Thursday, March 28, 2013

Asal Usul Nama Malaysia dan Konsep Penubuhan Malaysia



1.0  Asal Usul Nama Malaysia dan Konsep Penubuhan Malaysia

 1.1 Asal Usul Nama Malaysia
“Malaysia”, menurut beberapa orang pengembara Barat dan ahli antropologi, merujuk suatu wilayah budaya yang kira-kira sama dengan apa yang dikenali oleh orang Melayu pada tahun 1920-an sebagai “Alam Melayu” di Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu, kepulauan Indonesia dan kepulauan Filipina hari ini. A.L. Kroeber, dalam bukunya, Anthropology, yang diterbitkan pada tahun 1923 menggunakan istilah “Malaysia” untuk merujuk Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Asia Tenggara yang para penghuni ibundanya mempunyai ciri-ciri utama fizikal dan budaya Malayo-Polinesia  yang membentuk watak rantau itu.

            Sewaktu membantah nama “Malaya” yang dikemukakan Perikatan kepada Suruhanjaya Reid pada tahun 1956, Dato’ Onn Jaafar berhujah bahawa nama “Malaysia” lebih sesuai kerana ada kemungkinan Semenanjung Tanah Melayu akan digabungkan dengan wilayah-wilayah jajahan British yang lain di Asia Tenggara pada masa depan.[1]

        1.2 Konsep Penubuhan Malaysia

Pada tahun 1887, Lord Brassey iaitu Pengarah Syarikat Borneo Utara British yang pernah mengemukakan pandangan  kepada pihak British supaya mencantumkan Tanah Melayu  untuk membentuk sebuah tanah jajahan yang besar. Pada tahun 1950-an, cadangan yang sama  disuarakan oleh Malcolm MacDonald, iaitu Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara selepas Perang Dunia Kedua. Beliau merupakan orang yang pertama memegang jawatan tersebut yang menunjukkan sikap bersungguh-sungguh bagi merealisasikan idea Malaysia.[2]

Selain itu, idea ini juga dikemukakan oleh golongan bawah atau kiri terutamanya Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Dalam Kongres PKMM di Ipoh, Perak pada 30 November 1945 satu resolusi telah dicapai iaitu “ Malaya adalah sebahagian daripada Indonesia Raya dan Merah Putih (Sang Saka Putih bendera Indonesia) adalah bendera PKMM” (Ramlah Adam. 1994). Walau bagaimanapun  mereka merupakan golongan kiri maka idea ini tidak dilaksanakan.[3]


 2.0 Faktor-faktor Pembentukan Malaysia

 2.1 Keselamatan

Ekoran perkembangan politik di Singapura yang begitu meruncingkan, pada tahun 1948 Singapura makin dikuasai oleh komunis dan pemimpin yang berfahaman radikal. Golongan ini masih dapat dikawal oleh kerajaan British. Perlembagaan peralihan akan tamat pada tahun 1963 dan dijangka Singapura akan menuntut kemerdekaan penuh dan kuasa mengendalikan kerajaan sendiri daripada British. Pada masa ini, Singapura diperintah oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew. Pada tahun, 1960 berlaku perpecahan dalaman dalam PAP. Golongan Kanan dalam PAP yang dipimpin oleh Ong Eng Guan (Menteri Pembangunan) telah mengkritik kepimpinan Lee Kuan Yew yang didakwa menyeleweng daripada perjuangan asal PAP. Akibatnya, Ong Eng Guan telah dipecat sebagai ahli PAP, Ong telah meletak jawatan sebagai wakil rakyat. Ong telah menubuhkan parti pemerintahan iaitu United Peoples Party (UPP) yang memperjuangkan pemerintahan penuh dan kemerdekaan segera bagi Singapura. Kemenangan Ong dalam pilihan raya dan penubuhan (UPP) telah menggugat kedudukan Lee Kuan Yew sebagai perdana menteri. Kebangkitan pengaruh Barisan Sosialis akan melemahkan PETIR pada masa akan datang kerana banyak pengaruh komunis. Hanya dengan percantuman Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu sahaja kedudukan Lee Kuan Yew dapat diselamatkan. Selain itu, Tunku Abdul Rahman bimbang pengaruh komunis akan merebak ke seluruh Persekutuan Tanah Melayu. [4]

