Sunday, October 30, 2016

Perkembangan Sejarah dan Ketamadunan Islam di Timur Tengah dan Kesannya Terhadap Pelbagai Aspek Perkembangan Islam di Malaysia

1.0  Pendahululan Kepada Perkembangan Sejarah dan Ketamadunan Islam

Perkembangan Islam bermula dari pensyariatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sejak turunnya wahyu oleh Allah S.W.T kepada Rasulullah di Gua Hira’ pada awal 600 Masihi melalui surah Al-’Alaq iaitu,
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) (1). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku (2). Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah (3).”                                     
                                                                                               (al - ‘Alaq ayat 1 hingga 3)
Surah ini memberikan gambaran bahawa agama Islam mula berkembang melalui penyebaran ilmu sebagaimana perkataan “Bacalah” yang menekan betapa peri pentingnya penyebaran ilmu dalam usaha mendekatkan diri kepada Pencipta mereka. Ini berkait rapat dengan kemajuan sesebuah tamadun sebagaimana kemajuan Tamadun Renaissance yang dikatakan zaman kelahiran semula kerana masyarakat zaman ini didakwa menjadi pemangkin kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, seni bina, agama dan kesusasteraan.
            Kemajuan dalam penyebaran ilmu pengetahuan ini secara tidak langsung berkait rapat dengan ketamadunan sesebuah kerajaan. Oleh itu, peristilahan maksud tamadun ini kebiasaanya akan memberi gambaran mengenai tahap kegemilangan peradaban dan kemajuan hidup yang dicapai oleh setiap bangsa di dunia ini. Dari segi istilah Bahasa Melayu, tamadun merupakan istilah yang paling popular digunakan dalam masyarakat Melayu untuk menceritakan tentang kebudayaan, kemajuan, pembangunan, peradaban dan kemajuan yang dicapai oleh sesuatu bangsa. (Amdun Husain, 1986). Justeru, tamadun adalah sebuah masyarakat yang membangun melalui proses urbanisasi dengan nilai-nilai, adab-adab dan tatasusila hidup serta berbudi luhur.
            Dari segi istilah Bahasa Inggeris pula, Civilization menurut Colingwood : “Suatu proses bagi mencapai tahap kehidupan civil (sopan), membawa lahirnya ciri-ciri masyarakat bandar yang mempunyai kehalusan budi”. E.B. Taylor (ahli antropologi) pula menyamakan istilah tamadun dengan budaya sebagai suatu yang merangkumi makna keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni moral, undang-undang, adat dan keupayaan-keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang didapati oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
            Pengistilahan Bahasa Arab memberikan definisi tamadun sebagai al-hadarah. Istilah ini dipopularkan oleh Malik bin Nabi, berasal daripada perkataan hadar yang membawa maksud kehidupan secara menetap, tempat lahirnya perkembangan ilmu, kesenian, kesusasteraan undang – undang dan kemasyarakatan. Selain itu, Mohamad ‘Abduh dan Muhammad Farid Wajdi memperkenalkan istilah al-madaniyyah berasal daripada perkataan madana, madani, Madinah yang membawa pengertian pembinaan kota dan tempat tinggal menetap. (Farid Wajdi, 1967). Ia berupa metodologi kehidupan dan cara mengambil manfaat daripada segala sumber tenaga semulajadi dan tenaga manusia. Usaha kearah itu memerlukan keilmuan yang tinggi dan pengalaman yang cukup melalui proses penyelidikan dan rekaan terhadap sesuatu yang dikira boleh mendatangkan faedah kepada manusia.
            Hadharah pula menjurus pembinaan insaniah manusia (kerohanian) sementara madaniyyah menjurus pembinaan material. Bagaimanapun kedua-duanya adalah sama dari segi penggunaan Bahasa iaitu membangun, membina, memaju, menguat dan memperbaiki kehidupan masyarakat. Gabungan kedua-dua maksud di atas memperlengkapkan maksud sebenar tamadun menurut perspektif Islam. Elemen penting yang ditekankan oleh Ibn Khaldun ialah segala ciri-ciri tamadun haruslah terbina atas asas spiritual (hidayah) Allah bukan jibayah yang hanya mementingkan material semata-mata.


2.0  Perkembangan Sejarah dan Ketamadunan Islam di Timur Tengah
2.1 Perkembangan Ketamadunan Islam di Zaman Rasulullah S.A.W

