Thursday, March 28, 2013

Perkembangan Tamadun Manusia di Gua Bewah Mengikut Peredaran Masa Dari Segi Politik Ekonomi dan Sosial




Konsep Zaman Pra-Sejarah

            Sebelum wujudnya sebuah masyarakat yang bertamadun atau mempunyai peradaban yang tinggi, sudah wujud satu zaman yang dikenali sebagai zaman prasejarah. Ini dapat dibuktikan melalui fakta sains tentang pembentukan bumi sejak 4 600 juta tahun yang lampau dengan kehidupan di dasar laut bermula 1000 juta tahun lampau dan darat 600 juta tahun kemudiannya. Perubahan umum dalam perkembangan pensejarahan manusia boleh dibahagikan kepada dua zaman iaitu zaman batu yang sering dikaitkan dengan zaman prasejarah dan zaman logam yang dikaitkan dengan zaman sejarah. Malahan zaman prasejarah mempunyai pengertian dan ciri-ciri masyarakat yang tersendiri sebelum wujudnya zaman sejarah dan tamadun awal manusia.

            Istilah prasejarah tidaklah wujud sejak era kegemilangan ahli falsafah Yunani yang dikenali sebagai bapa sejarah seperti Herodutus. Ia hanya muncul secara tidak langsung dalam abad ke 18 apabila seorang kurator muzium di Perancis iaitu Tournal telah mempelopori penggunaan istilah prasejarah dalam usahanya untuk mencatat perkembangan manusia sebelum wujudnya sistem tulisan. Walau bagaimanapun istilah prasejarah hanya diketengahkan dalam aspek penulisan sejarah dalam tahun 1851 oleh seorang penulis Scotland iaitu Daniel Wilson dalam artikelnya bertajuk “The Archeology of Prehistorie Annals of Scotland”. Semenjak itulah istilah prasejarah mula mendapat tempat dalam bidang penulisan ilmiah dan ianya terus menjadi rujukan sebagai satu zaman yang wujud sebelum era sejarah lagi. Malahan Frank Hole dan Robert F. Heizer mentakrifkan prasejarah sebagai sebahagian daripada masa silam manusia yang tidak dicatatkan.
            Kemunculan zaman prasejarah tidak dapat dipastikan dan titik permulaan dikatakan berlaku sejak 3 juta tahun yang lampau di benua Afrika apabila muncul beberapa kumpulan primat yang mempunyai ciri-ciri manusia. Walaupun begitu, apa yang dapat dipastikan ialah permulaan zaman prasejarah adalah berbeza-beza mengikut kawasan dan bukti yang jelas ialah kewujudan zaman prasejarah di benua Amerika hanya berlaku sekitar 20 000 tahun yang lampau. Disebabkan belum wujudnya sistem tulisan, secara langsung kelompok manusia pada masa itu tidak mempunyai kebolehan untuk merekod dan mencatat segala bentuk aktiviti yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Para sejarawan hanya dapat membuat interpretasi terhadap bukti-bukti arkeologi yang ditinggalkan oleh masyarakat prasejarah seperti ekofak, artifak, feature dan fosil. Oleh yang demikian zaman prasejarah merupakan zaman yang berlaku sebelum wujudnya sistem tulisan dan kemunculannya adalah berbeza-beza mengikut kawasan dan tempat.
           
            Antara ciri-ciri utama masyarakat prasejarah ialah kewujudan beberapa kumpulan atau spesis manusia yang tertentu. Walau pun kewujudan kelompok manusia sudah bermula sebelum zaman prasejarah, tetapi ciri-ciri kelompok manusia prasejarah adalah lebih dekat dengan ciri-ciri manusia moden. Manusia prasejarah berasal dari kumpulan Hominids yang terbahagi kepada tiga kelompok utama iaitu Homoerectus atau “upright man”, Homo Neanderthalis, dan Homo Sapiens atau “thinking man”. Setiap kelompok mempunyai ciri yang berbeza dan lokasi kewujudan yang berbeza-beza. Contohnya ialah kewujudan golongan Homoerectus di Jawa, China, dan Tanzania sekitar 500 000 SM yang lampau. Manakala golongan Homo Neanderthalis terdapat di Jerman dan golongan Homo Sapiens yang dikatakan sebagai manusia moden sepenuhnya terdapat di Afrika, Eropah, Australia, Asia, dan Amerika Syarikat.
            Secara keseluruhannya, peralatan utama yang digunakan oleh masyarakat prasejarah adalah berasakan kepada batu. Setiap daripada zaman prasejarah menunjukkan penggunaan peralatan yang berbeza dan berlaku peningkatan yang jelas dalam  penghasilan peralatan batu dari aspek fungsi dan nilai estetika yang diterapkan dalam setiap zaman. Apa yang paling ketara ialah peralatan batu digunakan untuk aktiviti berburu dan pada zaman Mesolitik, penciptaan anak panah adalah bukti menunjukkan kepentingan peralatan dalam kegiatan pemburuan masyarakat. Walau pun begitu, peralatan lain terutamanya tembikar turut digunakan oleh masyarakat prasejarah. Ini adalah kesinambungan daripada pengetahuan tentang api pada zaman Paleolitik dan tembikar digunakan untuk memasak dan menyimpan makanan serta air.