2.2 Ancaman Komunis

           Lee Kuan Yew menggunakan alasan pengaruh komunis di Singapura untuk mendesak British menggabungkan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu. Beliau berkeyakinan bahawa Persekutuan Tanah Melayu mempunyai pengalaman dalam membanteras pengaruh Parti Komunis Malaya pada Zaman Darurat (1948-1960). Selain itu, Clandestine Communist Organization (CCO) berjuang untuk menjadikan Sarawak sebagai negara komunis. Ancaman komunis ini menyebabkan Tunku Abdul Rahman mengemukakan cadangan pembentukan Malaysia dengan menggabungkan Singapura, Sarawak, Brunei, dengan Persekutuan Tanah Melayu.[5]

2.3 Kemerdekaan

             Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura masih belum mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British. Negeri-negeri jajahan British ini masih belum mampu berkerajaan sendiri. Penyertaan mereka dalam Malaysia akan menjamin kemerdekaan yang lebih awal kerana Malaysia  dijangka akan dibentuk dalam tempoh dua tahun. Negeri-negeri tersebut juga dapat menikmati pembangunan politik, ekonomi dan sosial selaras dengan Persekutuan Tanah Melayu. [6] Kerajaan British telah mencadangkan pemerintahan sendiri bagi wilayah-wilayah Borneo atau bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku sebaliknya berpendapat bahawa pelaksanaan dasar ini terlalu memakan masa yang panjang dan kemungkinan memberi peluang kepada komunis untuk menjalankan kegiatan mereka. Mereka akan diberi hak dan taraf yang sama dengan yang dimiliki oleh negeri-negeri anggota Persekutuan Tanah Melayu. Tambahan pula, sekiranya Sarawak dan Borneo Utara cuba mencapai kemerdekaan secara sendirian, besar kemungkinan kemerdekaan sukar dicapai. [7]
2.4 Dekolonialisasi British

            Pembentukan Malaysia adalah selaras dengan hasrat dasar dekolonialisasi British terhadap negara-negara kecil yang belum membangun. Pada tahun 1960, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menimbulkan usul agar tanah-tanah jajahan diberi kemerdekaan. [8] Kemasukan wilayah-wilayah Borneo ke dalam gagasan Malaysia merupakan jawapan terbaik untuk melenyapkan kesan-kesan penjajahan British di Asia Tenggara. Britain juga telah tergugat dengan usul Bangsa-bangsa Bersatu yang menyeru penamatan penjajahan seluruh dunia. Dengan tertubuhnya Malaysia, mereka akan mendapat layanan yang istimewa sebagaimana yang telah dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. [9]
2.5 Kestabilan Politik

            Pembentukan Malaysia diharap dapat menjamin kestabilan politik di rantau Asia Tenggara. British berharap pembentukan Malaysia dapat mengahalang  penyebaran pengaruh komunis di Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. British perlu mewujudkan kestabilan politik serantau untuk memastikan kepentingan mereka terus terkawal terutama pengkalannya di Singapura.[10] Dalam konteks penghapusan saki baki penjajahan British, dengan kemerdekaan Singapura kemungkinan akan menghalang Britain daripada mengekalkan pengkalannya di situ. Ini disebabkan oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh Duncan Sandys, Menteri Pertahanan British pada bulan April 1959:[11]
‘ Tiada keraguan tentang pengekalan pangkalan British di Singapura. Ia adalah paksi bagi kedudukan tentera kami di Timur Jauh dan kami tidak pernah terfikir untuk menukarkannya.’[12]

2.6 Ekonomi

            Perkembangan ekonomi tidak seimbang dalam negeri-negeri Sarawak, Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu. Ekonomi Sabah dan Sarawak masih mundur berbanding dengan negeri-negeri lain. Pembentukan Malaysia akan mewujudkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan akan menguntungkan negeri-negeri yang mundur. Penubuhan Malaysia akan mewujudkan pasaran yang lebih luas yang akan menggalakkan lagi pelaburan dan memanfaatkan sumber yang sedia ada, misalnya Tanah Melayu kaya dengan bijih timah dan getah, Sarawak dan Sabah kaya dengan sumber balak dan Brunei kaya dengan sumber minyak.[13]