Perkembangan Islam bermula di Mekah dan Madinah sebaik sahaja Nabi Muhammad S.A.W dilantik menjadi Rasul atau Pesuruh yang kemudian dikenal dengan nama Rasulullah atau Pesuruh Allah, maka baginda terus menjalankan seruan Islam dengan memperkenalkan ajarannya kepada masyarakat Arab melalui wahyu yang disampaikan oleh Allah S.W.T. Langkah yang pertama yang mendapat tumpuan Nabi Muhammad S.A.W ialah membaiki akidah mereka yang menjadi asas kepada perkara-perkara yang lain. Perkara ini perlu diutamakan sebelum pembentukan masyarakat Islam yang sempurna secara kesuluruhannya. Menurut Haji Dusuki Haji Ahmad melalui bukunya, Ikhtisar Perkembangan Islam menyatakan al-Quran diturunkan di Mekah dengan tujuan utama ke arah pembentukan akidah dan seterusnya diturunkan di Madinah yang menekankan aspek personal dan masyarakat dari semua aspek seperti soal-soal ibadah, ekonomi, politik, sosial, jihad, kekeluargaan dan sebagainya. Tamadun Islam yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W lebih terserlah berlakunya selepas baginda S.A.W berhijrah ke Madinah dan membina negara di sana. Pembinaan Tamadun Islam pada zaman baginda S.A.W bermula sejak 13 tahun sebelumnya di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Dilihat dalam susur galur sejarah islam, selepas berlakunya sepuluh tahun baginda memerintah negara Islam Madinah, Tamadun Islam sudah dapat ditegakkan di dua buah kota besar Semenanjung Tanah Arab iaitu melalui pembinaan kota  Madinah al-Munawwarah dan kota Mekah al-Mukarramah.
Peringkat permulaan ajaran islam melalui 3 tahap iaitu melalui secara sulit, peringkat secara  terus terang kepada kaum keluarga dan peringkat secara berterus terang kepada orang ramai. Melalui 13 tahun melalui proses tarbiah di Mekah, penumpuan yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W pada peringkat ini bersifat penyediaan untuk menghadapi golongan jahiliah. Kejayaan baginda dan para sahabat dalam menempuh pelbagai ujian di samping penyediaan batu asas yang kukuh di Madinah sebelum hijrah, merupakan strategi yang paling menarik dalam agenda pembinaan tamadun. Antara persediaan yang dilakukan oleh baginda ialah:
i.              Pembinaan ketahanan spiritual melalui penekanan akidah atau kepercayaan yang teguh kepada Allah S.W.T dan kerasulan Muhammad S.A.W serta keyakinan kepada alam ghaib, syurga dan neraka melalui penerapan Rukun Iman dan Rukun Islam.
ii.             Pembinaan Ketahanan Mental dengan cara memaksa umat Islam sentiasa berfikir dan berikhtiar mencari jalan melepasi segala rintangan dan dugaan yang diterima serta memilih strategi dakwah terbaik di tengah-tengah gelombang masyarakat jahiliyyah menentang Islam.
iii.            Pembinaan ketahanan emosi melalui latihan agar sentiasa tabah dan sabar dalam mengharungi ujian Allah.
iv.           Pembinaan latihan fizikal menerusi latihan secara praktikal melalui penganiyaan musyrikin Mekah. Mereka terpaksa menahan lapar akibat pemulauan, terpaksa menahan sakit pedih kerana disebat, dilecur dengan api dan pelbagai penyeksaan lagi.
            Seterusnya menerusi hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah merupakan langkah drastik ke arah era pelaksanaan syariat secara menyeluruh apabila semua masyarakat Madinah bersedia menyerahkan kota tersebut di bawah pentadbiran baginda S.A.W. Antara strategi yang telah ditekankan oleh Rasulullah S.A.W  dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Aspek-aspek tersebut seperti:
i.              Aspek politik. Nabi Muhammad S.A.W telah menubuhkan negara Islam melalui penyatuan golongan Aus, Khazraj dan Yahudi yang telah berperang beratus tahun merebut kekuasaan. Baginda diterima sebagai pemimpin masyarakat Madinah dan seterusnya melancarkan Piagam Madinah (Constitution of Madinah) yang terdiri daripada 47 fasal. Seterusnya baginda telah mewujudkan sistem kehakiman dan menyusun sistem pentadbiran berpusat di Madinah. Kerajaan Islam ini dibahagikan kepada enam wilayah dan setiap wilayah terdiri dari seorang gabenor yang bertanggungjawab kepada pentadbiran pusat.
ii.             Aspek Ekonomi. Baginda telah melaksanakan sistem zakat, ghanimah, kharaj, fai’ dan mendirikan pasar di Madinah. Perniagaan, pertanian, penternakan dan perdagangan antarabangsa juga turut berlangsung pada zaman baginda. (Nik Kamaliah Nik Abdullah, 1994).
iii.            Aspek Sosial. Rasulullah S.A.W membina masjid sebagai tempat solat sekaligus berfungsi sebagai markaz, madrasah dan parlimen. Ia juga berperanan sebagai pusat penyebaran dakwah sama ada dalam bentuk wahyu dan juga tempat menerima tetamu daripada dalam dan luar negeri. Rasulullah S.A.W juga berjaya mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar sehingga mereka sanggup berkorban demi kepentingan saudara mereka. (Nik Kamaliah Nik Abdullah, 1994).


2.2 Zaman Khulafa’ al-Rasyidin

            Setelah wafatnya baginda S.A.W, empat orang sahabat iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar ibn al-Khattab, Uthman ibn ‘Affan dan Ali bin Abi Talib R.A telah diamanahkan untuk meneruskan sistem pemerintahan Daulah Islamiah yang berpusat di Mekah dan Madinah yang dikenali sebagai Khulafa’ al-Rasyidin. Perkataan Khulafa’ atau Khalifah pada asalnya bererti pengganti kemudian ia digunakan kepada jawtan ketua umum dalam pentadbiran urusan dunia dan hal ehwal agama selepas Rasulullah. Kedudukan dan taraf seorang khalifah dari segi kuasanya adalah sama seperti Rasulullah.
            Zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar telah membawa banyak pembaharuan dalam ketamadunan islam selepas zaman Rasulullah S.A.W. Sumbangan yang paling dominan ialah pengukuhan akidah dalam memerangi golongan yang murtad dan membentuk pasukan tentera yang khusus untuk menjaga keamanan dan kemakmuran di kedua-dua negara Islam di Mekah dan Madinah. Usaha pembentukan tentera yang dikenali sebagai Usamah ini bermatlamatkan untuk menghancurkan gerakan orang murtad selepas kewafatan Rasulullah. Selain itu, Abu Bakar juga mengumpulkan al-Quran  sebagai langkah untuk memelihara mushaf al-Quran daripada hilang atau dimusnah serta banyak hafiz yang meninggal dunia.
            Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab pula telah menjadikan sistem politik negara islam tersebut lebih tersusun dan sistematik. Malah, penyebaran Islam telah berkembang dan meluas ke negeri-negeri Syam, Mesir dan Parsi. Beliau membahagikan kawasan pentadbirannya kepada lapan daerah iaitu Mekah, Madinah, Syria, al-Jazirah (Mesopotamia), Basrah, Kufah, Mesir dan Palestin. Tiap-tiap kawasan ditadbir oleh seorang pesuruhjaya yang dikenali dengan nama wali dengan dibantu oleh beberapa orang pegawai seperti Setiausaha Ketua Tentera, Pemungut Cukai, Pegawai Polis, Pegawai Perbendaharaan dan Hakim (kadi).
            Manakala di Zaman Khalifah Osman bin Affan menunjukkan senario politik Islam tidak menentu. Beliau juga yang merupakan penulis wahyu Rasulullah S.A.W dan dikenali gelaran Zu-nurain ini dilantik oleh Abdul Rahman bin Auf bagi menggantikan Saidina Abu Bakar. Beberapa perubahan dalam sistem politik Islam dibawah pemerintahan 12 tahun Saidina Osman. Antaranya ialah Marwan bin al-Hakam yang merupakan setiusaha Osman bin Affan  melakukan perubahan perlantikan gabenor yang dilantik oleh Khalifah Umar telah dipecat dan diganti daripada keturunan Bani Umayyah iaitu kaum keluarganya sendiri. Tindakan Marwan ini menyebabkan berlakunya kekacauan dalam sistem politik yang diterajui oleh Osman yang dikatakan lemah dalam pentadbirannya kerana sudah mencapai usia 80 tahun. Osman bin Affan dibunuh kerana fitnah yang dikatakan beliau telah menulis surat untuk mengarahkan Abdullah bin Saad, Gabenor Mesir untuk membunuh Muhammad bin Abu Bakar dan rombongannya apabila mereka sampai di Mesir.
            Dibawah pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib juga bertindak memberhentikan semua gabenor yang dilantik oleh Saidina Osman. Tindakannya  menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang bersimpati atas kematian Saidina Osman. Ramai ahli sejarah berpendapat bahawa tindakan Khalifah Ali ini dan kelemahan-kelemahannya dalam pentadbiran merupakan faktor secara langsung kejatuhan kerajaan Khulafa ar-Rasyidin. Walau bagaimanapun, kelahiran parti dalam sistem politik islam ini merupakan perintis kepada pembaharuan politik islam moden. Antara parti politik yang dilahirkan diasaskan ialah Parti Syiah yang pro Khalifah Ali, parti Ahli Sunnah yang pro Muawiyah dan parti Khawarij yang anti kepada kedua-dua parti tersebut.
            Di zaman pemerintahan empat orang khalifah ini, Tamadun Islam dikatakan dapat dikembangkan ke seluruh Semenanjung Tanah Arab dan melampaui Empayar Rom dan Parsi. Kota-kota Islam telah dapat diwujudkan antaranya ialah Damascus di Syria, Basrah, Kufah dan Fustat di Mesir dan Jerusalem di Palestin.


