Thursday, April 11, 2013

Negara Berkebajikan Dituntut Dalam al-Quran


Tajuk ini memerlukan ulasan yang panjang. Pertama, apakah itu persepsi. Kita perlu faham, ada perbezaan di antara Negara Berkebajikan yang diamalkan ahli politik barat dengan ajaran Islam. Tidak sama dengan apa yang diamalkan di Britain serta negara-negara sekular yang lain.

        Tanpa dinafikan banyak aspek yang telah dilaksanakan di negara Barat seperti memberikan pendidikan, perubatan percuma serta sumbangan subsidi yang diberikan daripada bayi baru lahir dan seumpamanya. Tapi, itu hanya sebahagian dan tidak meluruh.

        Ini kerana makna berkebajikan dalam Islam telah dinyatakan dalam ayat-ayat al-Quran memberi makna lebih luas. Seperti perkataan al kahir dan seperti ayat dalam surah al-Imraan yang bermaksud “dan hendaklah ada di kalangan kamu (kumpulan) yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, mereka itulah yang mendapat kejayaan.”

        Yang bermaksud, bukan sahaja 'religion' yang difahami Barat. Islam adalah Ad-din yang terkandung di dalamnya cara hidup melibatkan politik, ekonomi dan hal-hal lain. Kemuncak daripada 'amal maaruf nahi mungkar' itu ialah memerlukan kumpulan yang memerintah negara. Yang berdaulat, boleh melaksanakan ciri-ciri yang dituntut Islam.

        Seterusnya, prinsip kebajikan itu sendiri. Bukan sahaja kerja, malah orang (pemimpin) dan matlamat juga perlu kebajikan. Ini disebut dalam surah al Baqaarah yang bermaksud; “Bukanlah kebajikan itu, kalau menghalakan ke timur dan barat. Tetapi kebajikan itu ialah sesiapa yang beriman, percaya kepada ALLAH, para malaikat, para nabi dan hari akhirat. Mereka yang menunaikan tanggungjawab harta benda, menyumbangkan harta itu kepada keluarga yang hampir, kepada orang miskin, anak yatim, orang yang memerlukan bantuan ketika musafir, kepada hamba yang dimerdekakan. Dan orang-orang yang mendirikan sembahyang (ada hubungan dengan tuhan), menunaikan zakat, melaksanakan ekonomi yang adil, yang menunaikan janji terhadap semua pihak termasuk bukan Islam, yang melakukan perjuangan dengan sabar menghadapi cabaran dan ujian, mereka itu adalah orang yang sabar.”

        Bermakna orang kebajikan itu berlandaskan iman dan kepercayaan kepada ALLAH. Kepercayaan kepada perhitungan dosa dan pahala. Kepercayaan dalam hubungan dengan manusia dan masyarakat. Itu dari segi taarif kebajikan yang perlu difahami.

       Kedua ialah objektif. Konsepnya nyata. Dalam negara kebajikan itu, dinyatakan dalam al-Quran. Firman ALLAH yang bermaksud “Orang-orang yang kami berikan kuasa memerintah negeri, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mereka menyuruh kepada yang baik, mereka mencegah kemungkaran, dan pada ALLAH sahaja balasan segala urusan-urusan itu.”

       Ini menunjukkan bahawa objektif dan konsep daripada negara berkebajikan itu. Pertama pemimpin yang beriman dan budiman.

        Kebajikan bukan sahaja amalnya, pemimpinnya. Yang mendirikan sembahyang, yang ada hubungan dengan tuhan, yang tahu perhitungan dosa dan pahala. Dengan makna, tidak ada pemisahan di antara politik daripada agama di dalam Islam.

        Islam meletakkan politik sebahagian daripada agama. Mereka yang memerintah negara akan disoal pada hari kiamat. Bukan sahaja kerana sembahyangnya termasuk urusan negaranya.

         Pemimpin akan ditanya tentang rakyatnya. Pemimpin mesti ada hubungan dengan Tuhan. Tidak berlaku negara kebajikan yang dikehendaki mengikut taarif sekular Barat iaitu agama terpisah daripada politik. Dengan masuk politik kita mesti buat apa sahaja. Boleh tipu rakyat, mereka-reka. Duit banyak pergi Umrah. Selesai masalah. Ini boleh hilang dosa. Ini tidak. Menunjukkan amal dalam politik daripada peribadi dan akhlak seseorang.