2.7 Keseimbangan Kaum

            Penggabungan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura akan menimbulkan masalah ketidakseimbangan kaum di negara kita. Singapura mempunyai bilangan orang Cina yang lebih ramai. Sabah, Sarawak dan Brunei mempunyai bilangan bumiputera yang lebih ramai. Penyertaan negeri-negeri tersebut dalam Malaysia dapat mengimbangi kaum di kalangan negara anggota.[14] Menurut Tunku  Abdul Rahman, orang Cina merupakan satu bangsa yang materialistik dan berfikiran praktikal. Mereka tidak suka dengan politik tempatan tetapi lebih suka tinggal ditempat yang aman damai agar mereka dapat menjalankan perniagaan dan keuntungan. Orang Melayu dari segi ekonomi, mereka tidak dapat bertanding dengan orang cina yang gigih menjalankan perniagaan untuk rezeki hidup. Penggabungan Borneo dan Sarawak akan mengurangkan perasaan tidak puas hati orang Melayu terhadap orang cina. Dalam pilihan raya kecil Municipal 1963, Perikatan Sabah dan Perikatan Sarawak telah menang dan ini memberi mereka mandat untuk merundingkan syarat-syarat kemasukan ke dalam Persekutuan Malaysia.[15]

3.0 Proses Pembentukan Malaysia

3.1 Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia

           Pada 23 Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel cawangan Persekutuan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Mesyuarat tersebut telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Malaysia (JPPM) yang dipengerusikan oleh Donald Stephen. JPPM bertujuan untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei.

            Jawatankuasa ini telah bersetuju mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold. Antara lain, jawatankuasa ini bersetuju Perlembagaan Tanah Melayu 1957 dijadikan asas kepada Perlembagaan Malaysia. Jawatankuasa ini berpendapat bahawa perkara yang dianggap penting perlu dinyatakan dengan tegas kepada Suruhanjaya Cobbold supaya masa depan wilayah-wilayah Borneo terjamin.

3.2 Suruhanjaya Cobbold

            Suruhanjaya ini ditubuhkan bertujuan meninjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Suruhanjaya ini dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dua orang ahli dari kerajaan British iaitu Anthony Abell dan David Watherson. Dua dari kerajaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu Ghazali Shafie dan Wong Pow Nie. Mereka telah berjumpa dengan 4000 orang dan menerima 2200 memorandum dan surat yang dikemukakan oleh pelbagai persatuan. [16]

            Pada 1 Ogos 1962, mereka membuat satu pengumuman bahawa kedua-dua kerajaan sebulat suara menerima hampir semua cadangan yang dibuat oleh suruhanjaya itu.

3.3 Jawatankuasa Antara Kerajaan

             Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan untuk menyelerengarakan perkara berkenaan gagasan Malaysia sebelum bulan Disember 1962. Peranan yang dimainkan oleh JAK telah menyakinkan wilayah-wilayah Borneo bahawa mereka tidak akan dijajah dalam persekutuan yang baru itu. JAK telah menerima sebahagian besar syarat dan jaminan yang diminta oleh negeri-negeri Borneo sehingga beberapa peruntukan menunjukkan keadaan khas negeri-negeri Borneo telah dijamin dalam perlembagaan Malaysia.

3.4 Pungutan Suara Singapura

            Tentangan hebat pihak komunis dan Parti Barisan Sosialis telah memaksa kerajaan Singapura mengadakan pungutan suara untuk  membuktikan sokongan rakyat. Golongan pembangkang telah menjalankan kempen menyatakan bahawa rancangan Malaysia merupakan rancangan penjajahan era baru (neo-colonialist) dan rakyat Singapura akan menjadi rakyat kelas kedua dalam Malaysia nanti. Kerajaan Singapura telah menetapkan tiga pilihan yang akan ditentukan oleh rakyat iaitu, Pilihan ‘A’ penyatuan mengikut syarat kertas putih. Kedua, Pilihan ‘B’ atau penyatuan sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu yang membawa kepada penguatkuasaan di Singapura mengenai dasar-dasar buruh dan pelajaran Persekutuan yang sedia ada di Singapura. Pilihan ‘C’ percantuman dengan syarat yang tidak kurang daripada yang diberikan kepada wilayah-wilayah Borneo. Akhirnya, apabila pungutan suara dijalankan pada 1 September 1962 71 peratus menyokong gagasan Malaysia.