            2.3 Zaman Daulah Bani Umaiyah

            Pada zaman Daulah Bani Umaiyah, Tamadun Islam telah sampai ke Asia, Afrika dan Eropah. Kota Byzantine yang terletak di sempadan Damsyik menjadi tumpuan. Selanjutnya Islam berkembang di bumi India melalui pimpinan Muhammad al-Qasim yang berjaya menawan Sind pada abad ke – 8 Masihi. Di sekitar abad ke 13 Masihi pula, Islam telah sampai ke Asia Tengah apabila tentera Islam dapat membuka Bukhara, Samarqand, Khawarizmi, dan Farghanah. Seterusnya membuka jalan ke China melalui Qutaybah bin Muslim yang berjaya menguasai Singkiang dan kemudiannay mara ke  Kansu. Daulah Bani Umaiyah dikatakan dapat menjalankan hubungan Maharaja Hsuan pada tahun 713 Masihi.
            Manakala di sebelah Afrika Utara dan Maghribi pula, Tamadun Islam telah berjaya ditegakkan di sana melalui Hassan bin Nu’man al-Ghassani yang kemudiannya dilantik sebagai gabenor di situ. Tempat beliau kemudiannya diganti oleh Musa bin Nusayr yang menjadi Amir Qayrawan. Sementara itu, di Andalusia, Sepanyol telah berjaya dibuka oleh panglima perang Tariq bin Ziyad. Beliau telah berjaya membuka beberapa buah kota besar seperti Carmona, Seville dan Toledo. Maka, beberapa buah masjid, institusi-institusi pendidikan dan juga istana turut dibina.


            2.4 Zaman Kerajaan Daulah Abbasiyah

            Pada zaman Daulah Abbasiyah, telah wujud pertelingkahan dan perebutan takhta yang membawa muncul beberapa buah kerajaan kecil di wilayah-wilayah Arab, Parsi, Turki, Kurdi dan lain-lain. Parsi sebagai contoh, telah muncul kerajaan Tahiriyah yang berpusat di Khurasan, Kerajaan Saffariyah di Fars, Kerajaan Samaniyah di Trensoxania, Kerajaan Sajidiyah di Arzerbaijan, Kerajaan Ziariah di Jurjun dan Kerajaan Buwayh di Iraq dan semua kerajaan ini dikatakan wujud sekitar abad ke 9 Masihi hingga abad ke 12 Masihi.


3.0  Kesan Perkembangan Sejarah dan Ketamadunan Islam di Timur Tengah Terhadap Kepelbagaian Aspek Perkembangan Islam di Malaysia

Terdapat beberapa faktor yang boleh dilihat sebagai penyumbang kepada kepesatan perkembangan Islam di Malaysia sejak dari awal Kesultanan Melayu Melaka atau sebelumnya lagi. Antaranya ialah:
i.              Hubungan dagang kerajaan Awal Melayu dengan negara Arab
ii.             Hubungan diplomatik dengan wilayah-wilayah Islam dan pusat pemerintahannya
iii.            Hubungan ilmu secara dua hala dengan negara arab terutamanya Mesir dan Hijaz
iv.           Perluasan wilayah oleh Kerajaan Islam Melayu Melaka
v.             Islam itu mudah difahami
vi.           Peranan ulama dalam pemerintahan


3.1   Pengaruh Dalam Akidah dan Kepercayaan

Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah mempengaruhi banyak aspek sebagaimana yang dinyatakan; bahawa ia "mencetuskan suatu zaman baru". Pengaruh yang dibawa oleh Islam merupakan suatu kesan menyeluruh berasaskan paradigma tauhid. Pengaruh tersebut bukan hanya melibatkan pertukaran watak luaran tetapi terkesan daripada falsafah dan pemikiran Islam yang tulen. Ledakan tauhid ini telah mencetuskan zaman baru dan meninggalkan zaman kehidupan pengaruh Buddha dengan alam khayalannya iaitu penyembahan berhalanya dan dengan kepentingan kepada keseniannya. Tauhid itu juga membuahkan kehidupan beribadah, menghiasi akhlak yang bernilai tasawwuf, juga mencetus perubahan-perubahan lain seperti dalam bidang sosial, politik, perundangan, keilmuan, kesusasteraan atau persuratan dan sebagainya.
Pandangan serta falsafah pemikiran masyarakat Alam Melayu juga turut berubah setelah mereka menerima ajaran Islam. Sebagai contoh, Islam menyuruh umatnya supaya berusaha bersungguh - sungguh mencari rezeki yang halal agar disenangi dan dihormati oleh semua orang. Jika gagal sekalipun, Islam menyuruh umatnya agar tabah dan sabar serta menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan redha dengan ketentuanNya, bukannya berputus asa dan membunuh diri.