         Kedua, mesti berhubung baik dengan rakyat. Berlaku adil. Pemimpin itu adil. “Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya kamu menunaikan amanah kepada orang yang ahli dapat menunaikannya dan apabila kamu melaksanakan hukum, menjatuhkan hukum di kalangan manusia semuanya hendaklah berlaku adil.”

         Dengan makna, pemimpin itu adil. Syarat nak jadi pemimpin dalam Islam, disebut dalam kitab-kitab fekah, disebut hakim dan seumpamanya, bukan sahaja beriman, termasuklah dia mesti adil.

          Adil bermakna tidak mengerjakan dosa besar dan bukan ahli maksiat. Mesti berilmu. Dengan disebut dalam kitab fekah. Seseorang yang berilmu, dan masalah semasa mesti tahu. Tahu hukum sembahyang sahaja, hukum semasa tak tahu atau hanya tahu hukum amalan kerana membaca kitab fekah zaman dulu (tak ada bank), maka dikatakan tidak ada bank dalam Islam. Mesti tahu masalah semasa, bagaimana hukum Islam dan menterjemahkan Islam itu dengan masalah semasa. Kalau tidak dia tak boleh melaksanakan hukum Islam dengan betul.

         Hubungan dengan rakyat mesti berlaku adil tanpa mengira siapa dia rakyat itu sama ada Islam atau bukan Islam.

         Adil mengikut ajaran Islam, sifat yang wajib bagi ALLAH. ALLAH adil kepada semua termasuk perompak, penyamun. Penyangak pun ALLAH bagi rezeki. ALLAH tidak cabut nyawa serta-merta, rezeki tetap ada, kesalahannya akan dibicara pada hari akhirat.

         Mesti adil kepada rakyat sama ada yang menyokong dan yang tidak sokong, kena adil. Di atas konsep inilah, Nabi Muhammad SAW mengajar supaya pemimpin tidak boleh berlagak menjadi tuhan. Termasuk Nabi sendiri mengatakan, kalau baginda buat salah sila beritahu kesalahan baginda, padahal baginda seorang Rasul. Kerana itulah sewaktu Abu Bakar as dilantik sebagai ketua negara dalam pemerintahan Islam yang pertama selepas wafatnya baginda. Pemilihan itu berjalan secara demokrasi. pilihan raya oleh wakil-wakil daripada pemimpin masyarakat pada ketika itu.

         Sebaik sahaja dipilih menjadi ketua, antara ucapannya; “Wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, pada hal saya bukan yang terbaik. Ada lagi orang baik, tapi saya dipilih. Oleh itu sekiranya saya berlaku adil, baik, tolong saya. Jika saya berlaku jahat, zalim, salah laku, betulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. Dedahkan kelemahan saya, dedahkan kesalahan saya. Supaya saya tahu. Jangan mengampu saya, tak ada salah langsung, ini bohong, boleh merosakkan pemimpin. Orang yang lemah adalah orang yang kuat di sisi saya. Saya bertindak ke atas dia kalau dia zalim. Orang yang lemah adalah kuat, saya bela dia. Taat kepada saya selagi saya mentaati kepada ALLAH dan Rasul. Kalau saya tidak taat, jangan taat kepada saya. Kalau saya seorang yang zalim, jahat, nasihatlah saya. Kalau degil pecatlah saya.”

          Inilah yang mempengaruhi demokrasi moden yang ada pada hari ini melalui pengajian-pengajian Barat. Sebelum ini orang Barat tak tahu nak diplomasikan demokrasi mereka. Ini menunjukkan Islam berbeza dengan triokasi. Triokrasi meletakkan pemimpin negara daripada pihak tuan., boleh buat apa sahaja. Ini tidak ada dalam Islam. Pemimpin, ulama dan orang agama tidak ada kuasa mutlak dalam Islam. Triokrasi bercanggah dengan Islam.

         Demokrasi adalah paling dekat dengan Islam. Ini merupakan ruang untuk kebajikan pemimpin dan boleh melakukan muhasabah terhadap kebajikan rakyat. Daripada sudut ekonomi, konsep zakat. Dalam hukum Islam, ada qhias. Islam tetap mengikuti perkembangan semasa. Konsep zakat, diambil daripada mereka-mereka yang berada dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

         Sama ada keperluan negara atau keperluan rakyat. Ini menunjukkan bahawa, percukaian rakyat dalam negara kebajikan ini tidak dikenakan kepada orang miskin. Miskin tegar tak ada cukai. Cukai hanya pada yang kaya sahaja. Ini konsep negara berkebajikan yang diamalkan oleh Islam.

