sendiri, dan tidaklah boleh ada pembezaan semata-mata oleh sebab agama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan
institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu,
tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau
menyenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam
mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan
sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”
Dengan peruntukan yang terkandung dalam
Perkara 3 dan Perkara 12 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, boleh
disimpulkan bahawa dasarnya agama Islam merupakan agama rasmi Persekutuan.
Dengan itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk
menyelenggara dan menubuhkan institusi Islam seperti penubuhan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM) dan pembinaan surau-surau atau masjid-masjid di seluruh
negara untuk kemudahan rakyat melaksanakan aktiviti keagamaan.
3.5 Pengaruh Dalam Pendidikan Dan Ilmu
Pengetahuan
Kesedaran Tentang Ilmu Pengetahuan Kedatangan
Islam ke nusantara terutamanya Malaysia telah banyak memberi kesedaran dalam
aspek pendidikan dan ilmu pengetahuan masyarakat Melayu. Islam telah melahirkan
semangat keilmuan di kalangan penduduknya untuk mencari dan mempelajari ilmu
pengetahuan. Menurut Profesor Syed Muhamad Naquib al-Attas bahawa; "Islam
membawa semangat rasionalisme dan intelektualisme bukan sahaja di kalangan
istana dan kraton, malah sampai juga dengan lebih merebak di kalangan rakyat
jelata". Faktor asasi yang merupakan punca kesedaran atau punca
revolusi kebudayaan ini ialah penjelasan rasional mengenai konsep perihal wujud
yang dibawa untuk pertama kalinya oleh Islam. Pandangan sarjana tersebut
menunjukkan kesedaran yang dicetuskan oleh Islam meliputi juga bidang keilmuan.
Hal berkenaan juga menggambarkan pola kesedaran dalam aspek-aspek yang bersifat
keilmuan ini yang melibatkan golongan atasan dan istana malahan juga golongan
bawahan dan rakyat jelata.
Sistem pendidikan Islam di Malaysia
merangkumi pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pendidikan formal
adalah pendidikan yang didapati dari institusi pendidikan agama seperti
sekolah, surau, madrasah dan sebagaina serta ia berasaskan bidang pengajian
Islam seperti fiqah, tafsir, sejarah Islam, tauhid dan akhlak. Manakala
pendidikan tidak formal pula adalah pengajaran yang berlaku secara langsung
dalam kehidupan seharian seseorang muslim tersebut seperti cara berfikir, amal,
kecergasan muslim dalam bidang ekonomi dan sebagainya.
Terdapat
empat pencapaian dalam bidang pendidikan agama Islam di Malaysia
seperti:
i.
Wujudnya
naskhah-naskhah Melayu yang dicetak dalam tulisan Arab dan jawi yang merangkumi
ilmu politik, falak, kemasyarakatan dan sebagainya.
ii.
Kewujudan
institusi pendidikan agama Islam melalui inisiatif kerajaan Malaysia membina
pusat latihan dakwah, Institut Kemahiran Islam Malaysia, pembiayaan kerajaan
untuk kelas-kelas fardhu ain dan sebagainya.
iii.
Kecenderungan
sultan menguasai pendidikan Islam sejak awal Kesultanan Melayu Melaka.
iv.
Kemunculan
golongan intelektual nusantara seperti Nuruddin al-Raniri, Sheikh Daud
al-Fatani, Tok Kenali dan sebagai.
3.6 Pengaruh Dalam Ekonomi dan Sosio-budaya
Pengaruh Islam dalam Tamadun Melayu juga
terkesan dalam aspek ekonomi. Suatu ketika dahulu Melaka pernah muncul sebagai
sebuah pusat perdagangan utama di rantau ini. Peraturan islam jelas muncul
dalam undang-undangnya. Terdapat undang-undang yang mengetengahkan peruntukan
yang mengharamkan perniagaan benda-benda haram seperti anjing, babi, arak, tuak
dan sebagainya. Turut dinyatakan peraturan sah jual beli, akad dan lain-lain.
Undang-undang tersebut juga turut menggariskan tentang pengharaman riba, hokum
orang muflis, sulh (perjanjian), ikrar, amanat, pinjam-meminjam, syarikat
(perkongisan dan pelbagai lagi. (Muhammad Taha, 1990).
Selain daripada itu penggunaan wang syiling
juga diperkenalkan di Melaka seperti penggunaan pada zaman Sultan Muzaffar
Syah. Syiling tersebut ditulis perkataan berunsur Arab iaitu “Muzaffar Shah
al-Sultan” dipermukaannya dan “Nasir al-Dunya wa al-Din” bermaksud
penolong dunia dan agama islam.
Penerima masyarakat Melayu terhadapa sistem
ekonomi Islam juga dapat dilihat dari segi peranan yang dimainkan oleh Melaka
sebagai sebuah pusat perdagangan utama dari segi impot dan eksport suatu ketika dahulu. Pelabuhannya
menjadi pusat persinggahan para pedagang dari seluruh pelusuk dunia. Ini secara
tidak langsung menjadikan Melaka berkembang pesat sehingga wujud gudang-gudang
yang besar dan rumah tumpangan untuk kemudahan para pedagang dan pendatang
khususnya dari semenanjung Tanah Arab.