3.2   Pengaruh Dalam Aspek Sosial

Berikutan dengan perkembangan Islam di awal kerajaan Melayu, ciri - ciri sosial Islam juga telah bertapak secara beransur-ansur yang akhirnya berjaya mengambil tempat ciri-ciri sosial Hindu yang menguasai masyarakat ketika itu. Antara ciri-ciri sosial yang dibawa oleh Islam ialah persamaan taraf dan persaudaraan Islam antara semua anggota masyarakatnya, sehingga tergugat kedudukan sistem kasta dan perhambaan serta perbezaan taraf di kalangan mereka. Dengan terhapusnya sistem kasta yang dipengaruhi oleh budaya dan tamadun Hindu itu, Islam telah menggantikannya dengan memperkenalkan sistem atau konsep persamaan taraf dan persaudaraan Islam, malah berjaya mewujudkan perpaduan, kemesraan dan semangat bantu membantu antara satu sama lain. Setelah kedatangan Islam ke rantau ini, konsep kasta dilihat tidak lagi releven kerana Islam menegaskan bahawa manusia berasal dari Adam dan Hawa. Kedudukan dan taraf manusia dinilai berdasarkan iman dan taqwa, bukan pada pangkat dan darjat kebangsawanan seperti yang diamalkan oleh tamadun Hindu melalui sistem kasta tersebut.
            Bagi mendidik masyarakat, Islam telah memperkenalkan hukum-hukum dan peraturan berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Ajaran agama Islam telah mengatur sistem perhubungan sosial dan kekeluargaan yang cukup menarik kepada masyarakat. Contohnya dalam perhubungan antara anak-anak dengan ibu bapa, suami dengan isteri, orang tua dengan orang muda, pemimpin dengan rakyat dan sebagainya. Melalui hukum dan peraturan itu, akan terbentuklah nilai akhlak yang mulia dan harmoni dalam perhubungan sosial antara individu dan kumpulan masyarakatnya. Komunikasi antara kelompok manusia akan dapat berjalan dengan sempurna, terjalin menerusi sifat hormat menghormati, bergotong-royong dan bantu-membantu antara satu sama lain.
Selain daripada itu, institusi-institusi baru kemasyarakatan juga turut muncul seperti masjid, surau, madrasah dan sebagainya yang memainkan peranan utama dalam hubungan sosial harian. Tempat-tempat seperti ini bukan sahaja berguna sebagai tempat beribadat tetapi juga sebagai tempat pertemuan sosial. Masjid umpamanya menjadi tempat menimba ilmu, dewan tempat bermesyuarat dan kelab untuk membincangkan pelbagai masalah dan urusan, sama ada dalam perkara agama atau bagi menyelesaikan hal-halkemasyarakatan yang dihadapi.

3.3   Pengaruh Dalam Politik dan Perundangan

Pengaruh yang peling jelas ialah apabila raja-raja Melayu menganut Islam dan memakai gelaran seperti Sultan, Malik, Amir al-Mu’minin. Penggunaan undang-undang syariah dengan munculnya Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Undang-undang Johor dan sebagainya.
Dalam susunan pentadbiran Melaka, kerajaannya diketuai oleh sultan dan dibantu oleh Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggong, Shahbandar, Perdana Menteri, Seri Bija Diraja, Laksamana dan lain-lain. (Hashim, 1977). Temenggung bertugas membanteras kemungkaran, mengawal keamanan dan kebajikan awam di dalam negeri. Manakala Syahbandar bertanggungjawab terhadap kebajikan pedagang, anak yatim dan orang-orang yang teraniaya. (Muhammad Taha, 1990).
Sistem perundangan bukan lagi terhad kepada aspek munakahat (kekeluargaan dan perkahwinan), tetapi juga mengjangkau persoalan jenayah dan sivil. Hukum Kanun Melaka misalnya, hudud meliputi kesalahan melakukan zina, qazaf, mencuri, merompak, murtad dan minum arak sepert yang terkandung dalam fasal 40(2), 43(5), 36(1), 11(1), 42 dan 43. Tidak ketinggalan juga kesalahan melakukan hubungan jenis sesame lelaki (liwat) dan hubungan jenis dengan binatang seperti dalam fasal 43 (5).
Pada sekitar abad ke 20 hingga 21, pengaruh islam dalam politik Malaysia menunjukkan kemajuan yang signifikan. Ini dapat dibuktikan melalui penyertaan golongan ulama didalam kebangkitan kesedaran bangsa dari era dahulu. Sebagai contoh, golongan ulama seperti syeikh syed al-Hadi dan sheikh Tahir Jalaluddin adalah antara golongan   intelektual pertama yang mengagaskan peranan Islam di dalam politik (Jamaie, 2005). Penubuhan parti politik kebangsaan seperti UMNO juga pada dasarnya mendapat sokongan para ahli agama. Kerana ia berfungsi sebagai medium politik bagi orang melayu yang rata-ratanya beragama Islam.
Terdapat ramai intelektual politik Malaysia adalah berlatarbelakangkan agama, seperti Dr Burhannudin Al-Hemy dan Profsessor Zulkifli Mohammad . Para intelektual inilah yang memainkan peranan yang besar didalam pengisian Islam didalam politik Tanah Melayu menjelang kemerdekaan (Jamaie, 2005). Namun, diatas sikap tidak mahu bekerjasama dengan pihak penjajah, para ulama ini telah disenarai hitamkan berbanding para nasionalis yang mengambil sikap bekerjasama dengan pihak penjajah. Terdapat ramai tokoh-tokoh agama yang turut terlibat di dalam kepimpinan Tanah Melayu pasca kemerdekaan tahun 1957 seperti Ahmad Badawi yang merupakan ulama tempatan yang terkenal didalam politik.
Apabila berlakunya pertembungan idea diantara golongan ulama dan para ahli politik berpendidikan barat, ramai di kalangan ulama telah keluar dari parti pemerintah dan menubuhkan sebuah parti Islam sebagai wadah memperjuangkan politik Islam (Kamarulnizam, 2003). Parti yang dimaksudkan ialah Parti Islam Semalaysia (PAS). Perjuangan politik Islam di Malaysia telah melalui pelbagai liku lantaran terpaksa bersaing dengan pelbagai pemikiran politik barat seperti liberalisme yang didukung oleh UMNO dan sosialisme yang didukung oleh Barisan sosialis. Namun, politik Islam mendapat sambutan yang menggalakan di negeri-negeri yang berpenduduk majoriti Melayu. Ini kerana terminologi Islam tidak dapat dipisahkan dari aspek budaya Melayu. Menurut Syed Naquib (1972), Islam dan Melayu tidak dapat dipisahkan kerana terdapat ikatan yang kuat diantara kedua-duanya dari segi budaya dan agama.

3.4   Pengaruh Dalam Perlembagaan Malaysia

Kenyataan pengaruh Islam terhadap Malaysia jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 1, Perkara 3 mengenai Agama bagi Persekutuan. Contohnya Perkara 3 (1): “Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” Perkara tersebut bermaksud agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi pada masa yang sama, sifat Islam yang mulia membentuk perlembagaan dan Negara Malaysia supaya mengizinkan hak-hak orang bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing. Peruntukan ini bukan sahaja mengakui agama Islam sebagai agama yang agung, tetapi juga memberi ruang dan kebebasan kepada rakyat berbilang kaum untuk mengamalkan agama masing-masing di negara ini.
Selain daripada penetapan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, terdapat juga peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah menyatakan Yang di-Pertuan Agung merupakan Ketua Agama di Malaysia dan kerajaan haruslah mengadakan peraturan mengenai hal ehwal agama Islam dan menubuhkan sebuah Majlis untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agung mengenai perkara yang berhubung kait dengan agama Islam. Perkara 3 (5), Perlembagaan Persekutuan: “Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agung hendaklah menjadi Ketua Agama Islam dalam Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agung mengenai perkara-perkara berhubung dengan agama Islam”.
Manakala pembinaan institusi agama Islam juga termaktub dalam Perkara 12 (2), dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa : “ Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak menubuh dan menyenggara institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak dalam agama itu sendiri, dan tidaklah boleh ada pembezaan semata-mata oleh sebab  agama dalam mana-mana  undang-undang berkaitan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu, tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”
Dengan peruntukan yang terkandung dalam Perkara 3 dan Perkara 12 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, boleh disimpulkan bahawa dasarnya agama Islam merupakan agama rasmi Persekutuan. Dengan itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menyelenggara dan menubuhkan institusi Islam seperti penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pembinaan surau-surau atau masjid-masjid di seluruh negara untuk kemudahan rakyat melaksanakan aktiviti keagamaan.