            Kegiatan ekonomi pula adalah berubah-ubah mengikut tahap dan ia berkait rapat dengan ciri-ciri lain yang digambarkan dalam masyarakat prasejarah. Masyarakat prasejarah awal iaitu zaman Paleolitik dan Mesolitik adalah berasaskan kepada aktiviti pemungutan hasil hutan dan laut, pemburuan binatang, dan kegiatan menangkap ikan. Kegiatan ekonomi yang berkonsepkan sara diri ini kemudiannya melalui perubahan yang amat ketara pada zaman Neolitik. Ini adalah disebabkan oleh berlakunya revolusi dalam kegiatan ekonomi di mana masyarakat zaman Neolitik mula melibatkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan binatang. Penanaman ubi dan bijirin berlaku dengan pesat disamping penternakan lembu, kambing, ayam, dan itik. Apabila berlaku lebihan dalam pengeluaran bahan makanan kegiatan perdagangan turut berlaku secara tidak langsung  apabila terciptanya teknologi-teknologi yang berkaitan.
            Selain itu, ciri-ciri masyarakat prasejarah turut melibatkan aspek corak kehidupan seharian mereka yang berbeza-beza mengikut zaman yang telah dijelaskan. Manusia prasejarah sejak awal lagi sering berpindah randah dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain untuk mendapatkan sumber makanan dan air. Pada zaman Paleolitik dan Mesolitik manusia tinggal dalam kelompok yang kecil di kawasan-kawasan tepi sungai, tepi tasik, di dalam gua, dan pondok yang diperbuat daripada kayu. Konsep petempatan kekal hanya wujud pada zaman Neolitik selaras dengan kewujudan kampung-kampung pertanian yang didiami oleh kelompok manusia yang lebih kompleks. Dengan pengurusan yang lebih terancang, petempatan petempatan zaman Neolitik telah berubah menjadi kota seperti Catal Huyuk di Turki, Jarmo di Iraq, dan Jericho di Palestin.

            Apabila kehidupan semakin meningkat dan kompleks, penciptaan teknologi dan kemahiran baru dalam zaman prasejarah turut berlaku. Pada zaman Paleolitik, pencapaian masyarakat hanya terhad kepada aktiviti melukis di dinding-dinding gua yang bermotifkan binatang dan patung wanita. Walau bagaimanapun, penciptaan lampu adalah sebagai unsur penting dalam penghasilan lukisan masyarakat Paleolitik. Teknologi dan peralatan yang lebih baik dan merangkumi aspek yang lebih luas dicipta pada zaman Mesolitik yang dikenali sebagai mikrolit seperti penciptaan harpon, mata kail, jala, dan sampan. Apabila kehidupan masyarakat menjadi semakin kompleks pada zaman Neolitik, teknologi dan peralatan yang lebih baik tercipta seperti pakaian yang lebih bermutu melalui alat tenunan, roda, terusan, dan empangan.

            Seterusnya aktiviti yang berkaitan dengan konsep agama dan kepercayaan turut wujud dalam kehidupan masyarakat prasejarah. Walau bagaimanapun ia lebih melibatkan aspek kepercayaan dalam masyarakat seperti tradisi mengebumikan mayat bersama-sama barang keperluan untuk dibawa bersama ke alam yang wujud selepas mati  sudah dilakukan sejak zaman Paleolitik lagi. Perubahan yang jelas hanya berlaku pada zaman Neolitik apabila unsur-unsur ghaib dan magis mula mendapat perhatian dalam masyarakat seperti tanah yang dilambangkan sebagai wanita yang subur dan benih ditanam dengan harapan dapat menghasilkan pulangan yang banyak. Malahan masyarakat Neolitik turut membina rumah-rumah penyembahan sebagai tempat mereka untuk menjalankan ritual seperti yang dilakukan oleh masyarakat di Catal Huyuk Turki.
            Oleh yang demikian, masyarakat pada zaman prasejarah jelas mempunyai pelbagai ciri yang berbeza-beza mengikut tahap dan perubahan tertentu. Evolusi yang berterusan dalam pelbagai aspek kehidupan secara langsung telah memberi kehidupan yang lebih baik dalam masyarakatnya. Malahan ciri-ciri masyarakat prasejarah yang telah dijelaskan terus berubah sehingga ke hari ini dan mereka boleh dikatakan sebagai perintis kepada pembentukan tamadun dalam sejarah peradaban manusia.