3.5 Tuntutan Filipina ke atas Sabah

             Semenjak awal tahun 1962 beberapa orang perseorang termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan Filipina telah menyuarakan hasrat supaya kerajaan Filipina menuntut hak ke atas Sabah sebagai waris Sultan Sulu. Apabila ada sokongan terhadap usaha untuk menyatukan negeri-negeri Borneo dengan Persekutuan Tanah Melayu  dan Singapura, hal ini membimbangkan Filipina. Sekiranya kerajaan Filipina ingin menuntut Sabah, mereka perlu mengambil tindakan sebelum Sabah memasuki Malaysia. Menurut tuntutan mereka, asal pemindahan wilayah Borneo Utara daripada Kesultanan Sulu pada tahun 1778 adalah dalam bentuk pajak dan bukan jualan. Ini dapat dibuktikan dengan adanya pembayaran tetap tahunan oleh Syarikat Borneo Utara kepada Sultan Sulu dan waris-warisnya sebanyak $5000 setahun sebagai bayaran pajakan dan bukannya bayaran ganti rugi penyerahan. Pihak British pula berkeras mengatakan penyerahan itu sebagai penyerahan hak dan kedaulatan kerana dalam penyerahan itu dinyatakan:

……….all the territories and lands on the mainland of the island of Borneo commencing from the Pandassan River on the Nort-west coast and extending along the whole coast as far as the Sibuco River…..declared vested on the said Baron de Overbeck and Alfred Dent co-jointly their, associates, successors, or assigns for as long as they choose or desire to hold them.’

            Walaubagaimanapun, rundingan yang diadakan di london dari 28 Januari hingga 1 Februari 1963 gagal kerana British enggan mengakui kedaulatan Filipina ke atas Sabah. Oleh itu Filipina telah menuduh rancangan Malaysia sebagai usaha British untuk menjalankan penjajahan dalam bentuk baru.[17]

3.6 Pemberontakan di Brunei

            Parti Rakyat Brunei telah menentang sekeras-kerasnya kemasukan negeri tersebut ke dalam Malaysia. Sheikh A.M. Azahari, ketua Parti Rakyat Brunei berkehendakkan supaya satu gagasan politik yang dikenali sebagai Kerajaan Borneo Utara ditubuhkan bagi menggantikan cadangan Tunku Abdul Rahman. Parti tersebut seterusnya cuba membawa usul tersebut ke Majlis Mesyuarat Undangan Negeri Brunei bagi menentang usul Malaysia. Apabila usul tersebut ditangguh-tangguhkan, A.M. Azahari telah melancarkan satu pemberontakan di Brunei. Walaupun pemberontakan tersebut dapat dipatahkan oleh Kerajaan British, tetapi PTM berpendapat bahawa kemasukan Brunei selanjutnya mungkin boleh menimbulkan pelbagai masalah politik. Akhirnya isu kemasukan Brunei ke Malaysia dibatalkan.[18]

3.7 Konfrontasi Malaysia

            Pemberontakan yang telah dilakukan oleh Parti Rakyat Brunei mendapat sokongan Kerajaan Indonesia yang dipimpin oleh Presiden Sukarno. Parti Komunis Indonesia merupakan satu punca di Indonesia yang membuat kecaman dari semasa ke semasa terhadap rancangan Malaysia. Sambutan pihak Indonesia tentang pemberontakan Parti Rakyat Brunei itu merupakan lanjutan kepada kecaman Indonesia terhadap gagasan Malaysia. Pada 20 Januari 1963, Menteri Luar Indonesia Dr. Subandrio telah mengumumkan dasar konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia baik dari segi ekonomi, mahupun kemasyarakatan.  Tentangan daripada Indonesia ini akhirnya meluas hinggalah timbul pertentangan tentera di antara Indonesia dengan Persekutuan Tanah Melayu dan juga wilayah-wilayah British di Borneo dan Singapura.