3.5   Pengaruh Dalam Pendidikan Dan Ilmu Pengetahuan

Kesedaran Tentang Ilmu Pengetahuan Kedatangan Islam ke nusantara terutamanya Malaysia telah banyak memberi kesedaran dalam aspek pendidikan dan ilmu pengetahuan masyarakat Melayu. Islam telah melahirkan semangat keilmuan di kalangan penduduknya untuk mencari dan mempelajari ilmu pengetahuan. Menurut Profesor Syed Muhamad Naquib al-Attas bahawa; "Islam membawa semangat rasionalisme dan intelektualisme bukan sahaja di kalangan istana dan kraton, malah sampai juga dengan lebih merebak di kalangan rakyat jelata". Faktor asasi yang merupakan punca kesedaran atau punca revolusi kebudayaan ini ialah penjelasan rasional mengenai konsep perihal wujud yang dibawa untuk pertama kalinya oleh Islam. Pandangan sarjana tersebut menunjukkan kesedaran yang dicetuskan oleh Islam meliputi juga bidang keilmuan. Hal berkenaan juga menggambarkan pola kesedaran dalam aspek-aspek yang bersifat keilmuan ini yang melibatkan golongan atasan dan istana malahan juga golongan bawahan dan rakyat jelata.
Sistem pendidikan Islam di Malaysia merangkumi pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pendidikan formal adalah pendidikan yang didapati dari institusi pendidikan agama seperti sekolah, surau, madrasah dan sebagaina serta ia berasaskan bidang pengajian Islam seperti fiqah, tafsir, sejarah Islam, tauhid dan akhlak. Manakala pendidikan tidak formal pula adalah pengajaran yang berlaku secara langsung dalam kehidupan seharian seseorang muslim tersebut seperti cara berfikir, amal, kecergasan muslim dalam bidang ekonomi dan sebagainya.
Terdapat  empat pencapaian dalam bidang pendidikan agama Islam di Malaysia seperti:
i.              Wujudnya naskhah-naskhah Melayu yang dicetak dalam tulisan Arab dan jawi yang merangkumi ilmu politik, falak, kemasyarakatan dan sebagainya.
ii.             Kewujudan institusi pendidikan agama Islam melalui inisiatif kerajaan Malaysia membina pusat latihan dakwah, Institut Kemahiran Islam Malaysia, pembiayaan kerajaan untuk kelas-kelas fardhu ain dan sebagainya.
iii.            Kecenderungan sultan menguasai pendidikan Islam sejak awal Kesultanan Melayu Melaka.
iv.           Kemunculan golongan intelektual nusantara seperti Nuruddin al-Raniri, Sheikh Daud al-Fatani, Tok Kenali dan sebagai.

3.6   Pengaruh Dalam Ekonomi dan Sosio-budaya

Pengaruh Islam dalam Tamadun Melayu juga terkesan dalam aspek ekonomi. Suatu ketika dahulu Melaka pernah muncul sebagai sebuah pusat perdagangan utama di rantau ini. Peraturan islam jelas muncul dalam undang-undangnya. Terdapat undang-undang yang mengetengahkan peruntukan yang mengharamkan perniagaan benda-benda haram seperti anjing, babi, arak, tuak dan sebagainya. Turut dinyatakan peraturan sah jual beli, akad dan lain-lain. Undang-undang tersebut juga turut menggariskan tentang pengharaman riba, hokum orang muflis, sulh (perjanjian), ikrar, amanat, pinjam-meminjam, syarikat (perkongisan dan pelbagai lagi. (Muhammad Taha, 1990).
Selain daripada itu penggunaan wang syiling juga diperkenalkan di Melaka seperti penggunaan pada zaman Sultan Muzaffar Syah. Syiling tersebut ditulis perkataan berunsur Arab iaitu “Muzaffar Shah al-Sultan” dipermukaannya dan “Nasir al-Dunya wa al-Din” bermaksud penolong dunia dan agama islam.
Penerima masyarakat Melayu terhadapa sistem ekonomi Islam juga dapat dilihat dari segi peranan yang dimainkan oleh Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan utama dari segi impot  dan eksport suatu ketika dahulu. Pelabuhannya menjadi pusat persinggahan para pedagang dari seluruh pelusuk dunia. Ini secara tidak langsung menjadikan Melaka berkembang pesat sehingga wujud gudang-gudang yang besar dan rumah tumpangan untuk kemudahan para pedagang dan pendatang khususnya dari semenanjung Tanah Arab.  Selain itu, sejak tahun 1963 sudah wujud pengenalan kepada sistem ekonomi islam yang lebih moden dan sistematik yang dipanggil sistem perbankan Islam. Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) telah ditubuhkan untuk dijadikan institusi bagi umat Islam membuat simpanan sebagai persediaan mengerjakan ibadat Haji ke tanah suci Mekah. Pada tahun 1969, PWSBH telah bergabung dengan Pejabat Urusan Haji bagi membentuk Lembaga Urusan dan Tabung Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji). Manakala, Bank Islam pertama telah ditubuhkan pada tahun 1983. Perbankan Islam adalah aktiviti perbankan yang dijalankan berlandaskan prinsip Syariah iaitu tidak membenarkan pembayaran atau penerimaan faedah dan menggalakkan perkongsian untung di dalam amalan perbankan dari sudut pandangan Islam.
Penghayatan masyarakat Melayu berkait rapat dengan penghayatan terhadap nilai-nilai murni Islam oleh anggota masyarakat. Walaupun masyarakat dalam negara yang berbilang bangsa dan boleh diterima oleh etnik dan agama lain. Contohnya, Adat menyambut kelahiran bayi dengan zan, membelah mulut, hari ketujuh iaitu mencukur jambul, marhaban dan selawat. Begitu juga majlis perkahwinan dengan majlis khatam al-Quran, gotong royong ketika majlis kenduri. Majlis tahlil dan pengebumian jenazah cara islam juga menggambarkan pengaruh Islam secara tidak langsung.


