Peranan ulama dalam membangkitkan
perang jihad dan melancarkan perang sabil ke atas penjajah kuffar di Tanah
Melayu yang terhenti selepas kekalahan Pattani pada 1876 kembali memuncak pada
awal 1900. Tiga pemberontakan yang dipimpin oleh ulama di Pahang, Singapura,
Kelantan dan Terengganu mempunyai hubungan yang rapat dengan pengaruh
Othmaniyah. Sama ada kerana semangat jihad yang dibangkitkan oleh Sheikhul
Islam Othmaniyah atau kerana Pan-Islamisme, yang penting ke semua kebangkitan
ini berlaku atas nama jihad, dipimpin oleh ulama dan bertujuan mempertahankan
Islam Othmaniyah.
Beberapa
ketika selepas tercetusnya pemberontakan Dahagi di Singapura, telah tersebar
berita bahawa British akan kalah dalam peperangan menentang kerajaan Othmaniyah
di wilayah-wilayah umat Islam di seluruh dunia. Agen perisikan Jerman memainkan
peranan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat Kelantan. Dalam masa yang sama,
kepulangan seorang ulama-hulubalang dari Mekah setelah hamper sepuluh tahun
belajar di Mekah telah mengubah kesedaran tersebut kepada tindakan yang lebih
agresif untuk mengalahkan British. British menguasai Kelantan melalui
Penasihatnya semenjak 1903, dan diserahkan oleh Siam sepenuhnya pada 1909
melalui Perjanjian Bangkok.
Tok
Janggut atau Haji Mat Hassan Munas sebelum ke Mekah adalah hulubalang dalam
Istana Jeram. Beliau adalah sepupu kepada Tuan Guru Haji Ismail yang
bertanggungjawab membawanya ke Mekah dan dikatakan berguru dengan Sheikh Ahmad
al-Fathani. Melalui gurunya, beliau didedahkan tentang Khilafah Othmaniyah dan
diarahkan berjihad untuk memerdekakan Kelantan daripada penjajah kuffar.
Kepulangan beliau ke Kelantan pada 1909, iaitu hamper serentak dengan
kepulangan Tok Kenali selepas kematian Sheikh Ahmad. Seperti mana Tok Kenali
juga yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan bersama Datuk Nik Mahmud dan
Dato’ Laksamana, Tok Janggut terlibat dalam pentadbiran kerajaan Jeram.
Perubahan
sistem pentadbiran jajahan pada 1904 dan kehaidran wakil British, En. Latiff
dari Singapura sebagai Ketua Jajahan menjejaskan kedudukan Engku Besar Jeram
sebagai pembesar tradisional. Sebelum ke Mekah, Tok Janggut dikatakan mempunyai
hubungan dengan pejuang Pahang yang berlindung di Kelantan seperti Mat Kilau,
Tok Gajah dan Dato’ Bahaman. Ini memberikan inspirasi kepada Tok Janggut
tentang kesan campur tangan kuasa asing di Kelantan, seperti mana jatuhnya
Pattani di Siam pada 1786. Berkebetulan pada Ogos 1914 telah berlaku
ketegangan memuncak antara Britain,
Perancis dan Russia di satu pihak dengan Jerman, Austria dan kerajaan
Othmaniyah di satu pihak yang membawa kepada Perang Dunia Pertama.
Britain
telah memaksa Sultan Kelantan supaya menyokong mereka dan mendoakan supaya
mereka beroleh kemenangan. “Haji dan lebai” juga mesti berdoa supaya mereka
untuk Britain dan tindakan akan diambil jika arahan tidak dipatuhi. Arahan aneh
ini dilihat oleh Tok Janggut sebagai satu penghinaan kepada ulama dan umat
Islam. Dalam masa yang sama Sultan Kelantan dipaksa untuk melarang rakyat
Kelantan menyebelahi, menyokong atau simpati kepada kerajaan Othmaniyah. Mereka
mengeluarkan propaganda bahawa jika kerajaan Othmaniyah mengalahkan British,
seluruh bumi Islam termasuk Mekah akan dikuasai Jerman. Ini bertentangan dengan
gagasan khilafah yang pernah dibuat oleh Sheikh Ahmad supaya semua kerajaan
Melayu Islam bernaung di bawah kerajaan Othmaniyah.