Perkembangan Tamadun Manusia di Gua Bewah Mengikut Peredaran Masa Dari Segi Politik, Ekonomi dan Sosial

Zaman batu bermula dengan budaya Paleolitik di mana dari segi geologinya ia masih dalam Zaman Pleistosen atau Zaman Ais. Menurut teori para sarjana, pada zaman ini munculnya jenis manusia purba (pra-Adam) yang berupa manusia mawas (ape-man). Antara fosil-fosil manusia-kera yang ditemui ialah seperti Australopithecus (Afrika Selatan), Meganthropus (Jawa Timur), Sinanthopus (China) dan orang Neanderthal (Jerman). Manusia-manusia kuno ini dikatakan hidup antara tiga juta hingga 40 000 tahun yang lalu yang diawali dengan jenis kera (Greek: pithecos) dan diikuti oleh manusia besar (Greek: anthropos) separuh kera yang berjalan tegak (Homo erectus).
Di Asia Tenggara, fosil-fosil manusia-mawas ini dikatakan telah banyak ditemui. Sebagai ‘lombong emas’ manusia-kera, jumpaan yang paling banyak ialah di Jawa, khususnya di Sangiran, Ngandung dan Sambungmacan. Pada tahun 1891 di Trimil, satu penemuan yang lebih penting ditemui yang dinamakan Pithecanthropus yang kini dikenali sebagai Homo erectus. Bagaimanapun, pada tahun 1894 Dubois mengisytiharkan bahawa fosil jenis ungka yang sudah lenyap. Malangnya sampai kini para pengkaji masih menganggapnya sebagai fosil manusia-mawas, walaupun telah dibatalkan oleh Dubois sendiri.

 Perkembangan Dari Segi Politik

      Di Malaysia antara penemuan tapak-tapak budaya Paleolitik setakat ini ialah di Kota Tampan, Perak, di Gua Niah, Sarawak, dan di Tingkayu, Sabah. Penemuan terbaru di Bukti Gua Bewah sebagai penempatan masyarakat Neolitik atau Zaman Batu Baru dibuktikan menerusi kajian dan ekskavasi arkeologi oleh Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu pada 10 hingga 24 Julai 1976. Antara lain mereka menemui pelbagai artifak termasuk rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang-cengkerang siput sedut yang dipotong pada segmen ketiga. Penemuan tersebut membuktikan Gua Bewah adalah penempatan manusia neolitik di antara 2,000 hingga 300 tahun Sebelum Masihi iaitu kira-kira 2,300 hingga 4,000 tahun yang lalu. Di bahagian bawah Bukit Bewah terdapat sebuah lagi gua yang tidak lagi kelihatan akibat ditenggelami air tasik iaitu Gua Tok Bidan. Bagaimanapun seorang pengkaji sejarah Inggeris R.O.D. None yang bertugas di Muzium Perak pernah mengkaji gua itu sekitar Mei 1956 dan menemui beberapa artifak penting zaman Neolitik termasuk kapak batu, kendi dan mangkuk tanah.  Gua itu telah diekskavasi oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia dan Muzium Terengganu pada 1989. Penyelidikan tersebut mendapati Gua Taat adalah merupakan penempatan masyarakat pra-sejarah yang lebih awal berbanding Gua Bewah.  Ini dibuktikan melalui artifak-artifak yang ditemui dikatakan berasal dari kebudayaan Hoabinhian iaitu berusia sekitar 10,000 hingga 3,000 Sebelum Masihi (kira-kira 5,000 hingga 12,000 tahun yang lepas).