         Di sinilah, Pakatan Rakyat menghapuskan tol lebuhraya. Menghapuskan cukai. Ini melibatkan orang miskin dan orang kaya. Tidakkah ini mengurangkan hasil pendapatan negara? Tidak. Tidak.

         Jawabnya, apabila hasil negara tidak bocor, ia boleh menampung. Contohnya, apabila kami perintah Terengganu. Kami hapuskan tol, cukai pintu rumah kediaman (ini hak rakyat). Rumah komersial ada cukai.

          Hapuskan cukai-cukai bakul si miskin, nelayan dan perahu kecil. Kita kehilangan RM20 juta. Walaupun kerajaan pusat menafikan royalti kita punya. Namun kita boleh tampung. Naik cukai balak, industri dan cukai tanah kegunaan industri. Tidak jadi masalah kepada mereka kerana kata mereka bayar rasuah lebih banyak daripada itu (cukai).

          Bagaimana mana nak agihkan kekayaan itu. Bagi ALLAH, Rasul. Bagi kerajaan untuk pengurusan dan pentadbiran. Bagi anak yatim, miskin, bagi mereka yang memerlukan pertolongan supaya kekayaan negara tidak berpusing di kalangan orang kaya tertentu sahaja.

          Al-Quran menceritakan kisah Firaun yang merupakan ketua negara. Menterinya Hamman. Qarul adalah korporat. Kekayaan negara berpusing di kalangan orang korporat sahaja. Orang korporat boleh cari lain, tak boleh ambil hasil negara. Tak boleh. Hasil negara diagihkan kepada rakyat dan keperluan negara supaya kekayaan tidak berpusing di kalangan orang tertentu sahaja.

          Konsep ini diamalkan. Kebajikan ini melibatkan perkara yang ‘riayal’ iaitu hukum-hukum hidup. Masalah pendidikan dan rawatan percuma. Apa lagi masalah penting bagi rakyat yang boleh diberi percuma.

          Ini adalah yang asasi, melibatkan orang miskin. Seperti di Selangor buat, berapa meter padu air dikecualikan. Yang lebih, orang kaya boleh bayar. Ini konsep yang kita nak tunjuk berkebajikan terhadap rakyat. Tambah (hasil) boleh cari dari lain. Banyak lagi sumber asli dan percukaian.

          Pendidikan percuma. Ibnu Khaldun pernah menyebut dalam mukadimahnya. Pendidikan melahirkan ilmuwan, orang berakhlak sama ada kemahiran. Banyak kemahiran, akhlak yang mulia menambah hasil negara. Tambah hasil negara dengan ilmu yang banyak, kemahiran dan akhlak yang mulia boleh menampung pengecualian yang saya sebut tadi. Ini kaedah yang perlu difahami.

         Ibnu Sabir ialah bahagian yang membantu orang yang tidak ada pendapatan dalam perjalanan. Zakat dijadikan musafir khanaf. Ia percuma untuk orang miskin. Kerajaan abasyih menyediakan hotel pertama di Mesir. Apabila ramai musafir singgah, ada pasara, kemudian jadi kampung kemudian bandar. Adalah perkembangan. Pengurusan dalam konsep ini bukan hanya jumud. Sabda nabi bermaksud “kebijaksanaan adalah barang yang tercicir kepunyaan orang beriman.”

          Tidak kira di mana, ia akan pungut sama ada China, India atau Rom. Hinggalah zaman Umar al-Khattab, sistem gaji yang diambil dari Parsi, Rom. Yang baik kita terima, yang tidak baik walaupun diari Arab, kita tidak terima dan tolak. Wawasan akhirat. Wawasan kita ada balasan di hari akhirat bukan atas dunia sahaja. Ini kekuatan spiritual kepada semua.

           Realiti: Islam yang dibawa Nabi Muhammad iaitu al-Quran adalah kitab yang mukjizat. Di akhir zaman baginda sudah tahu, wujud perkembangan ilmu. Bukan macam zaman dulu, hubungan yang payah, sehingga dunia yang dianggap luar sekarang ini, mempunyai kemudahan teknologi canggih dan manusia dapat berhubung cepat,. Al_quran menyatakan manusia menghadapi fikrah realiti.