4.0  Kesimpulan

Islam merupakan satu agama yang terbaik dan ajarannya diikuti oleh semua umat Islam sedunia. Syariat Islam bermula dengan penciptaan Nabi Adam A.S dan berubah mengikut peredaran zaman kenabian yang terdahulu sehinggalah Nabi Muhammad S.A.W yang dikatakan dalam al-Quran sebagai nabi yang terakhir kepada seluruh umat manusia. Dari turunnya wahyu yang pertama melalui malaikat Jibril dengan perkataan “Bacalah”, ia menggambarkan peradabannya yang tersendiri dalam bentuk masyarakat Islam yang universal dan sesuai mengikut zaman. Perkembangannya semakin meluas dari Barat hinggalah ke Timur dan ke Asia. Kedatangan Islam ke dalam dunia masyarakat Melayu dapat menyemarakkan lagi semangat dalam memperjuangkan Islam. Pengaruh Islam dalam pentadbiran masyarakat Melayu sememangnya tidak dapat dipisahkan dari kaca mata seorang pemimpin. Ini akan merealisasikan sebuah negara yang berbentuk islamik dalam masyarakat Melayu.
Pengaruh Islam amat kuat dalam pentadbiran masyarakat Melayu dan kepulauannya. Ia merangkumi dalam aspek-aspek seperti ekonomi, kesusasteraan, kesenian, pendidikan dalam penghayatannya, dan sistem perundangan. Gabungan kesemua ini akan mewujudkan satu negara Islam yang bertaraf dunia dan sebagai langkah permulaan untuk menjejaki dunia tanpa sempadan.
Sekiranya sesebuah negara Islam itu sedang membangun, ia sering mendapat perhatian dunia. Ini tidak lain kerana pembangunan ekonomi dan kestabilan politiknya yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Justeru, ditambah pula dengan keharumannya sebagai contoh dalam memajukan Islam dan memperbaiki taraf hidup rakyatnya yang beragama Islam tanpa menyekat kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama lain dan tanpa menindas mana-mana kaum di negara itu. Dalam erti kata lain, rakyat di negara itu akan diacu mengikut acuan Islam dan nilai-nilai murni sejagat serta pembangunan yang akan ditempa nanti tidak akan terpisah dari dasar-dasar yang digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.
  

5.0  Bibliografi

Buku Ilmiah


Asar Abdul Karim. (2008). Kecemerlangan Tamadun Islam Masa Kini. Kuantan: Universiti Malaysia Pahang.
Haji Dusuki Haji Ahmad. (1980). Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Khairul Azhar Idris. (2014). Karya Agung Tamadun Islam dan Peradaban Melayu. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad & Nik Kamaliah Nik Abdullah. (2009). Kenalilah Tamadun. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara.
Saifullah Mohd Sawi & Samsu Adabi Mamat. (2009). Sejarah dan Tamadun Islam di Asia Tenggara. Shah Alam: Karisma Publication.

Jurnal


Ali Mohammad. (2000). Sumbangan Tamadun Islam Dalam Kehidupan. Sejarah dan Pemikiran Islam, 68.
Mashitah Sulaiman. (2013). Islam Dana Transformasi Sosial Masyarakat Melayu Malaysia : Suatu Kajian Eksploratori . International Conference of Social Sciences Research, 68.

Akbar


A. Aziz Deraman. (18 Nov 2009). Ke Arah Mengangkat Tamadun Islam Dunia. Kuala Lumpur: Akhbar Sinar Harian.
Datuk Dusuki Ahmad. (10 June 2009). Budaya Keusahawanan Bangunkan Ekonomi Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Akhbar Berita Harian.

Laman Sesawang

Nurul Aisyah Yap Abdullah. (28 September 2011). adminscience.blogspot.com. Diambil dari pautan Pengaruh Islam Dalam Pembinaan Tamadun Malaysia: http://adminscience.blogspot.com/2011/09/pengaruh-islam-dalam-pembinaan-tamadun.html#!/tcmbck
Perbankan Islam . (10 Julai 2010). Pengenalan perbankan Islam. Diambil dari  pautan Spidm.wordpress.com: https://spidm.wordpress.com/pengenalan/

Pelaksanaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu 1911

1.0 Pengenalan Kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu 1911

Terengganu merupakan antara negeri yang tertua di Tanah Melayu yang dipercayai telah wujud semasa kegemilangan Kerajaan Srivijaya (M.C., Sheppard, 1949). Malah, Terengganu menjadi sebuah negeri yang maju sejak awal abad ke-18 dari segi hubungan perdagangan, pemerintahan dan juga dari segi kedaulatan undang-undang. Namun terdapat beberapa pergolakan yang berlaku di beberapa buah negeri yang berdekatan yang memperlihatkan peluang Inggeris untuk campur tangan. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerajaan Terengganu dalam usaha mengekalkan keamanan dan kedaulatan negeri tersebut. Oleh itu, Sultan Zainal Abidin III dengan modus operandinya bersama-sama pembesar negeri melaksanakan undang-undang bagi kerajaan negeri Terengganu yang dikenali sebagai Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk yang bermula pada tahun 1911.
Itqan Al-Muluk Bi Taqil As-Suluk adalah Undang-undang Bagi Diri (undang-undang tubuh) Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman yang disusun dan diwujudkan semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Undang-undang ini diwujudkan untuk mengekang pengaruh British disamping suatu pengisytiharan bahawa Terengganu merupakan negeri Melayu Islam merdeka dan berkerajaan sendiri serta mengekalkan sistem amalan monarki. Undang-undang yang diisytiharkan pada 2 November 1911 bersamaan 11 Zulkaedah 1329 Hijrah ini mengandungi 53 fasal, satu pendahuluan (muqaddimah) dan satu penyudahan (khatimah) yang bertujuan ntuk menguatkan kuasa kesultanan dan menghalang sebarang tindakan yang akan menyebabkan Terengganu dijajah.
Undang-undang bagi Diri Kerajaan Terengganu dinamakan sebagai Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk (Itqanul Muluk) yang bermaksud ‘Kesungguhan Raja-raja dengan Pemerintahan yang Adil’ (Nik Haslinda Nik Hussain, 2014). Undang-undang ini menjadi perlembagaan bagi negeri Terengganu yang digubal pada tahun 1329H/1911M semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Menurut Syed M. Naquib Al-Attas (1969), zaman pemerintahan Baginda dianggap zaman kemuncak perkembangan dan kegemilangan perundangan Islam di Terengganu. Malah, Islam dipercayai telah datang ke Terengganu sejak abad ketujuh Hijrah yang bersamaan abad ke 13 Masihi.
Oleh itu, proses islamisasi Alam Melayu ternyata memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan masyarakat Alam Melayu. Hal ini berbeza dengan proses indianisasi sebelumnya yang meninggalkan impak yang agak sederhana terutama kepada golongan bangsawan dan raja-raja Melayu. Dalam konteks negeri Terengganu, pengaruh islamisasi telah mewujudkan kerajaan Islam yang agak holistik dalam sudut pelaksanaan ajaran Islam. Ia dapat dibuktikan melalui catatan Batu Bersurat dan Perlembagaan Itqan al-Muluk ini.


