Monday, December 31, 2012

Hadis Arbain - Niat Adalah Kunci Amal


Assalamualaikum.. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang... Secara mukadimahnya saya ingin menyentuh secara ringkas dalam Hadis 40 susunan Imam Nawawi mengenai NIAT.


Maksud Hadith 

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu. 
               
(HR Bukhari dan Muslim)


Huraian Hadis 

Hadis ini muncul kerana satu sebab. Pada masa itu, para sahabat melaporkan ada orang yang berhijrah dari Mekah ke Madinah untuk berkahwin dengan wanita bernama Ummu Qais. Secara zahirnya, dia pergi berhijrah sama seperti yang dilakukan oleh para sahabat, tetapi niat dan tujuannya berbeza iaitu untuk mengahwini Ummu Qais. Oleh sebab itu, dia digelar 'Muhajir Ummu Qais' iaitu orang yang berhijrah demi Ummu Qais.

Firman Allah,
" Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia, kecuali agar mereka  beribadah kepada-Ku." 
(Surah az-Zariyat ayat 56 )

      Allah menegaskan bahawa tujuan hidup kita di dunia adalah untuk beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah. Tahukah anda, apakah separuh daripada ibadah itu ? Separuh daripada ibadah itu adalah hadis di atas kerana ia menjadi timbangan amalan batin. Sementara separuhnya lagi yang menjadi timbangan amalan lahir adalah hadis yang bermaksud, 
"Siapa yang mengada-adakan perkara yang bukan sebahagian daripada urusan agama kami, maka amalannya tertolak. " 
(HR Bukhari dan Muslim) 

     Apakah yang dimaksudkan dengan niat di sini? Menurut Syeikh as-Sa'di, niat adalah melakukan amalan dengan sengaja dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah serta mencari redha dan pahala daripada-Nya. Rasulullah bersabda, " Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya..." bermaksud amalan-amalan yang berkenaan dengan ketaatan, bukannya amalan-amalan yang bersifat mubah (harus), apatah lagi makruh dan haram.

     Fungsi niat adalah bagi membezakan antara kebiasaan dan ibadah. Contohnya, apabila kita duduk di dalam masjid, boleh diniatkan untuk sekadar beristirahat. Walaupun ia satu kebiasaan, namun ia boleh menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat beriktikaf. Jadi, pokok yang membezakan antara ibadah dan kebiasaan serta mendapat pahala atau tidak adalah niat. 

      Kata-kata Rasulullah yang berbunyi, ''...dan setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan..." bermaksud, setiap perbuatan disesuaikan dengan niat pelakunya sama ada mengenai sah atau rosaknya mahupun kesempurnaan atau kekurangannya. Orang yang melakukan ketaatan dengan separuh hati, pahala yang akan diperolehinya pun akan berkurang. Sebaiknya, orang yang beribadah dengan sepenuh hati, dia pun akan memperolehi pahala yang sempurna.

    Kesimpulannya, kita hendaklah selalu menghadirkan niat yang ikhlas dalam setiap aktiviti kita serta menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan keikhlasan kita. Contohnya perbuatan yang menunjuk-nunjuk, menginginkan pujian dan mengharapkan sanjungan daripada orang lain.

   Niat yang baik akan membuahkan hasil yang baik. Dalam kitab sahih Bukhari disebutkan,


" Siapa meminjam harta orang lain dengan niat akan membayarnya semula, maka Allah akan membantu menyelesaikannya. Sebaliknya, sesiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin menghanguskannya, Allah akan mengazabnya di akhirat kelak."

     Perhatikanlah keajaiban niat dalam hadis di atas. Niat yang baik menjadi penyebab seseorang itu memperoleh rezeki untuk membayar hutangnya. Sebaliknya, niat yang tidak elok menjadi penyebab kehancuran dan kebinasaan. Ia seperti Law of Attraction iaitu 'hukum tarik-menarik.' Niat yang baik dibalas dengan kebaikan dan niat yang buruk akan mendapat balasan keburukan.
Wallahu'alam...


Sumber foto: Peter Sanders
Sumber artikel: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi oleh Fahrur Muis
 

No comments:

Post a Comment