Selain itu, sejak tahun 1963 sudah wujud pengenalan kepada sistem
ekonomi islam yang lebih moden dan sistematik yang dipanggil sistem perbankan
Islam. Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) telah ditubuhkan untuk
dijadikan institusi bagi umat Islam membuat simpanan sebagai persediaan
mengerjakan ibadat Haji ke tanah suci Mekah. Pada tahun 1969, PWSBH telah
bergabung dengan Pejabat Urusan Haji bagi membentuk Lembaga Urusan dan Tabung
Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji). Manakala, Bank Islam pertama
telah ditubuhkan pada tahun 1983. Perbankan Islam adalah aktiviti perbankan
yang dijalankan berlandaskan prinsip Syariah iaitu tidak membenarkan pembayaran
atau penerimaan faedah dan menggalakkan perkongsian untung di dalam amalan
perbankan dari sudut pandangan Islam.
Penghayatan masyarakat Melayu berkait rapat
dengan penghayatan terhadap nilai-nilai murni Islam oleh anggota masyarakat.
Walaupun masyarakat dalam negara yang berbilang bangsa dan boleh diterima oleh
etnik dan agama lain. Contohnya, Adat menyambut kelahiran bayi dengan zan,
membelah mulut, hari ketujuh iaitu mencukur jambul, marhaban dan selawat.
Begitu juga majlis perkahwinan dengan majlis khatam al-Quran, gotong royong
ketika majlis kenduri. Majlis tahlil dan pengebumian jenazah cara islam juga
menggambarkan pengaruh Islam secara tidak langsung.
4.0 Kesimpulan
Islam merupakan satu agama yang terbaik dan
ajarannya diikuti oleh semua umat Islam sedunia. Syariat Islam bermula dengan
penciptaan Nabi Adam A.S dan berubah mengikut peredaran zaman kenabian yang
terdahulu sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W yang dikatakan dalam al-Quran sebagai
nabi yang terakhir kepada seluruh umat manusia. Dari turunnya wahyu yang
pertama melalui malaikat Jibril dengan perkataan “Bacalah”, ia
menggambarkan peradabannya yang tersendiri dalam bentuk masyarakat Islam yang
universal dan sesuai mengikut zaman. Perkembangannya semakin meluas dari Barat
hinggalah ke Timur dan ke Asia. Kedatangan Islam ke dalam dunia masyarakat
Melayu dapat menyemarakkan lagi semangat dalam memperjuangkan Islam. Pengaruh
Islam dalam pentadbiran masyarakat Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan
dari kaca mata seorang pemimpin. Ini akan merealisasikan sebuah negara yang
berbentuk islamik dalam masyarakat Melayu.
Pengaruh Islam amat kuat dalam pentadbiran
masyarakat Melayu dan kepulauannya. Ia merangkumi dalam aspek-aspek seperti
ekonomi, kesusasteraan, kesenian, pendidikan dalam penghayatannya, dan sistem
perundangan. Gabungan kesemua ini akan mewujudkan satu negara Islam yang
bertaraf dunia dan sebagai langkah permulaan untuk menjejaki dunia tanpa
sempadan.
Sekiranya sesebuah negara Islam itu sedang
membangun, ia sering mendapat perhatian dunia. Ini tidak lain kerana
pembangunan ekonomi dan kestabilan politiknya yang terdiri daripada pelbagai
kaum, bangsa dan agama. Justeru, ditambah pula dengan keharumannya sebagai
contoh dalam memajukan Islam dan memperbaiki taraf hidup rakyatnya yang
beragama Islam tanpa menyekat kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama
lain dan tanpa menindas mana-mana kaum di negara itu. Dalam erti kata lain,
rakyat di negara itu akan diacu mengikut acuan Islam dan nilai-nilai murni
sejagat serta pembangunan yang akan ditempa nanti tidak akan terpisah dari
dasar-dasar yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.
5.0 Bibliografi
Buku Ilmiah
Asar Abdul Karim. (2008). Kecemerlangan Tamadun Islam
Masa Kini. Kuantan: Universiti Malaysia Pahang.
Haji Dusuki Haji Ahmad. (1980). Ikhtisar Perkembangan
Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Khairul Azhar Idris. (2014). Karya Agung Tamadun Islam
dan Peradaban Melayu. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM).
Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad & Nik Kamaliah Nik Abdullah.
(2009). Kenalilah Tamadun. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara.
Saifullah Mohd Sawi & Samsu Adabi Mamat. (2009). Sejarah
dan Tamadun Islam di Asia Tenggara. Shah Alam: Karisma Publication.
Jurnal
Ali Mohammad. (2000). Sumbangan Tamadun Islam Dalam
Kehidupan. Sejarah dan Pemikiran Islam, 68.
Mashitah Sulaiman. (2013). Islam Dana Transformasi Sosial
Masyarakat Melayu Malaysia : Suatu Kajian Eksploratori . International
Conference of Social Sciences Research, 68.
Akbar
A. Aziz Deraman. (18 Nov 2009). Ke Arah Mengangkat Tamadun
Islam Dunia. Kuala Lumpur: Akhbar Sinar Harian.
Datuk Dusuki Ahmad. (10 June 2009). Budaya Keusahawanan
Bangunkan Ekonomi Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Akhbar Berita Harian.
Laman
Sesawang
Nurul Aisyah Yap
Abdullah. (28 September 2011). adminscience.blogspot.com. Diambil dari
pautan Pengaruh Islam Dalam Pembinaan Tamadun Malaysia:
http://adminscience.blogspot.com/2011/09/pengaruh-islam-dalam-pembinaan-tamadun.html#!/tcmbck
Perbankan Islam . (10
Julai 2010). Pengenalan perbankan Islam. Diambil dari pautan Spidm.wordpress.com:
https://spidm.wordpress.com/pengenalan/