Sunday, October 30, 2016

Pelaksanaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu 1911

1.0 Pengenalan Kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu 1911

Terengganu merupakan antara negeri yang tertua di Tanah Melayu yang dipercayai telah wujud semasa kegemilangan Kerajaan Srivijaya (M.C., Sheppard, 1949). Malah, Terengganu menjadi sebuah negeri yang maju sejak awal abad ke-18 dari segi hubungan perdagangan, pemerintahan dan juga dari segi kedaulatan undang-undang. Namun terdapat beberapa pergolakan yang berlaku di beberapa buah negeri yang berdekatan yang memperlihatkan peluang Inggeris untuk campur tangan. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerajaan Terengganu dalam usaha mengekalkan keamanan dan kedaulatan negeri tersebut. Oleh itu, Sultan Zainal Abidin III dengan modus operandinya bersama-sama pembesar negeri melaksanakan undang-undang bagi kerajaan negeri Terengganu yang dikenali sebagai Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk yang bermula pada tahun 1911.
Itqan Al-Muluk Bi Taqil As-Suluk adalah Undang-undang Bagi Diri (undang-undang tubuh) Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman yang disusun dan diwujudkan semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Undang-undang ini diwujudkan untuk mengekang pengaruh British disamping suatu pengisytiharan bahawa Terengganu merupakan negeri Melayu Islam merdeka dan berkerajaan sendiri serta mengekalkan sistem amalan monarki. Undang-undang yang diisytiharkan pada 2 November 1911 bersamaan 11 Zulkaedah 1329 Hijrah ini mengandungi 53 fasal, satu pendahuluan (muqaddimah) dan satu penyudahan (khatimah) yang bertujuan ntuk menguatkan kuasa kesultanan dan menghalang sebarang tindakan yang akan menyebabkan Terengganu dijajah.
Undang-undang bagi Diri Kerajaan Terengganu dinamakan sebagai Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk (Itqanul Muluk) yang bermaksud ‘Kesungguhan Raja-raja dengan Pemerintahan yang Adil’ (Nik Haslinda Nik Hussain, 2014). Undang-undang ini menjadi perlembagaan bagi negeri Terengganu yang digubal pada tahun 1329H/1911M semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Menurut Syed M. Naquib Al-Attas (1969), zaman pemerintahan Baginda dianggap zaman kemuncak perkembangan dan kegemilangan perundangan Islam di Terengganu. Malah, Islam dipercayai telah datang ke Terengganu sejak abad ketujuh Hijrah yang bersamaan abad ke 13 Masihi.
Oleh itu, proses islamisasi Alam Melayu ternyata memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan masyarakat Alam Melayu. Hal ini berbeza dengan proses indianisasi sebelumnya yang meninggalkan impak yang agak sederhana terutama kepada golongan bangsawan dan raja-raja Melayu. Dalam konteks negeri Terengganu, pengaruh islamisasi telah mewujudkan kerajaan Islam yang agak holistik dalam sudut pelaksanaan ajaran Islam. Ia dapat dibuktikan melalui catatan Batu Bersurat dan Perlembagaan Itqan al-Muluk ini.