2.0 Pelaksanaan Perlembagaan Itqan al-Muluk Bi Ta’dil al-Suluk Tahun 1911

2.1  Kandungan Utama Perlembagaan Itqan al-Muluk Bi Ta’dil al-Suluk

Menurut Hashim Musa dan Adi Yasran (2011) menyatakan bahawa kandungan perlembagaan ini terdiri daripada satu prakata, satu Mukadimah (permulaan), 53 Fasal dan satu Khatimah (pengakhiran). Isinya jelas mengandungi pengaruh Islam dalam banyak aspek, manakala mempertahankan adat warisan Melayu dalam beberapa aspek. Undang-Undang ini digubal atas perintah Sultan Terengganu untuk melawan pengaruh kuasa barat yang cuba untuk mendominasi negeri-negeri Melayu khususnya negeri Terengganu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 Masihi. 53 fasal daripada Perlembagaan Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil Al-Suluk yang telah digubal oleh ulama ini boleh dibahagikan kepada beberapa  inti pati utama seperti berikut (Mohd Nazri, 2006):
  1. Meletakkan asas bahawa negeri Terengganu adalah sebuah negeri Islam yang berdaulat.
  2. Mempertahankan dan menentukan kedudukan raja dalam negeri. Ia terdiri daripada (a) perlantikan raja dan tanggungjawabnya. (Fasal 2: maka hendaklah yang memerintah kerajaan Terengganu selama-lamanya dia beragama Islam dan daripada bangsa Melayu dan darah daging keturunan sultan-sultan yang memerintah kerajaan Terengganu dan laki-laki sebagaimana tartib dan syarat-syarat yang tersebut pada Fasal 3,4 dan 5) (b) kebajikan raja dan kerabat keturunannya.
  3. Mengasaskan dan menyusun atur pemerintahan negeri Islam moden. Ia terdiri daripada (a) bentuk, struktur dan pengendalian pemerintahan negeri, dan (b) pentadbiran undang-undang.
  4. Menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintahan negeri.

Sultan Zainal Abidin III


2.2  Pelaksanaan Perlembagaan Itqan al-Muluk Bi Ta’dil al-Suluk

2.2.1     Aspek Pemerintahan dan Perundangan

Kebimbangan Sultan Zainal Abidin III terhadap usaha British yang ingin menguasai Terengganu dapat diatasi melalui penubuhan perlembagaan baharu bagi mengekalkan kedaulatan negeri Terengganu. Malah dalam kajian Nik Haslinda (2014) menyatakan bahawa sesiapa sahaja termasuk para menteri dan ahli jemaah yang bertindak atau berikhtiar mengadakan sebarang perjanjian dengan kuasa asing atas niat menyerahkan negeri atau hendak mengurangkan kuasa dan hak kerajaan Terengganu, dianggap telah menderhaka kepada raja dan kerajaan serta boleh dihukum sepadan dengan dosanya sebagai mana tertakluk dalam Fasa 14. Keadaan ini secara tidak langsung menyukarkan tindakan kuasa asing seperti British menguasai Terengganu.
Undang-undang ini merupakan dokumen perlembagaan tertinggi secara bertulis yang memperuntukan secara khas kuasa bagi penubuhan dua badan tertinggi di negeri Terengganu iaitu Jemaah Mesyuarat Kerajaan dan Jemaah Menteri. Diperingkat awal pelaksanaannya, Raja atau sultan tertakluk pada peruntukan undang-undang dan hukum syarak sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 3 bagi Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu. Sesuatu keputusan, Sultan hendaklah mengadakan mesyuarat walaupun mempunyai kuasa dalam melantik, memecat atau menjatuhkan hukuman seperti yang kandung dalam Fasal 6,7, 9 dan 10. Garis panduan yang terkandung dalam perlembagaan  ini memperlihatkan bahawa keputusan yang dicapai secara demokratik adalah yang terbaik sama ada keputusan itu diputuskan oleh Sultan atau pembesar yang lain (Nik Haslinda, 2014).
Kunjungan W. Coway pada tahun 1909 sebagai wakil Inggeris yang pertama di  Terengganu, beliau menyaksikan bagaimana tatacara undang-undang Terengganu dijalankan mengikut lunas-lunas Islam. Terdapat dua jenis mahkamah yang ditubuhkan iaitu Mahkamah Syariah dan Mahkamah Balai. Hakim kedua-dua mahkamah ini berkelulusan undang-undang Islam. Mahkamah syariah mengendalikan permasalahan ibadat dan munakahat. Mahkamah Balai pula menyelenggarakan perundangan yang berkaitan dengan jenayah dan muamalat. Sesuatu kesalahan melibatkan hukuman hadd, maka perundangan Islamlah yang akan digunakan. Kes rogol contohnya, memerlukan dua saksi lelaki Islam. Walaupun sabit kesalahan tetapi kerana kurang saksi, maka tuduhan gugur dengan sendirinya (Yusoff Hashim, 1991).

2.2.2     Aspek Keagamaan dan Syariat Islam

Sultan Zainal Abidin III ialah seorang yang sangat warak dan sangat komited kepada pengajaran dan amalan Islam di negerinya. Gabenor Straits Settlement Mitchell menyatakan dalam suratnya bertarikh 14 September 1896 bahawa Sultan Zainal ‘Abidin “…was very studious, reading many Arabic works of science, very strict in religious observance.” (Yusoff Hashim, 1991). Malah menurut Musa Hashim & Adi Yasran (2011), baginda mahir dalam bahasa Arab dan mempunyai beberapa orang guru dari kalangan ulama’ yang tersohor antaranya Wan Muhammad Wan Abdullah iaitu putera seorang ulama terkenal Tok Sheikh Duyung dan juga berguru dengan Engku Syed Keramat dan  mengambil banyak daya usaha untuk melaksanakan hukum Islam di Terengganu. Oleh itu tidak hairanlah Undang-undang Terengganu atas perintah baginda ini banyak di pengaruhi Islam.
            Keutuhan agama Islam menjadi tulang belakang kekukuhan politik pemerintah di Terengganu. Hal demikian diselaraskan dengan kehendak Fasal ke-51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu yang memperuntukan Islam sebagai agama negeri (Yusoff Hashim, 1991). Pengenalan dan pengamalan berbagai-bagai aspek agama seperti syariah, perundangan (jenayah dan awam), muamalat, pewarisan dan hak milik menyebabkan ulama mendapat kedudukan istimewa dalam masyarakat. Keadaan ini diperlihatkan melalui peranan golongan ulama yang berfungsi sebagai penasihat dalam hal ehwal agama, menjadi guru dan juga sahabat kepada raja. Malah, banyak golongan ulama yang dilantik dalam Jemaah Menteri disebabkan pengaruh mereka terhadap sistem pemerintahan di Terengganu. Tambahan pula, pertukaran dan penghayatan akidah Islam dalam kalangan masyarakat Melayu di Terengganu mengundang cemburu pemerhati barat (Clifford 1992). Menurut Wan Hussein Azmi (1985), secara amnya sebelum kedatangan Islam masyarakat Melayu mempercayai khurafat tetapi apabila berlaku perubahan pegangan, mereka memilih Islam sebagai anutan berbanding dengan ajaran-ajaran yang lain. Oleh kerana perubahan pegangan ini berlaku tanpa paksaan, hal ini mengundang cemburu kepada aktivis agama yang lain.