           Firman ALLAH bermaksud, “sesungguhnya kami mencipta lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya berkenalan antara satu sama lain.” Sesuatu keperluan ini perlu ada pertalian, industri, perniagaan. Perlu kepada perniagaan.

           ALLAH jadikan manusia hidup di kawasan perindustrian, petroleum, pertanian dan macam-macam lagi. Islam menerima hal ini membawa konsep dalam beragama. Tak ada paksaan dalam konsep berbeza. Kita bersatu dalam perkara yang sama. Kalau tak sama, boleh diraikan. Kalau tak ada, itu sudah melampau.

           Di sinilah Nabi Muhammad menerima kerjasama daripada orang bukan Islam di Mekah. Abu Talib Mutain b Adi yang nak berhijrah dari Mekah ke Madinah yang nak gunakan khidmat orang Musyrikin (tak Islam lagi). Walaupun ada musyrikin yang tidak setuju. Bila sampai di Madinah, diajak kerjasama.

           Al-quran menyatakan tidak boleh kerjasama dengan orang bukan Islam. Dalam surah al-Imran bermaksud; “tidak harus umat Islam bekerjasama dengan orang bukan Islam sekiranya hilang jati diri, akhlak, keperibadian, tidak diizinkan oleh syarak.”

           Hilang jati diri, hilang kewibawaan, tidak yakin. Tetapi dalam surah Muntahanah; “ Kamu mengadakan hubungan dengan bukan Islam yang tidak memerangi kamu, tidak menghalau kamu dari tanah air kamu, berlaku adil.” Dari sini Islam dan bukan Islam boleh bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

           Inilah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Berbeza ideologi dan pendapat, tetapi kita berpegang pada konsep perlembagaan yang sudah tiada melalui resolusi iaitu Islam sebagai agama persekutuan, dalam masa sama, hak-hak agama lain perlu diberi sama adil.

           Kedua, hak istimewa orang Melayu perlu dipertahan. Dalam masa sama hak kepada kaum lain juga. Ketiga Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dalam masa sama hak bahasa ibunda. Keempat, Raja Berperlembagaan. Mengapa boleh bekerjasama? Berasaskan hubungan kemanusiaan yang ada sama. Islam agama Persekutuan. Semua Malaysia menerima hakikat. Dalam masa sama tak boleh paksa bagi orang bukan Islam. Kalau paksa tak ikhlas. Kerana itu, kita tunjuk model Islam. Baik dan ikhlasnya Islam.

          Hak istimewa orang Bumiputera atau Melayu. Orang bukan Islam terima Melayu bumiputera adalah majoriti. Dalam masa sama, orang bukan Islam perlu ada hak sama rata. Kalau islam dapat RM5000, mereka pun akan dapat yang sama.

           Di sinilah Umar al Khattab melihat Yahudi tua meminta sedekah. “Malangnya kamu, apabila kamu muda, aku ambil cukai tetapi bila dah tua, diabaikan.”

            Rakyat biasa juga perlu ada sara hidup. Yang pertama orang miskin boleh dibebaskan dan kedua yang miskin tidak boleh dibebaskan. Mereka boleh dibantu. Petani boleh dibantu. Berapakah angkanya, setiap tahun makin kecil angkanya. Bukan hanya diberikan BR1M. sepatutnya dibuka kilang dan sebagainya. Barlah bolehlah untung. Inflasi juga dapat dikawal. Tidak ada kebajikan jika diberi bantuan. Ini tidak, bantuan diberi, tapi harga barang naik.

            Sepatutnya bebaskan kemiskinan dan kawal inflasi. Kebajikan dalam Islam bukan hanya aspek dalam Islam. Hubungan antarabangsa. Menerima pelarian asing., letak dalam negeri, makanan cukup atau tidak, tiada peduli.

             Dalam Islam, masalah orang asing menyebut. “ jika sekiranya musyrikin, seorang bukan Islam datang ke negeri kamu kerana dizalimi, maka beri perlindungan kepadanya, perdengarkan kepadanya kalam ALLAH (dakwah), jangan dipaksa. Kalau dia tidak mahu masuk Islam, tidak apa. Letakkan ke tempat aman,. Jangan hantar ke negaranya semula. Duduk di negeri kita pun di atas kemanusiaan, mesti diberi kebajikan.

