Pada zaman ini dakwah diabaikan dan secara umumnya orang ramai sangat lalai daripada menunaikannya, demikian juga, terdapat sesetengah orang yang menjadi mangsa kepada sejenis penyakit. Apabila mereka mendapat tugas yang penting dalam agama, sama ada dalam bentuk ceramah, penulisan, pengajaran, berdakwah, syarahan dan sebagainya maka mereka begitu asyik memikirkan hal orang lain sehingga melupakan diri sendiri. Sedangkan, diri sendiri perlu diislahkan lebih daripada orang lain. Rasulullah s.a.w telah beberapa kali melarang dengan tegas tingkah laku orang yang sibuk menasihati orang lain sedangkan diri sendiri berterusan dalam melakukan maksiat.
Pada malam mikraj, Nabi s.a.w telah melihat sekumpulan manusia dalam keadaan bibir mereka dipotong dengan gunting yang dibuat daripada api, lalu Baginda bertanya, "Siapakah mereka itu?" Hazrat Jibril s.a.w menjawab, " Mereka adalah penceramah dan pensyarah di kalangan umat tuan. Mereka menasihati orang lain tetapi mereka sendiri tidak beramal." ( Dipetik dari kitab Misykat, hadith riwayat Tabarani )
Dalam satu hadith lagi, Nabi s.a.w bersabda, " Sebahagian ahli syurga akan pergi bertemu beberapa orang ahli neraka dan bertanya, " Apakah sebabnya kamu masuk neraka? Demi Allah, kami masuk syurga hanya dengan mengamalkan perkara yang kami belajar daripada kamu. " Mereka akan menjawab, " Kami dahulu memberitahu kamu tetapi kami sendiri tidak beramal." Dalam satu hadith lain diberitakan bahawa azab akan menimpa dengan lebih cepat kepada para ulama yang jahat daripada penyembah berhala. Mereka akan bertanya dengan terkejut, "Mengapakah azab menimpa kami dahulu daripada penyembah berhala?" Mereka akan mendapat jawapan, " Tidaklah sama kesalahan orang yang mengetahui jika dibandingkan dengan orang yang tidak mengetahui." ( hadith riwayat Tabarani dan Abu Nu'am )
Para mashaikh menulis bahawa ceramah daripada seseorang yang tidak beramal tidak akan memberi manfaat. Oleh kerana itulah kita dapati pada zaman ini, walaupun setiap hari ada sahaja ceramah, syarahan dan pengajaran yang disampaikan tetapi masih tidak berkesan. Terdapat berbagai-bagai jenis tulisan dan risalah agama tetapi semuanya masih tidak bermanfaat. Allah s.w.t berfirman:
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu lupa diri kamu sendiri. Padahal kamu semua membaca kitab Allah. Tidakkah kamu berakal?" (al-Baqarah, ayat 44 )
Nabi s.a.w bersabda, " Pada hari kiamat kaki anak Adam tidak akan berganjak sehingga dia ditanya empat perkara. Pertama, di manakah umurnya dihabiskan? Kedua, di manakah usia mudanya digunakan? Ketiga, dari sumber manakah hartanya diperolehi dan bagaimana harta itu dibelanjakan? Keempat, apakah yang dia telah lakukan terhadap ilmunya?"
Hazrat Abu Darda r.a. salah seorang sahabat yang ulung, pernah berkata, " Yang paling aku takuti adalah soalan yang akan dikemukakan kepadaku dihadapan sekalian manusia iaitu apakah yang kamu telah lakukan terhadap ilmu yang kamu ketahui?" (hadith riwayat Baihaqi )
Seorang sahabat r.a. telah bertanya Baginda s.a.w, "Siapakah makhluk yang paling buruk?" Baginda s.a.w menjawab, " Jangan ditanya tentang perkara yang buruk, tanyalah tentang perkara-perkara yang baik. Seburuk-buruk makhluk ialah ulama yang paling jahat di kalangan manusia." ( hadith riwayat Bazzar )
Mafhum satu hadith Nabi s.a.w, "Ilmu ada dua macam - pertama, ilmu yang hanya ada pada lidah merupakan hujah Allah s.w.t ke atas anak Adam, kedua ialah ilmu yang menyerap ke hati - itulah ilmu yang paling bermanfaat." ( hadith diriwayatkan oelh al-Hafiz Abu Bakar al-Baghdadi dalam kitab Tarikhnya )
Kesimpulannya, disamping ilmu zahir, hendaklah dipelajari juga ilmu yang berkaitan dengan hati dan rohani supaya hati juga akan dihiasi dengan ilmu, kerana ilmu yang tidak memberi kesan kepada hati akan didakwa oleh Allah s.w.t pada hari kiamat. Orang alim yang sedemikian akan dipersalahkan oleh Allah s.w.t dan akan dipersoalkan tentang ilmunya. Semoga Allah s.w.t dengan rahmatNya yang luas mengurniakan kepada saya juga taufik untuk memperbaiki diri saya, zahir dan batin.
- Kitab Fadhilat Amal ms 31