            Penemuan yang terbaru di Gua Bewah mendapati bahawa sistem politik yang terbentuk adalah wujudnya pendudukan yang berpuak-puak dan berkabilah. Ini dapat dibuktikan dari penemuan bahagian dapur yang dipercayai tempat untuk membakar haiwan buruan. Setelah kami melakukan sedikit penyelidikan, wujudnya sisa-sisa makan yang ditinggalkan oleh manusia prasejarah yang mendiami Gua Bewah tersebut. Menurut para pengkaji arkeologi dari Muzium Terengganu, tidak mungkin manusia ini hidup bersendirian kerana. Bukit yang dikatakan mendapat nama daripada perkataan  ‘Bewah’ aktiviti bewah atau kenduri kendara oleh masyarakat zaman purba yang pernah tinggal di situ merupakan lokasi kepada dua buah gua iaitu Gua Bewah dan Gua Batu Tok Bidan.



Perkembangan Dari Segi Ekonomi

            Punca ekonomi yang terdapat daripada hasil penyelidikan kami mendapati, punca ekonomi mereka ialah daripada kegiatan perburuan binatang dan memungut makanan. Sedangkan tempat tinggal mereka ialah di gua-gua atau lubang-lubang besar, manakala pakaian mereka berasal daripada kulit-kulit binatang. Tetapi yang terpenting sekali ialah bahawa peralatan seharian mereka hanya merupakan batu-batu kasar dan kelikir yang tajam di sebelahnya tanpa sebarang pemegang. Oleh kerana mereka lebih mementingkan fungsinya daripada seni, maka tidak ada perubahan besar dalam tradisi peralatan batu ini sejak dari awal hinggalah akhir zaman ini, kecuali sedikit sahaja. Hasil daripada kajian kami di Gua Bewah, kami mendapati Sadat Batu yang telah dijumpai digunakan oleh manusia zaman Neolitik. Alat ini digunakan sebagai bahan untuk memotong daging untuk perburuan ini. Bukti ini menunjukkan jelas bahawa adanya kegiatan perburuan manusia pada zaman ini.

       Saya juga ingin merujuk  hasil kajian M.W.F. Tweedie yang telah mengaitkannya dengan budaya Hoa-binh yang berasal dari Vietnam Utara.  Sebenarnya apa yang dinamakan budaya Hoa-binh itu ialah tempat asalnya usaha pertanian industri tembikar, serta pengaruhnya di Asia Tenggara. Ini disamakan dengan penemuan Penggorek Api yang telah dijumpai berdekatan dengan Gua Bewah yang dipercayai sebagai punca untuk mendapatkan bahan pembakaran seperti untuk memasak, memanaskan badan, membuat tembikar dan sebagainya. Tentang pertanian pula, agak sukar untuk menyatakan bahawa budaya Hoabinh bercorak pertanian oleh kerana kebanyak tapak-tapaknya menunjukkan mereka memburu. Memang ada tanda-tanda awal dalam kegiatan pertanian (incipient agriculture), tetapi yang lebih penting ialah pada pembuatan alat-alat batu dan juga tulang. Contohnya penemuan Beliung Batu yang digunakan sebagai alat melapah daging buruan pada zaman neolitik.

     Ahli pengkaji sejarah menyatakan terdapat suatu perubahan besar dari segi kebudayaannya, iaitu suatu revolusi kebudayaan dalam prasejarah Asia Tenggara. Ahli pengkaji sejarah barat iaitu F. Sarasin dan P.E Sarasin mengaitkan dengan teori penghijrahan orang Melayu ke rantau ini. Pertama kedatangan Melayu-Proto yang membawa kebudayaan Neolitik dan kedua kedatangan Melayu-Deutero yang membawa kebudayaan logam. Namun teori migrasi tidaklah diterima oleh semua pengkaji. Sejak 1964, J.Ph. Duyvendak menegaskan bahawa pengetahuan tentang batu dan logam telah dibawa masuk ke dalam masyarakat di kawasan-kawasan pantai melalui perhubungan dengan orang luar.       

            Pada tahun 1956 misalnya, H.D Noone telah membuat penyiasatan di Sungai Bewak, Ulu Terengganu di mana dijumpai barang-barang purba seperti tembikar, mangkuk dan kapak. Selain daripada kapak-kapak tersebut, banyak lagi barang-barang lain yang mencirikan budaya Neolitik di Alam Melayu. Antaranya ialah tembikar, perhiasan dan pakaian yang dibuat daripada kulit-kulit kayu. Pada tahun 1975 contoh, para arkeologi Terengganu telah menemui beberapa serpihan tembikar yang dijumpai berdekatan dengan kawasan Gua Bewah.