2.0 Pelaksanaan Perlembagaan Itqan al-Muluk Bi Ta’dil al-Suluk Tahun 1911

2.1  Kandungan Utama Perlembagaan Itqan al-Muluk Bi Ta’dil al-Suluk

Menurut Hashim Musa dan Adi Yasran (2011) menyatakan bahawa kandungan perlembagaan ini terdiri daripada satu prakata, satu Mukadimah (permulaan), 53 Fasal dan satu Khatimah (pengakhiran). Isinya jelas mengandungi pengaruh Islam dalam banyak aspek, manakala mempertahankan adat warisan Melayu dalam beberapa aspek. Undang-Undang ini digubal atas perintah Sultan Terengganu untuk melawan pengaruh kuasa barat yang cuba untuk mendominasi negeri-negeri Melayu khususnya negeri Terengganu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 Masihi. 53 fasal daripada Perlembagaan Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil Al-Suluk yang telah digubal oleh ulama ini boleh dibahagikan kepada beberapa  inti pati utama seperti berikut (Mohd Nazri, 2006):
  1. Meletakkan asas bahawa negeri Terengganu adalah sebuah negeri Islam yang berdaulat.
  2. Mempertahankan dan menentukan kedudukan raja dalam negeri. Ia terdiri daripada (a) perlantikan raja dan tanggungjawabnya. (Fasal 2: maka hendaklah yang memerintah kerajaan Terengganu selama-lamanya dia beragama Islam dan daripada bangsa Melayu dan darah daging keturunan sultan-sultan yang memerintah kerajaan Terengganu dan laki-laki sebagaimana tartib dan syarat-syarat yang tersebut pada Fasal 3,4 dan 5) (b) kebajikan raja dan kerabat keturunannya.
  3. Mengasaskan dan menyusun atur pemerintahan negeri Islam moden. Ia terdiri daripada (a) bentuk, struktur dan pengendalian pemerintahan negeri, dan (b) pentadbiran undang-undang.
  4. Menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintahan negeri.

Sultan Zainal Abidin III


2.2  Pelaksanaan Perlembagaan Itqan al-Muluk Bi Ta’dil al-Suluk

2.2.1     Aspek Pemerintahan dan Perundangan

Kebimbangan Sultan Zainal Abidin III terhadap usaha British yang ingin menguasai Terengganu dapat diatasi melalui penubuhan perlembagaan baharu bagi mengekalkan kedaulatan negeri Terengganu. Malah dalam kajian Nik Haslinda (2014) menyatakan bahawa sesiapa sahaja termasuk para menteri dan ahli jemaah yang bertindak atau berikhtiar mengadakan sebarang perjanjian dengan kuasa asing atas niat menyerahkan negeri atau hendak mengurangkan kuasa dan hak kerajaan Terengganu, dianggap telah menderhaka kepada raja dan kerajaan serta boleh dihukum sepadan dengan dosanya sebagai mana tertakluk dalam Fasa 14. Keadaan ini secara tidak langsung menyukarkan tindakan kuasa asing seperti British menguasai Terengganu.
Undang-undang ini merupakan dokumen perlembagaan tertinggi secara bertulis yang memperuntukan secara khas kuasa bagi penubuhan dua badan tertinggi di negeri Terengganu iaitu Jemaah Mesyuarat Kerajaan dan Jemaah Menteri. Diperingkat awal pelaksanaannya, Raja atau sultan tertakluk pada peruntukan undang-undang dan hukum syarak sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 3 bagi Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu. Sesuatu keputusan, Sultan hendaklah mengadakan mesyuarat walaupun mempunyai kuasa dalam melantik, memecat atau menjatuhkan hukuman seperti yang kandung dalam Fasal 6,7, 9 dan 10. Garis panduan yang terkandung dalam perlembagaan  ini memperlihatkan bahawa keputusan yang dicapai secara demokratik adalah yang terbaik sama ada keputusan itu diputuskan oleh Sultan atau pembesar yang lain (Nik Haslinda, 2014).
Kunjungan W. Coway pada tahun 1909 sebagai wakil Inggeris yang pertama di  Terengganu, beliau menyaksikan bagaimana tatacara undang-undang Terengganu dijalankan mengikut lunas-lunas Islam. Terdapat dua jenis mahkamah yang ditubuhkan iaitu Mahkamah Syariah dan Mahkamah Balai. Hakim kedua-dua mahkamah ini berkelulusan undang-undang Islam. Mahkamah syariah mengendalikan permasalahan ibadat dan munakahat. Mahkamah Balai pula menyelenggarakan perundangan yang berkaitan dengan jenayah dan muamalat. Sesuatu kesalahan melibatkan hukuman hadd, maka perundangan Islamlah yang akan digunakan. Kes rogol contohnya, memerlukan dua saksi lelaki Islam. Walaupun sabit kesalahan tetapi kerana kurang saksi, maka tuduhan gugur dengan sendirinya (Yusoff Hashim, 1991).