Fatwa
Jihadi Ekbar Fardi Ayn ke atas
British oleh Sheikhul Islam Othmaniyah atas alasan kerajaan Othmaniyah
berkewajipan mempertahankan setiap inci bumi orang islam telah mempengaruhi
penduduk Kelantan dengan cepat. British bertindak balas melarang akhbar-akhbar
menyiarkan berita peperangan British dengan kerajaan Othmaniyah. Pemberontakan
Dahagi di Singapura turut mempercepatkan kebangkitan rakyat Kelantan, dan
faktor-faktor seperti masalah cukai, kehadiran En. Latiff dan pembunuhan Sarjan
Che Wan hanya menyegerakan penentangan sahaja.
Bagi
menyahut seruan jihad Othmaniyah itu, pada 23 April 1915, Tok Janggut bersama
pengikutnya telah berpakat dan menyusun strategi untuk menyerang British di
Pasir Puteh. Serentak dengan itu, En. Latiff bagi pihak British telah
menghantar Sarjan Che Wan Sulaiman bersama dua mata-mat untuk menangkap Tok
Janggut, tetatpi gagal. Sebaliknya Sarjan Che Wan terbunuh. En. Latiff gagal
mendapat bantuan daripada Kweng (Penghulu) Gaal dan Kok Berangan untuk menyekat
kemaraan Tok Janggut sehingga memaksa En. Latiff berundur ke Kota Bharu. Ini
membolehkan Tok Janggut menguasai Pasir Puteh dengan mudah. Engku Jeram Besar
diangkat sebagai Raja, manakala Tok Janggut menjadi Perdana Menteri.
Esoknya,
British menerima laporan kejatuhan Pasir Puteh ke tangan Tok Janggut dan
mendapatkan bantuan tentera dari Singapura. Beberapa pengikut Tok Janggut
seperti Mat Pak Ya dan Mat Saman bersiap untuk menyerang Kuala Krai. Sebagai
langkah berjaga-jaga, Sultan Mohammed Ke-IV telah menghantar Dato’ Menteri Mohd
Hassan Salleh dan Dato’ Nik Mahmud ke Pasir Puteh untuk berunding. Tok Janggut
telah memberi tahu bahawa mereka bukan menentang Sultan Kelantan, tetapi
menolak penjajahan British. Walau bagaimanapun, atas paksaan British, Sultan
Kelantan mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka dan memerintah supaya
Tok Janggut di tangkap.
Pada
3 Mei 1915, 239 tentera British dari Singapura bertolak ke Kelantan dan tiba
pada 5 Mei dan mengarahkan kapal HMS Calmus berkawal di Kuala Semerak kerana
dibimbangi Tok Janggut mendapat bantuan kerajaan Othmaniyah atau Jerman. 50
askar berkawal di Tanah Merah dan
Gunong, dan pada 8 Mei 1915 askar British mula bergerak ke Pasir Puteh. Sultan
Kelantan pula dipaksa mengeluarkan arahan menyerah diri kepada Sultan atau
British. Sebaliknya, di Pasir Puteh, Tok Janggut dan Engku Besar Jeram bersama
pengikutnya menolak penyerahan dan mengisytiharkan jihad dan perang sabil ke atas
British.
Pada
24 Mei 1915, British telah menggeledah rumah Khatib Abu Bakar kerana dipercayai
menjadi tempat perlindungan Tok Janggut. Khatib Abu Bakar menjadi syahid
pertama dalam gerakan jihad ini. Kemudian askar British dan penyokong Tok
Janggut bertempur di Kampung Dalam Pupoh, dekat Jeram. Dalam pertempuran ini,
Tok Janggut bersama Tok Abbas dan Tok Hussein telah syahid. Engku Besar Jeram
berjaya melarikan diri ke Reman, manakala 14 lagi pengikut Tok Janggut telah
diburu oleh polis.
Pemberontakan
Tok Janggut kerana sentiment jihad ini seolah-olah tidak mendapat dukungan
daripada murid-murid Sheikh Ahmad yang berpengaruh di Kelantan seperti Tok
Kenali, Dato’ Nik Mahmud dan Dato’ Laksamana. Sebenarnya, tekanan British ke
atas Sultan Kelantan telah menghilangkan peranan mereka. Lebih-lebih lagi
Sultan Kelantan terpaksa bertindak ke atas Engku Besar Jeram ekoran pergolakan
dalam istana apabila Tengku Bendahara dan Tengku Chik Penambang yang sedang
menuntut takhta menyokong Engku Besar Jeram. Keadaan ini memaksa Sultan
Mohammed Ke-IV untuk bertindak ke atas Tok Janggut, sekaligus menutup ruang
untuk ulama menyokong gerakan jihad ini.