            Sebagai ciri utama budaya Neolitik, kemajuan yang berlaku dalam pertanian telah mengubah cara hidup mereka daripada kegiatan mengumpul makanan kepada menghasilkan makanan. Melalui kegiatan pertanian dan juga penternakan ini juga menjadikan mereka menetap di sesuatu tempat yang tidak menentu, tidak lagi berpindah-randah seperti sebelumnya.  Ini dapat dibuktikan melalui hasil pengkajian kami bersama ahli arkeologi Muzium Terengganu yang menemui Cangkul Batu yang digunakan untuk kegiatan pertanian.

 Perkembangan Dari Segi Sosial

            Prasejarah adalah zaman yang ditanda oleh ahli sejarawan sebagai zaman yang masih tidak wujud sistem tulisan dalam zaman tersebut. Penemuan arkeologi setakat ini menunjukkan cara pengkebumian mayat itu lebih tua daripada zaman kenaikan paras air laut pada 10 ,000 hingga 11, 000 tahun dahulu iaitu perubahan daripada zaman geologi Plestosen ke Holosen.

Adapun tentang kebudayaan spiritualnya, kedudukannya agak kabur kerana dikatakan kekurangan bukti dan maklumat. Setakat yang diketahui mereka sudah mengenal perkuburan, seperti yang terdapat pada fosil Homo wajakensis dan Perak Man di Perak. Selain itu, jumpaan rangka manusia dalam keadaan kaki yang bersila dan tangan yang bersila di Gua Tuk Bidan yang berdekatan dengan Gua Bewah juga adalah kesinambungan daripada Zaman Hoabinhnian kepada Zaman Neolitik iaitu sekitar 4000 tahun dahulu. Dari segi kepercayaan, tentunya ia menunjukkan  kecenderungan kepada animism atau dinamisme menurut andaian oleh para sarjana yang mengkaji tentang asal usul agama dan kepercayaan asli. Juga, penyelidikan arkeologi tidak pernah menemui rangka yang lengkap di Malaysia khusus pengkajian kami di Gua Bewah. Menurut ahli arkeologi, penemuan rangka Bewah Man dipercayai seorang wanita yang berusia dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun tersebut dikebumikan dengan cara bayi dalam kandungan dan tidak mempunyai kepala. Hasil daripada analisis kami mentafsirkan bahawa wujudnya kepercayaan animisme disebabkan  cara pengebumian mereka yang agak unik.

Penemuan Gelang Batu dan Serpihan Tembikar di Gua Bewah menunjukkan permulaan kepada kesenian pada Zaman Neolitik ini ia semakin bertambah halus dan canggih. Namun, menurut para pendokong teori migrasi yang menyatakan bahawa kemajuan atau perubahan budaya ini berasal dari daratan Asia, khususnya dari Yunan. Kemajuan yang terpenting ialah pada peralatan-peralatan yang digunakan, iaitu kapak dalam pelbagai jenisnya, seumpama beliung dan cangkul, di samping kapak bahu yang berleher serta kapak lonjong. Bagi Robert Heine-Geldern, oleh kerana kebudayaan kapak dan kapak bahu ini berasal dari Yunan, maka ia dianggap berasal dari sana, bukan ciptaan asli penduduk tempatan.

Selain daripada kapak-kapak tersebut, banyak lagi barang-barang lain yang mencirikan budaya Neolitik di Alam Melayu khususnya di Gua Bewah. Antaranya ialah tembikar, perhiasan yang diperbuat daripada kerang serta pakaian yang dibuat daripada kulit-kulit kayu. Terutamanya di Jenderam Hlir dijumpai alat-alat tembikar yang berasal dari Tanah Besar. Demikian juga terdapat hubungan dari segi persamaan antara tembikar yang dijumpai di Gua Cha, Kelantan dengan Gua Bewah, Ulu Terengganu.

Penggalian di Gua Bewah tersebut telah memperoleh dua penemuan penting. Pertama, cara pengebumian Bewah Man yang dipercayai mengikut upacara keagamaan animisme. Kedua, pengetahuan teknologi tembikar yang tinggi mutunya, yang tarikh kewujudannya dianggarkan sejak lebih 10 000 tahun S.M. Walau bagaimanapun, belum terdapat kesan-kesan organisasi sosial yang jelas seperti tempat-tempat yang lain. Apa yang ditemui ialah kesan-kesan penempatan yang tersendiri tanpa mencampuri hal-ehwal satu sama lain.

No comments:

Post a Comment