2.2.2     Aspek Keagamaan dan Syariat Islam

Sultan Zainal Abidin III ialah seorang yang sangat warak dan sangat komited kepada pengajaran dan amalan Islam di negerinya. Gabenor Straits Settlement Mitchell menyatakan dalam suratnya bertarikh 14 September 1896 bahawa Sultan Zainal ‘Abidin “…was very studious, reading many Arabic works of science, very strict in religious observance.” (Yusoff Hashim, 1991). Malah menurut Musa Hashim & Adi Yasran (2011), baginda mahir dalam bahasa Arab dan mempunyai beberapa orang guru dari kalangan ulama’ yang tersohor antaranya Wan Muhammad Wan Abdullah iaitu putera seorang ulama terkenal Tok Sheikh Duyung dan juga berguru dengan Engku Syed Keramat dan  mengambil banyak daya usaha untuk melaksanakan hukum Islam di Terengganu. Oleh itu tidak hairanlah Undang-undang Terengganu atas perintah baginda ini banyak di pengaruhi Islam.
            Keutuhan agama Islam menjadi tulang belakang kekukuhan politik pemerintah di Terengganu. Hal demikian diselaraskan dengan kehendak Fasal ke-51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu yang memperuntukan Islam sebagai agama negeri (Yusoff Hashim, 1991). Pengenalan dan pengamalan berbagai-bagai aspek agama seperti syariah, perundangan (jenayah dan awam), muamalat, pewarisan dan hak milik menyebabkan ulama mendapat kedudukan istimewa dalam masyarakat. Keadaan ini diperlihatkan melalui peranan golongan ulama yang berfungsi sebagai penasihat dalam hal ehwal agama, menjadi guru dan juga sahabat kepada raja. Malah, banyak golongan ulama yang dilantik dalam Jemaah Menteri disebabkan pengaruh mereka terhadap sistem pemerintahan di Terengganu. Tambahan pula, pertukaran dan penghayatan akidah Islam dalam kalangan masyarakat Melayu di Terengganu mengundang cemburu pemerhati barat (Clifford 1992). Menurut Wan Hussein Azmi (1985), secara amnya sebelum kedatangan Islam masyarakat Melayu mempercayai khurafat tetapi apabila berlaku perubahan pegangan, mereka memilih Islam sebagai anutan berbanding dengan ajaran-ajaran yang lain. Oleh kerana perubahan pegangan ini berlaku tanpa paksaan, hal ini mengundang cemburu kepada aktivis agama yang lain.

2.2.3     Aspek Sosial

Masyarakat Terengganu sendiri telah menerima asuhan dan tarbiah daripada ulama melalui pengajian di pondok-pondok, madrasah, surau dan masjid. Malah, Sultan yang memiliki kuasa turut memberi sokongan dan kemudahan kepada ulama untuk menjayakan misi dakwah mereka kepada masyarakat awam. Sokongan ini membawa kepada tertubuhnya beberapa buah pondok dan madrasah di Terengganu. Antaranya ialah Pondok Pulau Manis, Pondok Bukit Bayas dan Pondok Pulau Duyung (Ishak Saat, 2005). Selain daripada pondok, surau dan masjid juga menjadi medan penyebaran ilmu. Biasanya, ulama-ulama ini akan hadir ke masjid atau surau berkenaan pada hari-hari tertentu untuk memberi kuliah. Antara surau yang pernah menjadi pusat pengajian seperti ini ialah Surau Sayid Sagar yang terletak di bandar Kuala Terengganu yang menjadi tempat untuk Haji Abdul Rahman Limbong menyampaikan kuliahnya kepada masyarakat awam. Sehubungan dengan itu, kewujudan institusi masjid dan surau dalam sesebuah kampung dapat memperkukuhkan orientasi keislaman. Sistem pengajian yang terbuka dan keikhlasan golongan ulama untuk mengembangkan ajaran dan akidah Islam melalui institusi-institusi tersebut, memberi peluang yang sama rata kepada seluruh lapisan masyarakat awam di Terengganu, untuk mempelajari dan menghayati kesucian ajaran dan akidah Islam. Oleh itu, penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat di Terengganu membangkitkan semangat anti kolonialis (Safri Ali & Fauzi Hamat, 2011).