2.2.3     Aspek Sosial

Masyarakat Terengganu sendiri telah menerima asuhan dan tarbiah daripada ulama melalui pengajian di pondok-pondok, madrasah, surau dan masjid. Malah, Sultan yang memiliki kuasa turut memberi sokongan dan kemudahan kepada ulama untuk menjayakan misi dakwah mereka kepada masyarakat awam. Sokongan ini membawa kepada tertubuhnya beberapa buah pondok dan madrasah di Terengganu. Antaranya ialah Pondok Pulau Manis, Pondok Bukit Bayas dan Pondok Pulau Duyung (Ishak Saat, 2005). Selain daripada pondok, surau dan masjid juga menjadi medan penyebaran ilmu. Biasanya, ulama-ulama ini akan hadir ke masjid atau surau berkenaan pada hari-hari tertentu untuk memberi kuliah. Antara surau yang pernah menjadi pusat pengajian seperti ini ialah Surau Sayid Sagar yang terletak di bandar Kuala Terengganu yang menjadi tempat untuk Haji Abdul Rahman Limbong menyampaikan kuliahnya kepada masyarakat awam. Sehubungan dengan itu, kewujudan institusi masjid dan surau dalam sesebuah kampung dapat memperkukuhkan orientasi keislaman. Sistem pengajian yang terbuka dan keikhlasan golongan ulama untuk mengembangkan ajaran dan akidah Islam melalui institusi-institusi tersebut, memberi peluang yang sama rata kepada seluruh lapisan masyarakat awam di Terengganu, untuk mempelajari dan menghayati kesucian ajaran dan akidah Islam. Oleh itu, penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat di Terengganu membangkitkan semangat anti kolonialis (Safri Ali & Fauzi Hamat, 2011).


3.0 Kesimpulan

Pelaksanaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu tahun 1911 memperlihatkan kesungguhan Sultan Zainal Abidin III dalam usaha mengekalkan kedaulatan negeri Terengganu. Selain itu, segala modus operandi ini juga dilakukan atas dasar kesedaran dan pegangan akidah yang tinggi Sultan Zainal Abidin terhadap implikasi jika membiarkan penjajah menguasai sistem politik di Terengganu.
Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu yang dikenali sebagai Perlembagaan Itqan al-muluk Bi Ta’dil al-Suluk meletakkan syariat Islam sebagai keutamaan dalam sistem pemerintahan di Terengganu. Ini dapat diperlihatkan melalui beberapa fasal yang berkaitan tatacara perlantikan sultan, menteri-menteri serta prosedur hukuman bagi pesalah syariah dan juga sivil yang mengikut lunas ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran. Justeru, hasil daripada kebijaksanaan pemerintah pada masa itu memberikan banyak kelebihan dalam sistem pentadbiran negara Malaysia pada hari ini disebabkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu banyak dijadikan panduan oleh pemimpin hari ini ke arah berkerajaan sendiri dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.


4.0 Rujukan

Abdul Rahman Embong. (2012). Terengganu Merentasi Tiga Abad: Kesultanan, Politik, Ekonomi, Agama dan Budaya. Kuala Terengganu: Yayasan Diraja Sultan Mizan.
Anwar Omar Din et. al. (2011). Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008. Kuala Terengganu: Yayasan Diraja Sultan Mizan.
Ganupedia. (4 Januari 2016). Itqan Al-Muluk Bi Taqdil As-Suluk. Daimbil daripada pautan ganupedia.com: http://ganupedia.com/?p=197
Hashim Musa & Adi Yasran. (2011). Undang-undang bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911: Kuasa Raja dan Pengaruh Islam dalam Sebuah Kerajaan Melayu. International Journal of the Malay World and Civilisation Bil. 29 (1), 67-77.
Hugh Clifford. (1992). An Expedition To Terengganu & Kelantan. JMBRAS, Bil. 34 (1), 1-62.
Ishak Saat. (2005). Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Shah Alam: Karisma Publication.
M.C., Sheppard. (1949). A Short History Of Terengganu. In S. A. Bakar, Pengislaman Terengganu dan Tradisi Keintelektualannya (p. 7). Kuala Terengganu: Madrasah al-Sultan Zainal Abidin.
Muhammad Yusoff Hashim. (1991). Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nazri Chik. (2006). Perlembagaan Itqan al-Muluk bi Ta`dil al-Suluk 1911 ditinjau dari aspek latar belakang dan pengaruhnya kepada pelaksanaan undang-undang Islam di Terengganu. Jurnal Maqasid Syariah Bil. 2 - Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 62-72.
Nik Haslinda Nik Hussain. (2014). Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, 1911 Dan Pengekalan Status Melayu Islam Terengganu. Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu Jilid 7 Bil. 1, 41-59.
Safri Ali & Fauzi Mamat. (2011). Penghayatan Akidah di Terengganu . Jurnal Islam dan Masyarakat Kotemporari Jilid 4, 121-136.
Syed M. Naquib al-Attas. (1969). Preliminary Statement on a General Theory of Islamization of the Malay Indonesia Archipelago. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ustaz Storm. (14 Januari 2012). Itqan al-Muluk bita'dil al-Suluk. Diambil daripada pautan uismail.blogspot.my: http://uismail.blogspot.my/2012/01/itqan-al-muluk-bi-tadil-as-suluk.html
Wartawan BO. (4 Januari 2012). 12 Gugur Syahid Mempertahankan Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As-Suluk. Diambil daripada pautan buletinonline.net: http://www.buletinonline.net/v7/index.php/12-gugur-syahid-mempertahankan-itqan-al-muluk-b-tadil-as-suluk/