              Mengapa berlakunya di Sulu. Ini yang menyayat hati. Ini kerana tiada kebajikan. Rakyat dalam negeri tidak diberi kebajikan, pelarian pun tiada kebajikan. Bagaimana boleh celaru macam ni? Mengapa boleh jadi begini? Sedangkan ia bangsa yang sama. Di sini pun Sulu, itu pun Sulu. Satu kaum yang sama.

              Bagaimana boleh celaru begini? Islam mengajar kita, agama dan kaum lain pun boleh ditunjuk harmoni. Orang tempatan pun masih duduk di air. Sepatutnya berilah tanah untuk mereka, tanah di Sabah tu banyak lagi. Berilah tanah pertanian untuk berniaga dan seumpamanya. Ini tidak, perintah lebih 40 tahun mencapai kemerdekaan, masih duduk di rumah air. Pelarian pula lari dalam rumah air. Masalah lain pula timbul. Kehidupan yang tidak mencukupi boleh melahirkan perompak, lanun, marah dan akhirnya kemusnahan rakyat antara satu sama lain.

               Kita tidak boleh menuduh, menganiaya pasukan keselamatan kita askar dan polis. Mereka sangat bertanggungjawab untuk mempertahankan negara tetapi kecelaruan ini berlaku kerana tidak ada konsep kebajikan yang diamalkan kepada rakyat dalam negeri dan pelarian yang datang.

               Kalau kebajikan dilaksanakan, masalah kemiskinan dan pelarian akan diatasi. Sepatutnya Islam sebagai agama persekutuan, tunjuk contoh Islam kepada mereka. Inilah konsep berkebajikan yang kita nak buat. Bahasa Kebangsaan. Nak jadi bahasa kebangsaan. Rakyat perlu diberikan ilmu sebanyak-banyaknya. Nak mengilmukan rakyat mestilah dengan bahasa rasmi, bahasa ibunda masing-masing.

              Nak membawa ilmu dari luar mestilah dengan bahasa asing. Dua perkara yang perlu difahami, tamadun Islam dulu, nak mengilmukan rakyat dengan bahasa Arab. Nak ilmu dari Parsi, ada yang tahu bahasa Parsi. Rom dengan bahasa Latin. India dengan bahasa kaum India dan sebagainya. Itulah kaedahnya. Masuk ke negeri, terjemahkan kepada bahasa ibunda, bahasa kebangsaan. Jepun bangkit dalam bahasa Jepun. Jerman dengan bahasa Jerman. Mereka belajar bahasa negara lain. Nak ilmukan ilmu dari Amerika belajar bahasa Inggeris.

              Kaedah kita hari ini, tingkatkan bahasa Inggeris. Maka, banyak konsep pelajaran yang diamalkan, lepas Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, kita melahirkan generasi yang tidak mewujudkan masyarakat berkebajikan, yang menimbulkan keresahan dalam masyarakat. Akhirnya saya nak sebut, Barat mengambil tamadun Islam.

              Banyak tamadun Barat adalah ciplak tamadun Islam di Andalusia, Baghdad. Apabila orang Barat mengambil ilmu Islam. Sayangnya mereka mengambil sains dan teknologi. Mereka tidak mengambil aspek agama, akhlak rohani yang ada dalam tamadun Islam. Lagilah tamadun teknologi yang tidak berkebajikan. Kalah dalam peperangan. Islam boleh berperang tetapi tidak boleh melampau, kalau melampau berdosa.

               Islam membenarkan dadah, candu dan alkohol untuk perubatan. Tak salah untuk perubatan. Bila halal dan haram tak ada, maka dadah bukan jadi ubat tapi ia melarat. Sampai setiap kampung ada doktor sendiri. Ini semua salah sistem pendidikan dan pelajaran yang tidak bersifat menyeluruh.

               Kita ada Raja berperlembagaan. Maaf saya sebut mengenai ini. Bila Tuhan jadikan ketua menteri, kalau lupa, peringatkan. Kalau sekiranya, peringatkan. Lebih banyak kaki pengampu dan boleh merosakkan negara. Realitinya, negara berkebajikan boleh menyelamatkan negara. Ideologi boleh menambah keyakinan.






Dipetik daripada Dato' Seri Abdul Hadi Awang, bertajuk 'Negara berkebajikan dituntut dalam al-Quran', Sinar Harian yang bertarikh 10 April 2013 muka surat 12-13.

No comments:

Post a Comment