3.8 Gagasan Maphilindo dan Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu

            Usaha-usaha dijalankan untuk mencari jalan keluar daripada persengketaan yang wujud antara Indonesia dan Filipina di satu pihak dan Persekutuan Tanah Melayu serta wilayah-wilayah yang hendak menubuhkan Malaysia di satu pihak yang lain. Persidangan Kemuncak diadakan di Manila dari 30 Julai hingga 5 Ogos 1963, antara Presiden Soekarno, Presiden Macapagal dan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. Dalam persidangan ini, ketiga-tiga ketua kerajaan bersetuju menerima dan mengesahkan Persetujuan Manila yang telah dicapai oleh Menteri-menteri mereka. Mereka juga telah bersetuju menguatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik serta mengambil langkah-langkah perlu untuk menubuhkan satu ikatan bagi ketiga-tiga negara itu yang akan dikenali sebagai ‘MAPHILINDO’. Menurut Persetujuan Manila yang telah diisytiharkan pada 5 Ogos dahulu, kerajaan Indonesia dan Filipina akan mengakui penubuhan Malaysia jika kemahuan rakyat Borneo itu disahkan oleh Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu.

            Oleh kerana banyak salah faham timbul akibat berlainan pendapat tentang peranan Bangsa-bangsa Bersatu, makan apabila Bangsa-bangsa Bersatu, maka apabila Bangsa-bangsa Bersatu mengumumkan bahawa sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia, kerajaan Indonesia dan Filipina tidak mahu menerima keputusan tersebut. Dengan itu kerajaan Indonesia meneruskan lagi polisi ‘konfrontasi’ dan ‘mengganyang Malaysia’.[19]

3.9 Perisytiharan Penubuhan Malaysia

             Rundingan terakhir antara negeri-negeri yang akan memasuki  Malaysia telah diadakan di London pada tahun 1963. Apabila semua pihak bersetuju dengan syarat-syarat percantuman itu, Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 8 Julai 1983, di Marlborough House, London, antara Great Britain, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Perjanjian ini membenarkan peralihan kedaulatan Britain ke atas Sabah, Sarawak dan Singapura pada Ogos 1963.  Kerajaan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Persekutuan Malaysia telah lahir dengan satu ‘pemasyhuran rasmi’ di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.



[1] Andaya, B & Andaya, L., 2001. A History Of Malaysia (2nd ed.), Honolulu: University of Hawaii Press, hlm. 13.
[2] Fuziah Shaffie & Ruslan Zainuddin, 2001. Sejarah Malaysia, Selangor: Penerbit Fajar Bakti, hlm. 444.
[3] Ismail Said, 2012. Sejarah Malaysia Moden, Selangor: Penerbitan Multimedia, hlm. 92.
[4] Mahdi Shuid, Suzani Osman & Sazlina Othman, 2005. Sejarah Malaysia, Selangor: Pearson Malaysia, hlm. 241.
[5] K. Ratnam, 2006. Sejarah Kertas 940/2 – Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, Selangor: Pustaka Sarjana, hlm. 224.
[6] Ibid. K. Ratnam, 2006. hlm. 224.
[7] Op. cit. Fuziah Shaffie & Ruslan Zainuddin, 2001. hlm. 450.
[8] Op. cit. hlm. 224.
[9] Op. cit. hlm. 450.
[10] Op. cit. hlm. 224.
[11] Op. cit. hlm. 450.
[12] Simandjuntak, 1985. Federalisme Tanah Melayu 1945-63, Petaling Jaya: Fajar Bakti, hlm. 143.
[13] Op. cit. hlm. 224.
[14] Ibid. hlm. 224.
[15] Op. cit. hlm. 452.
[16] Antara perkara-perkara yang dipersetujui sebulat suara oleh ahli-ahli suruhanjaya ialah:
1.       Perlembagaan Malaysia yang hendak ditubuhkan hendaklah diasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
2.       Malaysia adalah nama yang paling sesuai bai negara yang hendak ditubuhkan itu.
3.       Ada persetujuan dalam soal penghijrahan baik dari luar negeri ataupun dari Semenanjung Malaysia dan Singapura di mana Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak ada kuasa untuk menentukan kemasukan orang luar.
4.       Perkara berkenaan soal agama ditentukan oleh Majlis Undangan Sabah dan Sarawak.
5.       Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris dan Melayu dalam hal tertentu dan bahasa kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak dijadikan bahasa rasmi.
[17] Ibid. hlm. 456.
[18] Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 1994.  Malaysia Kita, Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Berhad, hlm. 517.
[19] Op. cit. hlm. 458.

No comments:

Post a Comment