3.0 Kesimpulan

Pelaksanaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu tahun 1911 memperlihatkan kesungguhan Sultan Zainal Abidin III dalam usaha mengekalkan kedaulatan negeri Terengganu. Selain itu, segala modus operandi ini juga dilakukan atas dasar kesedaran dan pegangan akidah yang tinggi Sultan Zainal Abidin terhadap implikasi jika membiarkan penjajah menguasai sistem politik di Terengganu.
Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu yang dikenali sebagai Perlembagaan Itqan al-muluk Bi Ta’dil al-Suluk meletakkan syariat Islam sebagai keutamaan dalam sistem pemerintahan di Terengganu. Ini dapat diperlihatkan melalui beberapa fasal yang berkaitan tatacara perlantikan sultan, menteri-menteri serta prosedur hukuman bagi pesalah syariah dan juga sivil yang mengikut lunas ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran. Justeru, hasil daripada kebijaksanaan pemerintah pada masa itu memberikan banyak kelebihan dalam sistem pentadbiran negara Malaysia pada hari ini disebabkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu banyak dijadikan panduan oleh pemimpin hari ini ke arah berkerajaan sendiri dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.


4.0 Rujukan

Abdul Rahman Embong. (2012). Terengganu Merentasi Tiga Abad: Kesultanan, Politik, Ekonomi, Agama dan Budaya. Kuala Terengganu: Yayasan Diraja Sultan Mizan.
Anwar Omar Din et. al. (2011). Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008. Kuala Terengganu: Yayasan Diraja Sultan Mizan.
Ganupedia. (4 Januari 2016). Itqan Al-Muluk Bi Taqdil As-Suluk. Daimbil daripada pautan ganupedia.com: http://ganupedia.com/?p=197
Hashim Musa & Adi Yasran. (2011). Undang-undang bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911: Kuasa Raja dan Pengaruh Islam dalam Sebuah Kerajaan Melayu. International Journal of the Malay World and Civilisation Bil. 29 (1), 67-77.
Hugh Clifford. (1992). An Expedition To Terengganu & Kelantan. JMBRAS, Bil. 34 (1), 1-62.
Ishak Saat. (2005). Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Shah Alam: Karisma Publication.
M.C., Sheppard. (1949). A Short History Of Terengganu. In S. A. Bakar, Pengislaman Terengganu dan Tradisi Keintelektualannya (p. 7). Kuala Terengganu: Madrasah al-Sultan Zainal Abidin.
Muhammad Yusoff Hashim. (1991). Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nazri Chik. (2006). Perlembagaan Itqan al-Muluk bi Ta`dil al-Suluk 1911 ditinjau dari aspek latar belakang dan pengaruhnya kepada pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu. Jurnal Maqasid Syariah Bil. 2 - Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 62-72.
Nik Haslinda Nik Hussain. (2014). Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, 1911 Dan Pengekalan Status Melayu Islam Terengganu. Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu Jilid 7 Bil. 1, 41-59.
Safri Ali & Fauzi Mamat. (2011). Penghayatan Akidah di Terengganu . Jurnal Islam dan Masyarakat Kotemporari Jilid 4, 121-136.
Syed M. Naquib al-Attas. (1969). Preliminary Statement on a General Theory of Islamization of the Malay Indonesia Archipelago. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ustaz Storm. (14 Januari 2012). Itqan al-Muluk bita'dil al-Suluk. Diambil daripada pautan uismail.blogspot.my: http://uismail.blogspot.my/2012/01/itqan-al-muluk-bi-tadil-as-suluk.html
Wartawan BO. (4 Januari 2012). 12 Gugur Syahid Mempertahankan Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As-Suluk. Diambil daripada pautan buletinonline.net: http://www.buletinonline.net/v7/index.php/12-gugur-syahid-mempertahankan-itqan-al-muluk-b-tadil-as-suluk/



No comments:

Post a Comment